13 hingga 27 September ini ialah tarikh pelbagai mesyuarat di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu PBB ke-77. Malaysia menghadirinya sambil berusaha mendepani cabaran daripada ‘perkembangan-perkembangan utama semasa’,... Klik di sini untuk terus membaca

13 hingga 27 September ini ialah tarikh pelbagai mesyuarat di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu PBB ke-77.

Malaysia menghadirinya sambil berusaha mendepani cabaran daripada ‘perkembangan-perkembangan utama semasa’, iaitu perubahan iklim akibat perbuatan manusia, kemajuan teknologi yang bermanfaat besar tetapi turut melibatkan isu-isu manusiawi, dan arkitektur-arkitektur antarabangsa yang tidak adil.

Dari segi perubahan iklim – yang sudahpun menjadi ‘krisis iklim’ – ia sebenarnya adalah akibat perbuatan manusia. Sejak abad ke-19 lagi, iaitu ekoran kesan Revolusi Perindustrian, kepesatan pembangunan pelbagai teknologi dan industri telah menjana Gas Rumah Hijau (GHG emission) yang intensif.

Penyumbang terbesar terhadap perubahan iklim ialah negara-negara kaya. Tetapi, kini, merekalah yang lantang menyuarakan "Climate Action”.

Manakala negara-negara sedang membangun, yang baru melangkah ke arah agenda pembangunan negara yang lebih saksama dan membebaskan diri daripada kemiskinan, ditegah dan dikutuk kerana kononnya melanggar prinsip-prinsip pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Malaysia harus praktikal. Kita perlu mempertahankan ikrar supaya lebih separuh dari buminya kekal hijau; menerapkan prinsip Environmental Social Governance (ESG); bersama-sama mengehadkan pemanasan global kepada sekurang-kurangnya dua darjah Celcius; dan mencapai pelepasan GHG bersih sifar pada tahun 2050.

Di pentas antarabangsa, kita perlu terus menegakkan prinsip ‘tanggungjawab sama, beban berbeza dengan keupayaan sendiri’.

Untuk berjaya, kita perlu futuris, iaitu dengan mengikuti dan seboleh-bolehnya mempengaruhi idea-idea serta pemikiran sains dan teknologi masa depan. Kepesatan teknologi akan berlaku dengan lebih pantas. Soalnya ialah kemampuan kita menyediakan ekosistem geopolitik, budaya dan generasi yang mencetuskan dan menguasainya.

Dari segi ekosistem, kita perlu terbuka. Dan kita perlu mempunyai generasi digital yang mantap. Momentum teknologi digital tidak dapat dihalang. Kita perlu menerimanya dengan terbuka. Tetapi, tidak bermakna kita mengambil sikap berlepas tangan.

Perundangan dan peraturan tetap penting. Kita juga perlu mengatasi kesan-kesan negatifnya, contohnya, keselamatan siber, privacy, penguasaan kuasa-kuasa besar media sosial, etika dan pertembungan idea berkaitan governans internet antarabangsa.

Arkitektur-arkitektur antarabangsa yang wujud hari ini, iaitu dalam kewangan, perdagangan, ekonomi, politik, keselamatan dan lain-lain, adalah tidak adil bagi negara-negara yang kecil dan sedang membangun. Contohnya Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia dan PBB, dibentuk oleh pemenang-pemenang Perang Dunia Kedua.

Manakala yang terbaru, contohnya, RCEP, CPTPP dan IPEF, dibentuk oleh penerima-penerima manfaat daripada sebahagian yang terdahulu itu.

Apa yang sebenarnya berlaku ialah sekumpulan minoriti kecil yang terkaya di dunia, berpengaruh dan well connected, menulis syarat-syarat, yang kebanyakan berat sebelah, untuk majoriti besar yang lain.

Justeru, diplomat-diplomat kita perlu gagah dalam mendepani perkembangan-perkembangan ini.

* Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Menteri Luar Negeri dan Ahli Parlimen Indera Mahkota. Beliau aktif di Twitter: @saifuddinabd

Klik di sini untuk terus membaca