PERIHAL individu kemaruk gelaran ‘Dr’ kembali hangat diperkatakan. Terbaharu, dengan bermodalkan wang serendah RM400, seseorang dikatakan boleh mendapatkan anugerah atau gelaran doktor kehormat daripada beberapa badan bukan kerajaan (NGO).
NGO tempatan berkenaan didakwa menggunakan taktik berselindung di sebalik perkhidmatan sosial dan kegiatan seni serta budaya untuk menjerat mangsa. Khabarnya ramai yang sudah terkena termasuk selebriti media sosial.
Di Malaysia, selain doktor perubatan, seseorang yang telah dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) juga boleh menggunakan gelaran Dr pada pangkal nama mereka.
PhD ialah ijazah tertinggi bidang akademik. Jadi, selain doktor di hospital, kita juga ada doktor bahasa, doktor ekonomi, doktor sains politik, doktor pengajian Islam dan banyak lagi. Pemegang PhD ini ramai jumlahnya. Apatah lagi, kerajaan menyasarkan 60,000 pemegang ijazah PhD menjelang 2030.
Bilangan doktor perubatan pula lebih ramai lagi iaitu lebih 71,000 orang yang kini berkhidmat di sektor awam dan swasta dengan nisbah seorang doktor untuk 454 penduduk.
Bagaimanapun, penerima anugerah doktor kehormat secara konvensyen tidak seharusnya menggunakan gelaran Dr kerana ia mengelirukan dan kedudukannya tidak sama dengan PhD. Doktor kehormat bukan kelayakan akademik, ia adalah anugerah untuk pencapaian seumur hidup.
Cara betul seperti dinyatakan bekas Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh di Dewan Negara pada 2017 ialah menggunakan gelaran doktor kehormat dalam tanda kurungan (Dr), contohnya, Datuk (Dr) Abdul Rahim Hashim.
Di banyak negara seperti Austria, Jerman dan Switzerland, Dr PhD ialah gelaran dilindungi dan berpura-pura memilikinya sedangkan anda tiada kelayakan adalah satu kesalahan jenayah.
Disebabkan tingginya nilai ekonomi dan pandangan masyarakat kepada pemegang PhD, ada yang mendapatkan ijazah itu secara salah. Malah, mereka sanggup membayar sehingga ratusan ribu ringgit kepada individu dari universiti tertentu demi PhD palsu.
Orang jiwa kacau yang mahu memperoleh ijazah dalam masa sehari tanpa susah payah belajar ini besar bilangannya. Padahal, penuntut PhD sebenar terpaksa menghabiskan masa selama empat hingga lapan tahun sebelum layak dianugerahkan ijazah berkenaan.
Mereka ini hakikatnya orang malas dan suka menipu. Mereka bangga memperkenalkan diri sebagai Dr, sedangkan mungkin sekadar tamat Tingkatan Lima. Ia tidak menghairankan kerana menjaja gelaran Dr kadangkala banyak keuntungannya.
Ia membuatkan seseorang senang dapat projek atau dilantik sebagai pengarah atau perunding dalam organisasi tertentu. Pakar motivasi, pemimpin MLM, penjual produk kosmetik, ahli perniagaan dan ahli politik ada yang menggunakan taktik tersebut.
Hari ini, ‘kilang ijazah’ berpangkalan di Amerika Syarikat menjual kira-kira 200,000 ijazah palsu setahun kepada pelanggan di seluruh dunia. Jangan pula terkejut jika ‘industri ijazah palsu’ di seluruh dunia sekarang dianggarkan bernilai AS$1 bilion (RM4.5 bilion) setahun.
Apa pun, tidak kiralah doktor kehormat atau doktor PhD, ia tidak wajar disalahgunakan. Gelaran Dr hakikatnya bukanlah ukuran kehebatan seseorang.
Kim Ung-yong dari Korea Selatan yang memperoleh PhD pada usia yang sangat muda, 15 tahun pada 1963 dan muncul dalam Guinness World Book of Records kerana memiliki ‘IQ Tertinggi’ dengan tegas mengatakan kejayaan akademik tidak semestinya menjadi kayu pengukur untuk kita menilai seseorang.
"Masyarakat tidak seharusnya menilai sesiapa secara sama rata – setiap orang mempunyai tahap pembelajaran, harapan, bakat dan impian yang berbeza, dan kita harus menghormatinya.”
Realitinya, bukan semua orang dahagakan panggilan Dr Allahyarham Tun Arshad Ayub dilaporkan mempunyai sekurang-kurangnya 10 anugerah doktor kehormat, manakala Tan Sri Lee Lam Thye dengan enam doktor kehormat tetapi mereka tidak gunakan gelaran (Dr). Pencapaian mereka terlalu besar berbanding sekadar berbangga dengan gelaran.
Tetapi malulah kerana sesetengah penerima anugerah doktor kehormat atau pemegang PhD palsu bersikap lebih sudu daripada kuah dan marah jika dirinya tidak dipanggil ‘Dr’.
* Zuki Pileh ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian.
Klik di sini untuk terus membaca