DOKTOR selebriti media sosial, Dr Malar Santhi Santherasegapan berpendapat kehidupan masyarakat masa kini yang sibuk dengan kerja sehingga tiada masa untuk menjalani gaya hidup sihat menyebabkan ramai orang mengabaikan soal penjagaan kesihatan diri.
Pemilik akaun Facebook 'Celoteh Dr Malar' yang mempunyai lebih 300,000 pengikut ini berkata, situasi tersebut semakin teruk apabila ada individu yang sangat takut untuk memeriksa status kesihatan sehinggalah keadaan sudah menjadi parah.
Menggunakan kuasa media sosial, Dr Malar banyak berkongsi soal penjagaan kesihatan diri khususnya dalam mendepani pandemik Covid-19 dengan gaya bahasa Melayu yang bersahaja tanpa istilah-istilah perubatan yang kompleks.
Ikuti pelbagai perkongsian lebih menarik bersama doktor selebriti ini dalam program Bersama Johan Jaaffar.
JOHAN: Apa sebenarnya yang mendorong Dr memulakan perkongsian di Facebook?
DR MALAR: Apa yang mendorong saya pada awal penglibatan dalam bidang sosial media ini adalah pandemik Covid-19. Ketika itu ramai rakyat Malaysia mahukan informasi tetapi informasi perubatan dalam bahasa Melayu sangat terhad. Ini disebabkan kita belajar bidang perubatan dalam bahasa Inggeris. Dalam komunikasi sesama doktor di seluruh dunia juga berbahasa Inggeris. Kebanyakan jurnal adalah dalam bahasa Inggris. Maka rakyat Malaysia yang paling mudah terjejas kepada pandemik seperti warga emas, mereka nakkan informasi tersebut. Dari situlah saya memulakan perjalanan media sosial saya.
Selalunya orang kata bidang perubatan ini adalah selalunya bersifat sehala, di mana doktor merawat, mendiagnosis penyakit, berikan pilihan ubat dan sebagainya tetapi nampaknya Dr berinteraksi dengan penonton di sosial media. Apakah pengalaman dan pengajaran yang Dr dapat dari situ?
Apa yang saya dapat adalah sekarang macam yang Tan Sri cakap, perubatan sudah berubah dimensinya. Pada 1980-an atau 1990-an memang perubatan adalah sehala, jumpa doktor dan dia bagi diagnosis. Doktor bagi rawatan itu biasanya tidak ada banyak pilihan. Tetapi sekarang pesakit sudah pandai membaca. Pesakit sudah tahu, mereka sudah cakna tentang kesihatan sendiri.
Mereka nak tahu apa lagi pilihan yang terbaik. Kenapa kena buat pembedahan, kenapa tidak boleh ambil ubat saja dan sebagainya. Maka perubatan sekarang bukan untuk merawat penyakit sahaja, pesakit sekarang nak fahami kesihatan mereka. Mereka nak dalami, lepas itu mereka nak pilih rawatan. Sebagai perawat kita nak tolong mereka buat pilihan terbaik. Jadi kita lebih menjadi seperti kawan kepada pesakit. Kita jadi peneman untuk mereka membuat pilihan terbaik.
Dr mempunyai akaun Facebook, Twitter dan juga Instagram. Di Facebook Dr sahaja ada lebih 300,000 pengikut. Apakah Dr terperanjat dengan sambutan sedemikian?
Saya sangat terperanjat sebab saya budak kampung. Budak yang biasa daripada kelas tengah dan akhirnya mencapai cita-cita sendiri iaitu menjadi doktor. Saya orang-orang biasa saja. Tan Sri tengok penampilan saya di media sosial, saya tidak guna mekap, hanya pakai baju tidur dalam rumah. Saya sangat santai. Sebab itu, saya tidak tahu dan tidak menjangka sambutan sebegitu. Kalau tahu, saya dah pakai mekap tebal-tebal (ketawa).
Adakah sekarang berlaku perubahan dalam hidup Dr?
Saya tidak kata susah tetapi saya lebih berhati-hati. Kalau dahulu saya pergi pasar pakai baju yang paling selekeh. Tetapi sekarang biasanya kalau pergi kedai atau pasar ada jugalah seorang dua yang tegur saya. Kita jadi lebih berjaga-jaga bila bawa diri. Lebih ramai orang kenal dan lebih ramai orang ada jangkaan terhadap kita.
Pada pandangan Dr, mengapa berlaku hal seperti itu? Adakah kerana informasi atau maklumat rasmi tidak cukup sampai kepada masyarakat sewaktu pandemik Covid-19?
Saya kira kebanyakan agensi rasmi atau media rasmi menggunakan bahasa yang sangat teknikal atau bahasa baku. Bahasa yang kita tidak dekat, jadi orang biasa macam mak ayah saya, mereka tidak boleh faham sebab kita terlampau mementingkan penggunaan bahasa tersebut walhal saya cakap biasa sahaja. Saya bercakap seperti saya cakap dengan mak ayah dan keluarga saya. Jadi saya rasa di situ pengikut (di media sosial) dan juga rakyat Malaysia rasa dekat rasa macam bercakap dengan jiran.
Dr nampaknya memberikan penerangan mengenai perkara-perkara yang sebenarnya sangat kompleks dari segi perubatan tetapi ini pendekatan yang sangat berkesan. Apakah Dr rasa saluran rasmi itu mungkin tidak dapat melakukan apa yang Dr lakukan?
Saya rasa itu betul. Saluran rasmi mereka rasa terikat prosedur operasi standard (SOP), bos dan penampilan korporat. Sebab itu saya bergerak sebagai individu, saya tidak wakili mana-mana organisasi. Bila saya sendirian, tidak ada yang boleh arahkan saya. Apabila kita bercakap secara santai di rumah, mana ada kita bercakap dalam bahasa baku. Begitu juga bila kita bersembang dengan ahli keluarga, mana ada kita guna perkataan yang terlampau formal seperti menjawab soalan peperiksaan. Kita tidak buat seperti itu.
Adakah Dr selesa apabila orang sebut Dr Malar adalah seorang doktor selebriti.
Dr tentu tahu di Amerika Syarikat ada seorang personaliti televisyen yang terkenal, yang juga merupakan seorang doktor iaitu Dr Sanjay Gupta. Apakah Dr rasa bahawa bukan sahaja Dr Sanjay itu menjadi seorang selebriti tetapi perbincangan atau apa yang dilakukan oleh beliau itu juga sama seperti apa yang dilakukan oleh Dr Malar. Jadi nampaknya seperti ada ruang untuk selebriti doktor dalam bidang media sosial ini. Apakah komen Dr?
Memang ini adalah impian saya untuk ada program bual bicara saya sendiri, yang bukan sahaja panggil doktor untuk bincang tentang penyakit, tetapi lebih kepada memanggil pesakit. Kita faham dari segi persepsi pesakit dan sebagainya. Memang itu impian saya satu hari nanti untuk ada program bual bicara sendiri tetapi bukan sebagai doktor selebriti. Saya lebih selesa sebagai doktor aktivis di mana kita perjuangkan tentang kesihatan. Saya lebih gemar mencegah penyakit, saya lebih gemar memperjuangkan rakyat untuk faham tentang kesihatan supaya bila ada masalah, mereka tahu dan mereka faham tentang masalah mereka.
Dr rasa apakah rakyat sekarang lebih mahu mengetahui maklumat mengenai sesuatu penyakit daripada Dr supaya boleh membina kesedaran lebih tinggi?
Sudah tentu. Saya rasa pandemik Covid-19 menyedarkan ramai orang tentang penyakit berjangkit. Yang kedua, mereka juga faham apa itu komobiditi. Bila ada penyakit lain, ia memberi risiko terhadap penyakit-penyakit lain yang kita dapat seperti denggi, Covid-19 dan sebagainya. Jadi saya rasa Covid-19 itu memang menyedarkan rakyat. Walaupun terdapat banyak aset harta macam mana pun, kesihatan paling penting.
Pada pandangan doktor apakah pengajaran daripada pandemik Covid-19 selama dua tahun yang kita hadapi ini?
Saya rasa pengajaran yang paling besar adalah setiap negara perlu bina lebih banyak hospital daripada pusat-pusat konsert dan stadium. Kemudian sistem penjagaan kesihatan kena kuat, stabil dan bersiap sedia pada bila-bila masa. Itu saya rasa pengajaran paling penting di seluruh dunia sebab pemain bola dibayar gaji begitu tinggi tetapi jururawat dan pembantu perubatan susah nak dapatkan gaji sebegitu. Dalam generasi sekarang makin ramai tidak mahu buat pekerjaan badan beruniform. Jadi transformasi itu adalah sesuatu yang perlu dipelajari.
Tentang pendidikan dan perubatan rakyat, apakah perlu ada satu strategi untuk mengingatkan rakyat tentang ancaman penyakit-penyakit seperti ini sebab kita ambil ringan. Satu ketika dahulu penyakit tuberkulosis atau tibi sudah tidak ada lagi di Malaysia tetapi nampaknya ia sudah muncul semula. Jadi apakah ini menandakan bahawa kita harus bersedia dengan kemungkinan lain?
Saya kira terutamanya apabila sudah habis sekolah, remaja sampai warga kerja kita perlu ingatkan mereka untuk mementingkan isu kesihatan. Kalau kita tidak jaga kesihatan, kita tidak boleh bekerja dan ekonomi akan musnah. Maka, saya rasa ia patut bermula dengan majikan itu sendiri.
Kalau diwajibkan daripada penjawat awam sampai pekerja swasta setiap tiga tahun sekali mesti buat semakan perubatan. Setiap tahun kena periksa, baru boleh ada kenaikan pangkat dan kenaikan gaji. Saya rasa semua orang akan berebut untuk buat tetapi sebab ia tidak ditekankan maka penyakit tekanan darah tinggi menjadi kronik, kencing manis berlaku selama lima tahun tanpa tidak sedar. Perkara-perkara seperti ini akan mengganggu. Jadi saya rasa hari ini perlu dititikberatkan dari akar umbi.
Salah satu perkara yang disebutkan bahawa Malaysia merupakan salah satu negara yang mempunyai rekod penduduk 'tergemuk' di seluruh Asia maksudnya dari segi masalah obesiti. Ini semua merupakan masalah yang akan dihadapi oleh negara ini termasuk kos untuk perubatan menjadi lebih tinggi. Tetapi dari segi masalah disiplin rakyat bagaimana?
Macam yang Tan Sri kata, negara kita adalah 'syurga makanan'. Orang negara luar datang ke sini pun sebab nak cuba pelbagai makanan. Jadi nak suruh disiplinkan itu sedikit susah terutamanya pada musim cuti. Memang rangkaian restoran makanan semuanya penuh. Jadi macam mana nak disiplinkan itu saya selalu sarankan supaya makan boleh tetapi cuba adaptasi puasa satu atau dua kali seminggu ataupun cuba pemakanan vegetarian untuk imbang kembali.
Apakah Dr rasa bahawa kesedaran tentang soal kesihatan di kalangan rakyat pada masa sekarang maksudnya dahulu kita makan nasi lemak tetapi selepas itu orang pergi ke sawah atau kebun. Tetapi sekarang orang makan nasi lemak juga tapi mereka masuk ke pejabat ertinya bahawa tabiat makan tidak berubah tetapi gaya hidup berubah. Apa komen doktor tentang hal ini?
Saya rasa kita kena kurangkan makan tetapi kalau dah 30 atau 40 tahun tidak kurangkan makan itu agak lambat sikit sebab selera mereka sudah besar seperti itu sejak daripada kecil. Jadi kalau kita boleh kurangkan bahagian pemakanan, kawal kalori makanan, kurangkan minyak dan sebagainya ia boleh membantu. Tetapi sebab itu adalah budaya makan juga, jadi kena tukar dari budaya dahulu.
Satu karya saya dapat dalam beberapa siaran sosial media yang Dr buat sewaktu pandemik ini adalah nampaknya Dr begitu tegas dalam sesuatu isu. Contohnya tentang ubat atau yang disebutkan sebagai Ivermectin. Nampaknya Dr bertegas mengatakan tidak ada bukti berdasarkan kajian tuntas yang disebutkan oleh Dr bahawa Ivermectin ini berkesan untuk Covid-19. Tetapi kenapa kerajaan tidak sepatutnya mencuba perkara ini? Apa pandangan Dr?
Sebenarnya kerajaan sudah cuba. Ada beberapa kajian telah dibuat. Saya rasa ia dibuat di Hospital Sungai Buloh dan terbukti tidak ada manfaat tetapi ada banyak komplikasi. Kena faham Ivermectin ini bukan ubat untuk virus tetapi sebenarnya adalah ubat untuk parasit tetapi sekumpulan doktor dan juga pengkaji di Australia cuba Ivermectin ini atas tikus makmal dan mereka rasa mungkin ada manfaat untuk Covid-19. Tetapi dos diperlukan untuk mencapai manfaat itu adalah 20 kali ganda berbanding dos biasa yang diperlukan oleh manusia.
Jadi sebelum ia memberi manfaat, ia telah merosakkan hati, buah pinggang, sistem darah dan sebagainya sebelum ia boleh bagi manfaat. Sebab itu kita tidak boleh mengambil manfaat itu sebab ia dah rosakkan semua. Sebab itu saya kata tidak ada bukti. Kenapa kerajaan tidak cuba juga, kita tidak boleh bagi satu rawatan dengan risiko yang begitu tinggi. Akhirnya bagi kepada 100 orang, satu orang saja yang dapat manfaat. 99 orang yang lain semua rosak buah pinggang.
Apa pendapat doktor tentang pengalaman kualiti pengamal perubatan?
Saya rasa di Malaysia kualiti pengamal perubatan sebenarnya sangat tinggi berbanding di mana-mana negara sebab latihan di negara ini terutamanya kita dengar dalam berita doktor sangat stres tu, waktu bekerja yang panjang dan sebagainya. Saya rasa pada pandemik Covid-19 ini yang membawa ramai doktor dan pesakit di media sosial mematangkan kedua-dua belah pihak. Saya sendiri bila saya berada dalam media sosial, saya baca komen-komen orang awam, saya baca luahan mereka, saya rasa lebih matang. Jadi pengamal perubatan di Malaysia ini semakin bertambah baik, makin ramai yang muncul di media sosial, berbincang dengan pesakit. Bina repo, faham pesakit sebagai keseluruhannya bukan sebagai satu penyakit.
Apa komen doktor mengenai sistem penjagaan kesihatan pada hari ini?
Sistem penjagaan kesihatan saya rasa satu perkara yang kerajaan dan swasta (ada perbezaan) terlampau jauh. Perbezaan itu dari segi kesinambungan. Contohnya bila pesakit pergi klinik kesihatan kerajaan selepas itu dia dirujuk di hospital kerajaan. Kemudian dia nak pergi ke hospital swasta. Dia tak ada kesinambungan dalam hal itu, dia kena buat sendiri. Daripada hospital swasta pergi ke kerajaan pun susah. Kerjasama antara hospital kerajaan dan swasta itu ia masih belum matang lagi. Jadi itu agak menyusahkan pesakit. Ia agak susah sedikit untuk mereka berpindah. Dia kena bawa sendiri rekod-rekod perubatan itu. Saya rasa kalau ada lebih banyak pertindihan, 'networking' dan sistem rujukan, ia akan memudahkan pesakit dan menguntungkan pentadbiran.
Kita tidak dapat menolak hakikat bahawa ada dua kelas pesakit iaitu satu yang mampu ke hospital kerajaan dan satu lagi mampu ke hospital swasta. Dan ini dengan sendirinya menambahkan jurang di antara rakyat. Macam mana nak cari satu titik tengah antara kedua-dua pihak itu?
Saya rasa macam Tan Sri beritahu ada golongan yang mampu pergi ke swasta dan ada golongan yang lebih selesa di kerajaan tetapi ada satu lagi golongan yang tidak nampak perkara ini, dia mampu tampung separuh di swasta, tetapi pembedahan itu dia tidak mampu untuk bayar. Contohnya dia boleh melakukan pemeriksaan 'scanning' atau X-ray dia boleh buat di swasta tetapi pembedahan itu dia tidak mampu bayar. Maka kena cari titik tengah itu sekarang sudah ada banyak hospital kerajaan di Lembah Klang sudah ada sayap swasta. Jadi kalau ia berkembang kepada penjagaan kesihatan utama, saya rasa ia akan lebih menguntungkan rakyat Malaysia.
Salah satu pengajaran daripada Covid-19 adalah ia mendedahkan kita kepada sistem kesihatan kita yang sebenar sama ada kekurangan dan kelebihan kita. Pada pandangan Dr, apa lagi yang patut kita pelajari daripada Covid-19?
Saya rasa apa yang kita patut pelajari adalah setiap individu perlu kawal kesihatan mereka sendiri. Tidak perlu tunggu orang lain atau dapat Covid-19 baru nak buat ujian darah, baru nak beli yang mesin pemeriksaan kesihatan, termometer di rumah dan sebagainya. Setiap rumah kena ada. Kena tahu macam mana nak periksa tekanan darah? Apakah paras biasa gula untuk darah ayah? Apa ubat-ubat yang ibu makan. Semua itu kena ada setiap masa, kena faham tentang kesihatan diri sendiri. Supaya ia mudah apabila apa-apa berlaku kita tahu ini adalah tahap kesihatan kita yang biasa maka, bila tak sihat kita tahu pada tahap mana. Tetapi kita sedar bila Covid-1 atau kuarantin baru seseorang itu mula tahu keadaan dirinya. Selepas tu baru dia terkejut kenapa tekanan darahnya tinggi. Rupanya itu tidak ada kaitan dengan Covid-19 pun. Memang mereka sudah ada penyakit itu. Jadi saya rasa perkara ini amat penting untuk kita cakna tentang kesihatan diri, pemantauan berterusan oleh individu itu sendiri, tidak kisah sama ada pandemik Covid-19 ataupun tidak.
Apa matlamatnya akhirnya?
Matlamatnya adalah setiap rakyat Malaysia faham apa itu kesihatan dan faham bahawa pencegahan lebih baik daripada merawat.
Pada masa yang sama, ramai rakyat Malaysia yang mengambil mudah tentang aspek kesihatan. Ada orang tidak mahu tahu atau memeriksa status kesihatan diri sebab mereka takut. Jadi perkara ini berterusan dan sampai pada saat akhir apabila penyakit yang dia dihidapinya berada di tahap kritikal. Jadi apakah nasihat doktor?
Macam yang Tan Sri kata mereka ini takut. Jadi mereka tidak mahu buat pemeriksaan kesihatan. Maka peringatan saya, janganlah takut untuk tahu tahap kesihatan anda sendiri sebaliknya kamu ambil serius dan jadi pemandu untuk kesihatan kamu sendiri. Bila kamu dah tahu tekanan darah tinggi tidak bermaksud kamu dah mula kena mengambil ubat. Panduan seluruh dunia pun beritahu bahawa tiga bulan yang pertama adalah perubahan gaya hidup dahulu. Mungkin kita boleh bincang untuk macam mana nak mulakan tanpa menggunakan ubat dahulu, seperti kurangkan berat badan dan sebagainya. Sekurang-kurangnya kita dah tahu cara untuk hilangkan ketakutan. Benda itu memang dah ada dalam tubuh kita setiap saat. Kalau bukan kita yang kenal tubuh kita, kalau bukan kita yang tahu tentang kesihatan kita siapa lagi?
Apakah doktor rasa dari segi keperluan rakyat Malaysia untuk memahami soal-soal perubatan dan kesihatan tetapi mereka juga harus sedar bahawa disiplin diri itu penting. Apa komen Dr?
Saya rasa ia berkait rapat dengan kehidupan kita. Kehidupan bandar, kita keluar pergi kerja pukul 6 pagi balik pukul 7 malam. Jadi bila kita kata ada rakyat tidak bersenam sebenarnya mereka pun tiada masa untuk berbuat demikian sebab waktu bekerja yang terlampau panjang, stres, pembelajaran dan sebagainya. Jadi saya rasa budaya secara keseluruhannya.
Saya pernah membuat siaran di sosial media mencadangkan mengurangkan jam pekerja itu supaya dapat balik sebelum Maghrib. Balik sebelum gelap, jadi sempat untuk bersenam. Jadi saya kira ibu bapa, cikgu-cikgu di sekolah dari kecil lagi perlu ditanam perkara ini supaya ia menjadi satu budaya. Kalau dah umur 40 tahun bila penyakit dah mula menyintip, baru nak ubah gaya kehidupan kita, itu dah terlambat.
Klik di sini untuk terus membaca