SHAH ALAM - Biarpun dibebaskan daripada 40 tuduhan rasuah di Mahkamah Tinggi Shah Alam di sini pada Jumaat, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi masih belum boleh menarik nafas lega sepenuhnya kerana nasibnya masih belum diketahui berhubung 47... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Biarpun dibebaskan daripada 40 tuduhan rasuah di Mahkamah Tinggi Shah Alam di sini pada Jumaat, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi masih belum boleh menarik nafas lega sepenuhnya kerana nasibnya masih belum diketahui berhubung 47 pertuduhan melibatkan Yayasan Akalbudi (YAB).

Ahmad Zahid ketika ini sedang membela diri di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap 47 pertuduhan, iaitu 12 kes pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik YAB.

Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, dari sudut perundangan Ahli Parlimen Bagan Datuk berkenaan masih belum dapat membersihkan dirinya daripada semua pertuduhan berkenaan selagi prosiding kes YAB tidak selesai sepenuhnya.

Bagaimanapun, Haniff Khatri berkata, Ahmad Zahid kini bebas 100 peratus daripada 40 pertuduhan kes Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam melepaskan dan membebaskannya pada Jumaat.

"Ini tidak bermakna Ahmad Zahid bebas dari semua pertuduhan jenayah kerana beliau masih menghadapi perbicaraan di peringkat pembelaan membabitkan 47 pertuduhan kes YAB yang dijangka diadakan pada akhir tahun ini," katanya kepada Sinar Premium.

MOHAMED HANIFF KHATRI - FOTO SINAR HARIAN / ROSLI TALIB

Bagi pertuduhan pecah amanah YAB, Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi penggunaan kad kredit peribadi dan polisi insurans serta lesen kenderaan peribadinya, pemindahan wang kepada firma guaman dan sumbangan kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia.

Di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Jumaat, selepas tiga tahun turun naik mahkamah, Ahmad Zahid dibebaskan daripada 40 tuduhan menerima suapan daripada syarikat UKSB berhubung kontrak pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan sistem Visa Luar Negara (VLN).

Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Mohd Yazid Mustafa, berkata pihak pendakwaan gagal mewujudkan prima facie ke atas bekas timbalan perdana menteri itu.

Ahmad Zahid berdepan 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), selain tujuh lagi mendapatkan SG$1,150,000; RM3.125 juta; 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya.

Kesemua pertuduhan itu didakwa dilakukan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Pun begitu kata Mohamed Haniff, keputusan itu bukan satu keputusan yang mengejutkan.

"Daripada apa yang saya baca Ahmad Zahid kini dilepas dan dibebas daripada semua 40 pertuduhan dikenakan terhadapnya. Ini adalah 'The End of Cases' kecuali pihak pendakwa raya mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan jika mereka mahu meneruskan prosiding pendakwaan.

"Tiada lagi perbicaraan lanjutan dan Ahmad Zahid tidak perlu lagi berhujah dan membela diri untuk kes ultra jenayah di Mahkamah Tinggi. Ini bermakna tiada keperluan untuk beliau membela diri kerana Presiden UMNO berkenaan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi.

"Pihak pendakwa raya gagal mengemukakan kes prima facie yang kukuh dan setiap elemen pertuduhan terhadap Ahmad Zahid yang kononnya menerima sejumlah wang tanpa apa-apa balasan. Saya tidak terkejut dengan keputusan kes ini kerana pihak pendakwa raya gagal membuktikan pembayaran kepada pihak lain," katanya.

Haniff Khatri berkata, ini bermakna Ahmad Zahid kini bebas sepenuhnya daripada semua pertuduhan utama dan tambahan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009/ Seksyen 165 Kanun Keseksaan dikenakan ke atasnya berhubung kontrak OSC dan VLN terbabit.

Klik di sini untuk terus membaca