KESUNGGUHAN China untuk muncul juara teknologi dunia memang tidak dapat disangkal lagi. Terbaharu, China telah membawa mineral baharu daripada permukaan bulan yang digelar Changesite-Y.
Bermula dengan misi Chang’e-5, saintis China percaya telah menemui Helium-3, sejenis isotop bahan api berpotensi dijadikan komponen reaktor gabungan masa depan. Mineral itu digambarkan sebagai ‘jenis kristal kolumnar lut sinar tidak berwarna’.
Mineral kristal bersaiz 10 kali ganda lebih kecil daripada rambut manusia itu adalah mineral sangat dikehendaki geologis di seluruh dunia kerana Helium-3 mengandungi bahan reaktor berpotensi mengubah sumber tenaga dunia.
Nah, itulah kehebatan China. Bermula dengan bulan tiruan, China terus mengorak langkah meninggalkan pesaing lain termasuk Amerika Syarikat (AS). Kelebihan Helium-3 berbanding tritium atau deuterium, atau isotop hidrogen adalah ia tidak menghasilkan neutron radioaktif.
Penulis tersohor angkasa lepas AS, Mark Whittington percaya kejayaan menemui Helium-3 dari bulan sebagai kemenangan besar kepada China.
Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) pula merumuskan China kini memasuki fasa terbaharu selepas Chang’e-5 termasuk membangunkan ‘pangkalan penyelidikan’ di Kutub Selatan Bulan.
Misi tersebut dipercayai melibatkan Rusia. Antara misinya termasuk membawa balik ais pada kawah berbayang kekal di Kutub Selatan Bulan.
Sebenarnya ada sebab kenapa China mahu menguasai angkasa lepas. Selain kepentingan teknologi, ia berkait rapat dengan kejayaan sains, perdagangan dan hak bermegah (bragging rights) yang diterjemahkan kepada kuasa politik.
Perlumbaan untuk menjuarai dunia angkasa lepas cukup sengit. AS sering bermegah, kononnya ia kuasa sebenar dalam perlumbaan angkasa lepas. Bagaimanapun, penemuan terbaharu China itu menyebabkan AS terpempan buat seketika.
Penulis percaya ALLAH SWT telah mendedahkan kepentingan angkasa lepas dalam surah An-Nur ayat [24:40] bermaksud: "Atau seperti gelap gelita di lautan yang dalam, yang diliputi oleh ombak, yang di atasnya ombak (pula), di atasnya (lagi) awan, gelap gelita yang tindih-bertindih apabila dia mengeluarkan tangannya, tiadalah dia dapat melihatnya, (dan) barang siapa yang tiada diberi cahaya (petunjuk) oleh ALLAH, tiadalah dia mempunyai cahaya sedikit pun.”
Penulis pula menyingkap berita tentang penemuan helium di permukaan bulan dari perspektif berbeza. Penulis percaya kejayaan China boleh menjadi pemangkin teknologi negara khususnya Selangor.
Secara kebetulan, penulis kini berada di AS atas undangan Apple Park Cupertino. Antara tujuan penulis di AS adalah untuk berbincang dan membentang cadangan serta walk through Apple Park berdasarkan program Pusat Taklimat Eksekutif Apple atau Executive Briefing Centre (EBC).
Kerjasama kerajaan Selangor dengan Apple International sudah pasti akan menjadi pemangkin terpenting kepada perkembangan teknologi di negara ini. Kerajaan Selangor menerusi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) telah diangkat sebagai satu-satunya Pusat Latihan Kemahiran Apple bertauliah pertama di Malaysia.
Penulis melihat ia sebagai kejayaan sangat besar kepada Malaysia. Siapa tidak kenal Apple? Dengan nilai AS$260 bilion (RM1.2 trillion), Apple telah menempa kejayaan sangat signifikan.
Persoalannya, kenapa Malaysia masih tidak mampu setanding negara maju seperti AS, Eropah, China dan Jepun? Penulis sentiasa cuba membuat kajian penanda aras (benchmark) dan analisis untuk mencari jawapan kepada soalan tersebut.
Satu lagi yang bermain di fikiran penulis ialah kenapa reka bentuk kereta di AS di sebelah kiri berbeza dengan Malaysia. Penulis mendapati reka bentuk pemanduan sebelah kiri di AS mampu memberi impak kepada penjimatan minyak dalam jangka masa panjang.
Kesimpulannya, penulis sangat teruja dengan kejayaan terbaharu teknologi China. Penulis berharap pemimpin negara ini menjadikan kejayaan China sebagai pemangkin teknologi di Malaysia.
Penulis percaya sikap terbuka dalam menangani kejayaan China sangat penting kepada perkembangan dan pembangunan teknologi negara.
* Profesor Dr Ir Muhidin Arifin ialah Ketua Pegawai Operasi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC).
Klik di sini untuk terus membaca