WABAK taun yang kali terakhir melanda Syria pada tahun 2009 kini kembali semula ke negara yang masih dilanda perang saudara itu berikutan masalah pencemaran di Sungai Euphrates iaitu sumber utama bekalan air kepada penduduknya. Situasi para... Klik di sini untuk terus membaca

WABAK taun yang kali terakhir melanda Syria pada tahun 2009 kini kembali semula ke negara yang masih dilanda perang saudara itu berikutan masalah pencemaran di Sungai Euphrates iaitu sumber utama bekalan air kepada penduduknya.

Situasi para pesakit yang mendapatkan rawatan perubatan kerana menghidap penyakit itu dapat dilihat di sebuah hospital di negara tersebut termasuk Ahmad al-Mohammad di samping isterinya selepas mereka dijangkiti taun apabila ia muncul semula buat kali pertama dalam tempoh beberapa tahun.

Selama enam hari dirawat di hospital tersebut, Mohammad telah melihat ramai pesakit mendapatkan rawatan di Hospital Al-Kasrah di wilayah timur Deir Ezzor iaitu tempat di mana Sungai Euphrates yang sangat tercemar mengalir dan digunakan sebagai sumber utama air untuk bekalan minuman serta pengairan.

"Kami mengalami cirit-birit, muntah dan sakit kerana kami minum terus dari Sungai Euphrates,” kata lelaki berusia 45 tahun itu kepada AFP.

"Air Sungai Euphrates telah tercemar tetapi kita tidak mempunyai pilihan lain," tambahnya lagi yang hampir tidak boleh bercakap kerana menghidap penyakit taun.

Penyakit taun pada kebiasaannya dijangkiti manusia akibat daripada makanan atau pengambilan air tercemar.

Ia merebak di kawasan-kawasan perumahan yang mengalami masalah kekurangan rangkaian pembetungan atau kemudahan sumber utama air minumannya berdepan masalah pencemaran.

Hampir dua pertiga daripada loji rawatan air dengan separuh daripada stesen pam dan satu pertiga daripada menara air telah rosak akibat perang yang berlaku lebih sedekad lalu di negara berkenaan, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kerajaan Syria telah mengumumkan bahawa terdapat kira-kira 23 kematian dan lebih 250 lagi kes taun di enam daripada 14 wilayah negara itu sejak permulaan wabak tersebut yang berlaku pada September ini dengan kebanyakan kes tertumpu di wilayah utara Aleppo.

Pentadbiran separa autonomi Kurdis yang menguasai wilayah timur laut Syria dan beberapa bahagian di Deir Ezzor telah merekodkan 16 kematian dan 78 kes di kawasan di bawah kawalannya termasuk 43 kes di barat Deir Ezzor, kata seorang pegawai kesihatan negara itu Juan Mustafa pada Rabu.

Beliau berkata, ujian air Sungai Euphrates membuktikan terdapat kehadiran bakteria sehingga menyebabkan penyakit taun manakala penyebarannya berpunca daripada aliran air yang berkurangan.

Dikatakan pernah mengalir melalui Taman Eden, Sungai Euphrates yang sepanjang hampir 2,800 kilometer (km) merentasi negara Turki, Syria dan Iraq manakala ketika hujan, ia telah menawarkan bekalan air dalam tempoh yang banyak.

Penduduk Syria menghidap penyakit taun setelah menggunakan air Sungai Euphrates. - Foto AFP

PARAS TERENDAH

Bagaimanapun, paras air sungai itu pernah berada pada paras terendah dalam sejarah berikutan masalah kemarau dan peningkatan suhu sehingga ia dikaitkan dengan masalah perubahan iklim sebagai punca ia terjadi sedemikian rupa.

Pihak Kurdis Syria juga telah menuduh Turki bertindak menahan lebih banyak air daripada yang diperlukan di empangannya.

Aliran air yang berkurangan telah meningkatkan lagi isu pencemaran sungai kerana sebahagian besarnya disebabkan oleh masalah kumbahan tetapi juga daripada minyak di kawasan yang kaya dengan hidrokarbon termasuk di Deir Ezzor.

Di sebalik pencemaran yang berlaku itu, lebih lima juta daripada kira-kira 18 juta penduduk Syria bergantung pada Sungai Euphrates untuk mendapatkan bekalan air minuman mereka, menurut PBB.

Kos pergantungan terhadap sumber bekalan Sungai Euphrates dapat dilihat di Hospital Al-Kasrah yang mana seorang lelaki memeluk bayinya dengan lembut ketika tiub intravena menusuk tangan si kecil itu.

Pengarah hospital tersebut, Tarek Alaeddine berkata bahawa sebelum ini pihaknya telah menerima berpuluh-puluh kes yang disyaki taun pada setiap hari tetapi telah mencatatkan ratusan kes sejak tiga minggu yang lalu.

Semua pesakit telah meminum air yang dihantar oleh trak yang mengambilnya terus dari Sungai Euphrates tanpa melalui penapisan atau pensterilan menyebabkan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa kesihatan dan alam sekitar diseru untuk bertindak bagi membantu menangani masalah itu dengan segera, kata Alaeddine.

Seorang petani, Ahmad Suleiman al-Rashid, 55, berkata, dia mengairi ladang kapas, bendi, bayam dan bijian dengan menggunakan air Sungai Euphrates sehingga menyebabkan tanaman-tanamannya tercemar kerana tiada stesen penapisan air.

"Kami minum air yang tidak disterilkan dan tidak berklorin serta bergantung kepada Tuhan untuk perlindungan. Apa lagi yang boleh kita buat? Pihak berkuasa yang harus dipersalahkan,” katanya seperti dilaporkan oleh AFP.

Seorang penduduk, Sobha Hamid Ali, 60, duduk ketika membersihkan daun bayam tetapi sedar tentang bahaya air Sungai Euphrates namun berkata, tidak banyak yang boleh dia lakukan untuk mengatasi masalah tersebut.

"Kami terpaksa makan sayur-sayuran yang tercemar. Lagipun kita mesti hidup," katanya.

Walaupun perang di Syria yang berlaku sejak tahun 2011 dengan tujuan untuk menumbangkan Presidennya, Bashar Al-Assad masih belum tamat, negara itu pula kini dilanda episod kesedihan kerana wabak taun yang juga masih belum lagi berakhir. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca