APABILA Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) mengemukakan cadangan untuk memberikan 35 peratus kerusi Parlimen kepada Sabah dan Sarawak, seorang ahli Parlimen pembangkang tergesa-gesa menyeru perlaksanaannya sebelum Pilihan Raya... Klik di sini untuk terus membaca

APABILA Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) mengemukakan cadangan untuk memberikan 35 peratus kerusi Parlimen kepada Sabah dan Sarawak, seorang ahli Parlimen pembangkang tergesa-gesa menyeru perlaksanaannya sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perubahan bilangan kerusi Parlimen memerlukan majoriti dua pertiga di kedua-dua Dewan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan.

Pindaan itu bukan dengan sekadar tambahkan satu ayat mudah, ‘tiga puluh lima peratus daripada kerusi di Dewan Rakyat haruslah dikhaskan kepada Sabah dan Sarawak.

'Sebaliknya', ia melibatkan pindaan kepada Perkara 46 yang menyatakan jumlah kerusi Dewan Rakyat untuk setiap negeri dan wilayah persekutuan.

Mari kita meneliti soalan pengagihan yang rumit yang mungkin tidak terlintas dalam minda ahli-ahli Parlimen yang ghairah menawarkan cek.

Soalan pertama ialah sama ada kita tambahkan jumlah ahli Parlimen daripada 222 sedia ada. Untuk kemudahan pengiraan, kerusi tunggal di Labuan akan dikira sebagai bahagian Sabah.

Jika tidak, 35 peratus untuk Sabah dan Sarawak ialah 78 kerusi, yang kini cuma mengandungi 57 kerusi. Maka, 21 kerusi perlu diambil daripada jumlah 165 kerusi di Semenanjung. Dari mana negeri-negeri Semenanjung yang akan menyumbangkan 21 kerusi ini?

Apa kata kita tambahkan kerusi saja untuk Sabah dan Sarawak manakala jumlah 165 kerusi di Semenanjung tidak ditambah atau dikurangkan?

Kita akan perlu tambahkan 32 kerusi untuk Sabah dan Sarawak supaya mereka akan mempunyai 89 kerusi, yang mencecah 35 peratus kepada jumlah ahli Dewan Rakyat yang kini menjadi 254.

Akan tetapi, adakah negeri-negeri Semenanjung akan berpuas hati dengan melihat Sabah dan Sarawak menambah kerusi Parlimen dan mereka tidak dapat apa-apa pun.

Sekarang jumlah pengundi di Bangi, Selangor (kawasan terbesar di Malaysia) sudah mencecah 300,000 manakala Igan, Sarawak (kawasan terkecil) cuma mempunyai sekitar 28,000? Boleh Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Terengganu yang padat pengundi tidak menuntut juga pertambahan kerusi Parlimen?

Sekarang andaikan negeri-negeri Semenanjung turut menuntut tambahan 32 kerusi seperti Sabah dan Sarawak, maka Dewan Rakyat akan mempunyai 286 kerusi, tetapi ini akan menjatuhkan peratusan 89 kerusi Sabah dan Sarawak kepada hanya 31 peratus.

Maka, untuk mencapai 35 peratus bagi Sabah dan Sarawak, kedua-dua wilayah ini perlu ditambah lagi 18 kerusi, yakni Sabah dan Sarawak akan mendapat 107 kerusi (tambahan 50 daripada 57 sekarang).

Negeri-negeri Semenanjung akan mendapat 197 kerusi (tambahan 32 daripada 165 sekarang), dan Dewan Rakyat akan tambah 132 kerusi sampai menjadi 304.

Pengiraan di atas cuma menunjukkan, jika kerusi tidak dipindah daripada Semenanjung kepada Sabah dan Sarawak, maka Parlimen kita akan sekurang-kurangnya bertambah 32 kerusi, sehingga 254.

Selepas itu, untuk setiap dua kerusi tambahan yang dituntut oleh negeri-negeri Semenanjung, Sabah dan Sarawak mesti diberi satu kerusi tambahan.

Jadi, soalan yang kita mesti tanya, berapa besarkah jumlah ahli Parlimen yang rakyat sedia membayar?

Ini bukan maksudnya kita tidak boleh tambah kerusi Parlimen, tetapi kita mesti menolak keghairahan yang ingin meminda Perlembagaan malah sebelum PRU15 tanpa membuat kira-kira tentang manfaat dan kos pengembangan saiz Parlimen.

Syukur ada udang dan ikan,

Sedap dimasak tiga rasa,

Parlimen bukan rumah makan,

Jangan tambah kerusi tergesa-gesa.

* Profesor Wong Chin Huat (chinhuatw@gmail.com) ialah seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihan raya, politik parti dan demokrasi berparlimen.

Klik di sini untuk terus membaca