SHAH ALAM - "Jika Perdana Menteri minta Jemaah Menteri mengundi sama ada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) patut diadakan hujung tahun ini dalam mesyuarat kabinet, saya yakin barisan menteri UMNO-BN pasti akan kalah kepada (tuntutan)... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - "Jika Perdana Menteri minta Jemaah Menteri mengundi sama ada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) patut diadakan hujung tahun ini dalam mesyuarat kabinet, saya yakin barisan menteri UMNO-BN pasti akan kalah kepada (tuntutan) Perikatan Nasional (PN)."

Demikian kenyataan tegas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris apabila mengulas spekulasi kabinet kerajaan Keluarga Malaysia gagal mencapai kata sepakat untuk mengadakan PRU15 tahun ini, melalui satu mesyuarat Jemaah Menteri yang diadakan pada Rabu.

Memetik seorang menteri kabinet yang enggan mendedahkan identitinya, laporan media tempatan memaklumkan menteri daripada Bersatu dan Pas dipercayai antara mereka yang membantah cadangan mengadakan pilihan raya tahun ini.

Laporan itu mendakwa menteri-menteri berkenaan mahu kerajaan memberi tumpuan kepada pengurusan banjir dan ekonomi terlebih dahulu.

Menurut Razali yang juga Ketua Pimpinan Bersatu Terengganu, beberapa menteri kabinet Bersatu memaklumkan kepadanya bahawa barisan menteri daripada PN sudah bersepakat menolak cadangan PRU diadakan pada hujung tahun, susulan kebimbangan ancaman banjir.

Berikutan itu, beliau tidak hairan sekiranya isu perbincangan mengenai tarikh sesuai diadakan PRU15 yang dibincangkan dalam mesyuarat kabinet pada Rabu, menemui jalan buntu kerana pendirian menteri-menteri PN adalah jelas, tidak mahu PRU15 diadakan hujung tahun ini.

Jelas beliau, hal ini kerana jumlah bilangan menteri kabinet mewakili PN adalah jauh lebih besar berbanding bilangan menteri daripada UMNO-BN sekiranya kabinet memutuskan satu undian perlu dibuat bagi menentukan kewajaran PRU15 dibuat tahun ini.

IMPILKASI

"Ini kerana mereka sedar implikasi negatif yang bakal ditanggung parti-parti dalam kerajaan sekiranya rakyat berdepan kesukaran dan penderitaan akibat bencana banjir yang berkemungkinan berlaku serentak dengan PRU15 kelak.

"Jadi, sebenarnya hanya tiga, empat menteri UMNO-BN sahaja yang setuju buat PRU15 tahun ini. Lagipun dalam kabinet, jumlah menteri PN merangkumi Bersatu, Pas dan GPS (Gabungan Parti Sarawak) adalah lebih ramai, kalau buat undian pun menteri UMNO-BN pasti kalah," kata Razali.

Mengikut Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong boleh membubarkan Parlimen atas nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perlembagaan juga menyatakan bahawa Seri Paduka boleh tidak memperkenankan permohonan pembubaran itu.

Bagaimanapun, Ismail Sabri dalam satu wawancara khas bersama media tempatan pada bulan lalu mengakui proses penentuan tarikh PRU15 sebenarnya perlu melalui perbincangan bersama Jemaah Menteri.

Hal ini kerana Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO menjelaskan Perlembagaan Persekutuan menjelaskan peranan Perdana Menteri yang menasihati Yang di-Pertuan Agong sebenarnya turut merangkumi keputusan Jemaah Menteri yang dilantik.

Jelas beliau, amalan itu tidak begitu diberi penekanan oleh kerajaan sebelum PRU14 susulan UMNO-BN yang menguasai kerajaan pusat selama 60 tahun hakikatnya bukan terdiri kerajaan campuran sebagaimana kerajaan Keluarga Malaysia ketika ini.

Sementara itu, Razali turut meminta semua barisan menteri kerajaan Keluarga Malaysia bersikap realistik dan rasional dalam membuat pertimbangan terbaik mengenai tarikh sesuai PRU15 diadakan.

Katanya, kerajaan sebenarnya masih mempunyai tempoh masa sehingga bulan Julai 2023 untuk membubarkan Parlimen.

Justeru, Razali berpandangan baki masa pentadbiran kerajaan yang tinggal lebih baik ditumpukan kepada usaha pemulihan ekonomi negara dan melancarkan proses transformasi politik.

"Secara logiknya, sekiranya PRU15 diadakan pada tahun ini, tambah pula berserentak dengan musim banjir, laba keuntungan politik sebenarnya lebih memihak kepada Pakatan Harapan (PH) walaupun UMNO yang beria-ia menuntut perkara itu.

"PN dan Bersatu tiada masalah untuk PRU15 diadakan pada bila-bila masa. Tetapi biarlah ia diadakan dalam keadaan kerajaan berjaya mengatasi masalah ekonomi berganda yang berpunca daripada pandemik Covid-19 dan fenomena hiperinflasi, menyelesaikan isu pengangguran serta penyediaan polisi-polisi kerajaan lebih kukuh.

"Tuntutan PRU15 diadakan pada tahun hadapan bukan helah politik PN untuk membeli masa. Kita lebih utamakan kebajikan rakyat," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca