USAHA memerangi rasuah tidak seharusnya difokuskan kepada kenaikan gaji tetapi perlu dikaitkan dengan usaha menyemai nilai moral yang tinggi, beretika dan integriti demi mewujudkan sebuah pentadbiran yang bersih, cekap dan tulus. Walaupun... Klik di sini untuk terus membaca

USAHA memerangi rasuah tidak seharusnya difokuskan kepada kenaikan gaji tetapi perlu dikaitkan dengan usaha menyemai nilai moral yang tinggi, beretika dan integriti demi mewujudkan sebuah pentadbiran yang bersih, cekap dan tulus.

Walaupun langkah menaikkan gaji mungkin mampu mengurangkan kecenderungan untuk mengambil rasuah, pelbagai kes besar melibatkan para pegawai berpendapatan tinggi membuktikan sifat tamak boleh menjadi punca rasuah yang akan menjejaskan integriti para penjawat awam.

Kes rasuah melibatkan kakitangan bawahan seperti menerima ‘duit kopi’ lebih memberikan kesan kepada orang awam kerana ia melibatkan mereka secara langsung berbanding kes berprofil tinggi dalam jumlah jutaan ringgit.

Harus ditegaskan bahawa kenaikan gaji dan elaun tidak akan mampu membanteras rasuah dalam kalangan kakitangan awam jika sifat tamak dan sentiasa mahukan kemewahan melebihi kemampuan menguasai mereka.

Oleh itu, semua pihak harus membantu usaha gerakan Rasuah Busters untuk mencapai ‘sifar rasuah’ dengan meningkatkan integriti dan menjadikan kebencian terhadap rasuah sebagai budaya masyarakat.

Penjawat awam bukan sahaja perlu memaparkan perkhidmatan yang cekap dan beretika, namun perlu memupuk budaya yang menekankan integriti dalam pengurusan harian.

Pegawai yang terlibat dalam aktiviti rasuah ini kebanyakannya ialah orang yang bertanggungjawab dalam bidang penguatkuasaan undang-undang.

Bagi membasmi amalan itu, semua agensi penguatkuasaan undang-undang perlu mempunyai satu sistem kawalan dalaman yang boleh mengesan penyelewengan.

Usaha yang berterusan perlu dibuat untuk memupuk nilai-nilai integriti dan beretika ini kerana individu yang berintegriti tinggi tidak mungkin melakukan amalan rasuah dalam apa jua keadaan.

Pentadbir awam dan semua penjawat awam perlu melaksanakan tugas mereka dengan jujur di samping beretika dan telus.

Saya percaya bahawa penerapan nilai-nilai murni dan etika ini diiringi dengan pematuhan kepada ikrar pentadbiran yang baik dapat memerangi amalan rasuah dalam perkhidmatan awam.

Didiklah mereka

Lebih banyak yang perlu dilakukan untuk mendidik rakyat tentang bagaimana mereka boleh melaksanakan hak-hak dan tanggungjawab untuk mewujudkan pentadbiran yang bersih dan berintegriti.

Promosi kesedaran awam dan penglibatan awam perlu diberi penekanan iaitu termasuk:-

i.) Sebuah media yang bebas untuk membongkar kegiatan rasuah;

ii.) Menggalakkan perbincangan dan wacana mengenai isu-isu integriti dan salah guna kuasa;

iii.) Membangunkan kesedaran sivik bagi memupuk budaya ketelusan, akauntabiliti dan integriti di kalangan rakyat;

iv.) Universiti dan institusi pengajian tinggi perlu menyemai nilai-nilai integriti di kalangan mahasiswa untuk mengubah persepsi mereka bahawa rasuah bukan sebagai ancaman;

v.) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh memainkan peranan yang penting untuk memupuk nilai positif dalam semua kolej latihan guru supaya guru dapat menyampaikan nilai yang baik kepada pelajar masa depan mereka.

Usaha memerangi rasuah harus bermula di sekolah melalui penekanan kepada pengajaran dan amalan nilai-nilai murni dalam kalangan generasi muda kita terutama tentang keperluan untuk membangunkan satu budaya integriti serta menjadikannya sebagai satu cara hidup mereka di masa depan.

Sekiranya perlu saya mencadangkan satu kurikulum diwujudkan di sekolah untuk mendidik pelajar tentang keburukan rasuah dan mengapa ia tidak boleh dibiarkan.

Golongan muda harus dididik dengan nilai-nilai moral, etika dan integriti semasa mereka di bangku sekolah bagi memudahkan pembanterasan rasuah kelak.

* Tan Sri Lee Lam Thye ialah aktivis masyarakat

Klik di sini untuk terus membaca