SHAH ALAM - Kerajaan perlu mengambil kira empat pendekatan sekiranya berhasrat untuk melaksanakan pengurangan subsidi bagi bayaran mengerjakan ibadah haji. Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM),... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kerajaan perlu mengambil kira empat pendekatan sekiranya berhasrat untuk melaksanakan pengurangan subsidi bagi bayaran mengerjakan ibadah haji.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, yang pertama ialah pemberian subsidi haji dengan kadar nisbah berbeza secara bersasar kepada jemaah yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah (B40) dan berpendapatan sederhana (M40) sahaja.

Menurutnya, ia boleh diberikan dengan kadar nisbah sebanyak 60:40 manakala golongan T20 tidak lagi diberikan subsidi.

"Kedua, kerajaan perlu mengurangkan pemberian subsidi secara berperingkat dengan menyasarkan hanya golongan B40 sahaja yang layak mendapat subsidi sebanyak 50 peratus pada tahun depan.

"Kadar tersebut seterusnya akan berkurang kepada 30 peratus pada tahun 2024,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Azman Mokhtar memberi bayangan kemungkinan berlaku peningkatan bayaran mengerjakan ibadah Rukun Islam kelima itu, apabila beliau menyatakan TH dijangka membincangkan isu kenaikan kos musim depan dengan kerajaan.

Dalam pada itu, Mohd Faisol berkata, satu skim pinjaman khas berlandaskan konsep patuh syariah Qardhul Hasan juga boleh diwujudkan dengan kerjasama bank-bank Islam di Malaysia khusus untuk mereka yang telah mempunyai akaun haji dan panggilan haji dalam tempoh dua tahun akan datang.

"Ini akan menggalakkan masyarakat Islam yang ingin menunaikan haji meningkatkan tabungan mereka di Lembaga TH dan mengurangkan subsidi kerajaan nanti,” jelasnya.

Beliau dalam pada itu turut menjangkakan kos ideal jemaah haji pada masa akan datang adalah sebanyak RM13,000 dengan mengambil kira kekuatan nilai riyal berbanding Ringgit Malaysia (RM), jenis hotel yang ditawarkan dan jarak perjalanan.

"Selain itu, ia juga bergantung pada keupayaan kerajaan Malaysia mengekalkan subsidi tetapi secara bersasar,” ujarnya.

Kemas kini data jemaah

Sementara itu, Pakar Kewangan Islam, Dr Zaharuddin Abd Rahman berpandangan, TH seharusnya mula mengemas kini data jemaah haji dan memberikan subsidi secara bersasar kepada individu yang benar-benar layak.

Beliau mengakui subsidi secara pukul rata yang menjadi amalan ketika ini sudah kurang berkesan.

"Memang sepatutnya sudah ada proses ‘pemutihan’ antara individu yang mampu untuk membayar lebih dengan yang tidak berkemampuan.

"Tetapi saya tidak pasti sama ada TH mempunyai sistem yang sistematik untuk mendapatkan data-data tepat mengenai pembahagian kategori pendapatan para penyimpan,” jelasnya.

Zaharuddin menambah, dengan perkembangan ekonomi semasa dan penurunan harga ringgit, peningkatan kos bagi mengerjakan ibadah berkenaan tidak dapat dielakkan.

Seiring dengan itu katanya, sudah pasti jumlah subsidi yang terpaksa dikeluarkan oleh kerajaan turut akan bertambah.

"Namun TH perlulah menanggung tanggungjawab ini untuk terus memberikan subsidi kerana ia memang objektif awal penubuhan bank simpanan tersebut.

"Jadi, mereka perlu memastikan pelaburan yang dilaksanakan adalah mampan, berpendapatan baik, mempunyai kakitangan yang cekap untuk melabur bagi memaksimumkan pulangan pelaburan agar mampu memberi subsidi yang mencukupi kepada golongan yang layak,” ujar beliau.

Bakal jemaah belum bersedia sekiranya kerajaan ambil keputusan kurangkan subsidi

Sementara itu, rata-rata bakal jemaah haji melahirkan kerisauan sekiranya berlaku peningkatan kos bagi menunaikan ibadah haji.

Tinjauan Sinar Harian mendapati kebanyakan bakal jemaah juga belum bersedia sekiranya kerajaan mengambil keputusan untuk mengurangkan subsidi kerana ia akan memberikan beban berganda kepada mereka untuk ke Tanah Suci.

Pesara, Jalaludin Johan, 68, berkata, kenaikan kos bagi menunaikan ibadah tersebut sedikit sebanyak boleh membebankan bakal jemaah haji terutama kepada mereka yang telah bersara.

"Kebanyakan pesara telah membuat tabungan semenjak masih bekerja, jadi bila mereka bersara tiba-tiba kos haji meningkat daripada jumlah tabungan yang mereka kumpulkan sebelum ini, maka sudah pasti ia suatu yang membebankan.

"Minta beri lebih perhatian terutamanya kepada pesara dan warga emas kerana pendapatan mereka kini tidak sebanyak mana.

"Saya juga berharap kerajaan dapat mempertimbangkan keutamaan kuota kepada warga emas yang belum menunaikan haji termasuk saya memandangkan ramai di antara kami yang sepatutnya dapat berbuat demikian tapi menghadapi masalah dari segi syarat umur yang dikenakan kerajaan,” katanya yang dijangka melakukan ibadah berkenaan pada tahun 2030.

Bagi guru, Mohd Hamidi Wahid, 52, kenaikan kos bagi menunaikan ibadah tersebut sudah dijangka dan memerlukannya merancang kewangan dengan lebih efektif.

"Dengan kenaikan kos berkenaan, saya kira dalam beberapa tahun akan datang barulah saya benar-benar dapat bersedia untuk menunaikannya disebabkan perlu memberi keutamaan kepada komitmen lain seperti menyelesaikan dahulu pinjaman bank sedia ada,” jelasnya yang bakal menunaikan haji pada tahun 2026.

Suri rumah, Nor Asmah Mad Noor, 59, pula berkata, menunaikan haji memerlukan komitmen yang tinggi termasuklah tenaga dan kewangan.

"Kos menunaikan haji bukan sahaja melibatkan penerbangan pergi dan balik, tetapi ia juga melibatkan perkara lain seperti makan dan minum serta membeli beberapa keperluan lain.

"Jika ditakdirkan ALLAH ada kecemasan melibatkan wang ketika melakukan ibadah itu, maka persiapan kewangan memang perlu ada untuk menampung keperluan berkenaan,” katanya yang dijangka menunaikan haji pada tahun hadapan.

Ujar Nor Asmah, kerajaan diharap untuk terus memberikan subsidi kepada para jemaah pada musim haji akan datang.

KOS HAJI

Jenis Jemaah (Muassasah)

1) Kumpulan B40Kos haji: RM25,540

Kos tanggungan TH: RM14,560

Bayaran haji: RM10,980

2) Kumpulan Bukan B40

Kos haji: RM25,540

Kos tanggungan TH: RM12,560

Bayaran haji : RM12,980

*Sumber daripada Lembaga Tabung Haji

Klik di sini untuk terus membaca