TARIKH 23 Ogos atau sebulan lalu menyaksikan sejarah besar politik negara tercipta apabila Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi bekas Perdana Menteri Malaysia yang pertama diperintahkan ke penjara oleh Mahkamah Persekutuan. Hal ini susulan... Klik di sini untuk terus membaca

TARIKH 23 Ogos atau sebulan lalu menyaksikan sejarah besar politik negara tercipta apabila Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi bekas Perdana Menteri Malaysia yang pertama diperintahkan ke penjara oleh Mahkamah Persekutuan.

Hal ini susulan panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Ahli Parlimen Pekan itu yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Keputusan sebulat suara dibuat panel lima hakim berkenaan selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Najib bagi setiap tiga pertuduhan penyelewengan masing-masing RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta daripada dana SRC.

Dengan keputusan di akhir prosiding itu, Najib akhirnya terpaksa menjalani hukuman penjaranya di Penjara Kajang, buat pertama kalinya selepas tiga tahun beliau dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Tinggi.

Perwakilan UMNO yang hadir ke Taklimat Khas Presiden UMNO melaungkan 'bubar, bubar (Parlimen)' dan 'Hidup Najib' di sepanjang program itu berlangsung.


LAUNGAN BUBAR PARLIMEN

Selaku seorang figura politik negara dianggap paling berpengaruh di media sosial tempatan ketika ini, nasib malang Najib itu pasti dinilai 32 juta rakyat Malaysia dengan reaksi bercampur-baur.

Bagi kelompok mahukan transformasi politik ke arah lebih telus dan berintegriti, pengekalan keputusan bersalah Najib pastinya disambut baik dan diterima mereka dengan tangan terbuka.

Malahan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP baharu, Anthony Loke Siew Fook sendiri menganggap keputusan itu sebagai kemenangan rakyat.

Lebih menarik, mereka turut memuji pentadbiran kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang disifatkan menghormati doktrin pengasingan kuasa cabang kuasa negara.

Namun reaksi kecewa dan kesal ditunjukkan oleh sebilangan besar penyokong Najib dan pucuk pimpinan UMNO diketuai Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Bermula dengan siri 'penjelasan' barisan peguam yang mewakili Najib di mahkamah seperti Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Datuk Zaid Ibrahim di media sosial yang seolah-olah mempersoalkan ketelusan institusi mahkamah dalam menghakimi kes Najib di tiga peringkat mahkamah.

Pucuk pimpinan utama UMNO turut mempersoalkan keengganan Mahkamah Persekutuan memberi sedikit masa kepada pasukan peguam Najib bagi menyediakan hujah pembelaan diri.

Ahmad Zahid (kiri) bersama Najib. - Gambar fail

Lebih mengejutkan, empat hari selepas Najib meringkuk di dalam penjara, satu program Taklimat Khas Presiden UMNO di Dewan Merdeka, WTC dianjurkan parti itu bagi menyuarakan solidariti terhadap nasib Pengerusi Lembaga Penasihat BN itu.

Dihadiri lebih 3,000 hadirin termasuk isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor dan anak-anak beliau iaitu Nooryana Najwa dan Datuk Mohd Nizar, program khas berkenaan turut menjadi platform Ahmad Zahid membidas sistem kehakiman negara yang disifatkan berat sebelah di samping menuntut Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan secepat mungkin.

Gesaan Ahmad Zahid itu disambut perwakilan UMNO yang hadir dengan laungan 'bubar, bubar (parlimen)' di samping mereka menyebut tanpa henti sorakan 'Hidup Najib' di sepanjang program itu berlangsung.

Hakikatnya program taklimat khas UMNO itu turut memberi tekanan secara tidak langsung kepada Ismail Sabri, susulan beliau dituduh gagal menggunakan kedudukannya sebagai ketua kerajaan untuk membantu menyelesaikan kes Najib.

Ucapan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said dalam program taklimat itu juga seolah-olah mengiyakan persepsi segelintir penyokong fanatik Najib terhadap Ismail Sabri apabila beliau menggesa Ahli Parlimen Bera itu menukar Peguam Negara (AG) dengan sindiran 'takkan nak tukar AG pun tidak boleh'.

Implikasinya, beliau yang juga Penasihat Khas Perdana Menteri (Undang-undang dan Hak Asasi Manusia) akhirnya meletakkan jawatan berkenaan tidak lama selepas itu, susulan menerima kritikan pelbagai pihak, termasuk dari dalam kalangan pimpinan UMNO sendiri.

Rosmah tidak dapat menahan kesedihan pada Taklimat Khas Presiden UMNO yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). - FOTO: ROSLI TALIB


KISAH ANAK DAN ISTERI

Meskipun Najib secara fizikalnya sudah berada di dalam penjara, platform Facebook beliau secara rasminya masih aktif memuat naik hantaran-hantaran yang bersifat luahan peribadi serta titipan kata-kata semangat buat penyokong UMNO.

Bahkan, platform media sosial Nooryana turut menjadi tumpuan apabila anak perempuannya itu acapkali berkongsikan kisah kenangan manis bekas Presiden UMNO bersama keluarga dan rakyat.

Namun, giliran Nooryana pula menjadi mangsa kecaman netizen dan dituduh tidak sensitif dengan kesusahan rakyat ketika ini.

Hal ini susulan beliau memuat naik satu hantaran mendedahkan ayahnya penggemar kopi jenis caramel macchiato dari jenama Starbuck.

Najib terus menerima tamparan hebat apabila Rosmah kemudiannya dijatuhkan hukuman bersalah atas tiga tuduhan rasuah membabitkan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Berikutan itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Rosmah dipenjara 10 tahun bagi setiap tiga tuduhan rasuah yang berjalan serentak dan denda RM970 juta.

STATUS AHLI PARLIMEN

Polemik Najib selepas dimasukkan ke penjara Kajang tidak terhenti setakat itu. Kali ini, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun pula mengundang kritikan ahli politik dan sebahagian rakyat apabila mengumumkan status kedudukan Najib sebagai Ahli Parlimen Pekan akan kekal buat masa ini.

Jelas Azizan, hal ini kerana beliau menerima dokumen tambahan merujuk surat daripada Tetuan Shafee & Co bertarikh 7 September 2022 mengenai permohonan Semakan Jenayah (Review) menurut Kaedah 137 Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 kepada Mahkamah Persekutuan.

Keputusan pengekalan status Ahli Parlimen itu bagaimanapun tidak dapat menghalang tiga negeri iaitu Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang daripada menarik semula gelaran darjah kebesaran negeri diterima Najib selama ini.

HRC Cheras.


KISAH RAWATAN DAN MERPATI

Terkini, Najib sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila beliau berdepan dakwaan kononnya sebanyak RM3.5 juta diperuntukkan kerajaan kepada Jabatan Penjara Malaysia bagi urusan penempatan beliau di Penjara Kajang.

Perkara itu tular di media sosial sejak beberapa hari lalu apabila Kementerian Dalam Negeri (KDN) didakwa memperuntukkan RM50,000 sebagai kos ubah suai bilik, selain RM3.5 juta bagi urusan meliputi kenderaan, kesihatan dan penempatan Najib.

Mesej tular itu turut merujuk Najib dengan kod nama 'merpati' selain menuduh beliau dibenarkan menerima rawatan di Hospital Rehabilitiasi Cheras (HRC) bagi membolehkannya menerima layanan orang kenamaan dan kemudahan menerima tetamu.

Semua ini gara-gara peguam Najib memaklumkan beliau kini mengalami kesihatan teruk ekoran ubat darah tinggi baharu diambilnya menyebabkan kesan teruk.

Bagaimanapun, Jabatan Penjara Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan Hospital Kuala Lumpur (HKL) merupakan pihak bertanggungjawab merujuk Najib ke HRC untuk rawatan dan pemantauan lanjutan.

Jabatan Penjara Malaysia memaklumkan Najib akan dihantar semula ke Penjara Kajang setelah pakar perubatan HRC atau HKL memberi pelepasan kesihatan kepadanya.

Perkara itu turut disahkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang memberi jaminan kerajaan tidak pernah memberi sebarang layanan istimewa kepada tahanan penjara berprofil tinggi seperti Najib.

"Selaras dengan Seksyen 37 Akta Penjara dan peruntukannya serta Peraturan Minimum Standard Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Rawatan Banduan (Peraturan Mandela), Jabatan Penjara menghantar Najib ke HKL untuk rawatan pakar di sana.

"Datuk Seri Najib akan dihantar semula ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman sebaik sahaja pakar perubatan melepaskannya," kata Jabatan Penjara Malaysia menerusi satu kenyataan.

Dengan pasukan peguam Najib sudah menfailkan semakan kehakiman jenayah (Review) kepada Mahkamah Persekutuan dan beliau masih berpeluang memohon pengampunan diraja sebagai peringkat terakhir rayuan pembebasannya.

Hanya masa bakal menentukan sama ada tokoh UMNO paling berpengaruh itu kekal menghabiskan tempoh hukuman beliau di penjara atau mencetuskan kejutan dengan kembali membuat kemunculan sensasi dalam dunia politik tidak lama lagi.

Klik di sini untuk terus membaca