KALAU anda berjalan kaki dari Wilayah Sindh di Pakistan ke Hulu Langat dan Taman Sri Muda di Selangor atau ke daerah Bentong, Pahang, anda perlu berjalan kira-kira 6,100 kilometer mengikut laluan yang dipaparkan di Google Map. Sangat jauh... Klik di sini untuk terus membaca

KALAU anda berjalan kaki dari Wilayah Sindh di Pakistan ke Hulu Langat dan Taman Sri Muda di Selangor atau ke daerah Bentong, Pahang, anda perlu berjalan kira-kira 6,100 kilometer mengikut laluan yang dipaparkan di Google Map. Sangat jauh jaraknya.

Walaupun Pakistan agak jauh dari Malaysia tetapi Sindh, Hulu Langat, Taman Sri Muda dan Pahang berkongsi satu persamaan yang sedih – banjir.

Di Pakistan, pihak berkuasa negara tersebut meramalkan satu tempoh pemulihan bencana yang panjang kerana beberapa kawasan di Pakistan, khususnya kawasan di sepanjang Sungai Indus di Sindh teruk terjejas akibat banjir yang disifatkan antara paling buruk dalam sejarah negara itu.

Banjir yang dilaporkan berpunca daripada hujan monsun sangat lebat dan lama, diperitkan lagi dengan kecairan glasier di kawasan pergunungan utara Pakistan, kini telah meragut nyawa lebih 1,400 orang serta menjejaskan hidup lebih 30 juta penduduk.

Pakistan juga mula dihantui krisis kesihatan kerana ancaman penyakit bawaan air seperti denggi dan taun. Wabak denggi kini memberi tekanan berat ke atas sistem kesihatan di Wilayah Karachi dengan kes denggi 50 peratus lebih tinggi berbanding tahun 2021 dan ribuan pesakit dibawa ke hospital setiap hari.

Dengan nilai kemusnahan banjir yang diramalkan sekitar AS$30 bilion (RM135 bilion), lebih 10 peratus populasi penduduk di Pakistan kini bakal berada dalam sengsara hidup yang serba kekurangan bagi satu tempoh panjang.

Malaysia tidak terkecuali daripada bencana alam yang sama. Sesungguhnya ingatan rakyat Malaysia, khususnya rakyat di negeri Pahang masih segar dengan pelbagai bentuk kerugian dan kemusnahan harta benda apabila banjir besar melanda Bentong, Raub, Lipis, Jerantut, Bera dan lain-lain daerah pada hujung 2021.

Tragedi banjir yang memberi impak besar kepada lebih 60,000 mangsa banjir di Pahang dan meragut 18 nyawa menjadi antara peristiwa hitam paling pedih dialami rakyat Darul Makmur.

Banjir yang teruk ketika itu turut memutuskan laluan dua lebuh raya utama di Pahang kerana kenaikan paras air yang menyekat laluan kenderaan antara Bentong, Karak, Lanchang dan Kuala Lumpur.

Sepanjang tragedi tersebut, media sosial turut dibanjiri pelbagai paparan gambar dan video pendek yang merakam kerosakan besar akibat kepala air menghempap kawasan kampung serta perumahan. Amat berat mata memandang.

Penduduk di Hulu Langat dan Taman Sri Muda di Selangor turut menjadi mangsa bencana banjir yang melanda kedua-dua kawasan tersebut pada hujung tahun 2021.

Impak banjir yang mengakibatkan ribuan kediaman ditenggelami air sehingga ke paras bumbung meninggalkan kesan trauma yang sukar dilupakan dan kini masih ramai bekas mangsa banjir yang bergelut dengan pelbagai cabaran untuk kembali ke tahap kualiti hidup seperti dahulu kala.

Tidak lupa juga mangsa banjir di Baling, Kedah yang terpaksa hidup merana dan ‘bersepah’ akibat sudah beberapa kali ditimpa musibah banjir dalam tempoh tidak sampai tiga bulan.

Sesungguhnya, daripada kita mabuk disuap slogan-slogan politik yang mendesak segerakan pembubaran Parlimen dan adakan pilihan raya umum (PRU), bukalah mata serta hati kepada ramalan cuaca terbaharu Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bahawa Malaysia akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini yang bakal mencetuskan ancaman banjir besar serta banjir kilat.

Jika PRU berlaku pada November nanti, letaklah peti undi di atas bumbung! Malaysia akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini yang bakal mencetuskan ancaman banjir besar dan banjir kilat.”

* Lim Chee Wei ialah anak jati Kedah yang minat filem retro.

Klik di sini untuk terus membaca