SESUNGGUHNYA, musuh paling besar bagi setiap individu adalah ‘tidak pernah berasa puas dalam hidup’. Lantaran itu, walaupun sudah berlebih, hendak dilebihkan lagi, walaupun sudah cantik, hendak dicantikkan lagi, walaupun sudah berpangkat, hendak dinaikkan pangkat lagi.
Pendek kata, semua kurniaan itu masih tidak cukup dan belum puas. Mereka rakus mengejarnya siang dan malam, mencari peluang untuk menambah bukannya memberi.
Sebetulnya, tatkala kita menginginkan kehidupan seperti orang lain, ada orang lain yang menginginkan kehidupan kita. Sewaktu kita berasa miskin, tentunya kita inginkan kehidupan sebagai orang yang kaya kerana nampak hebat dan semua masalah dapat diselesaikan menerusi kekayaan.
Walhal, sesetengah mereka yang kaya berasa menyesal dengan kekayaan kerana perlu hadapi pelbagai cabaran hidup sehingga menjejaskan ketenangan dan privasi hidup mereka.
Tambahan pula, jika disabitkan kesalahan jenayah kerana kaya akibat rasuah, menipu dan memanipulasikan sistem, lagilah menyesal menjadi kaya.
Bagi mereka yang sedih, rimas dan terkongkong di rumah kerana perlu menjaga anak-anak kurang upaya, berasa sangat tidak bernasib baik melihat rakan-rakan lain mempunyai anak-anak sempurna.
Walhal, ada dalam kalangan mereka berasa diri kita bertuah kerana tidak perlu malu dan kecewa dengan perangai anak-anak yang terlibat dengan gejala najis dadah, hubungan luar nikah serta pelbagai tingkah laku buruk yang menjejaskan maruah dan nama baik keluarga.
Adakala kita berasa kecewa kerana selalu disisihkan untuk kenaikan pangkat di tempat kerja, sedangkan mereka yang berpangkat berasa cemburu dengan kehidupan kita yang sederhana kerana tidak perlu menghadapi konflik dengan pekerja, bebanan tugas berlebihan, kerja tidak tentu masa, malah hendak bercuti bersama keluarga pun payah.
Sewaktu kita sakit, berderai air mata memikirkan nasib kita tidak seperti orang lain yang bergerak bebas, bergembira, boleh ke sana-sini dan sangat bahagia, sedangkan kita agak lama terlantar di katil hospital.
Walhal, jika kita reda dan penuh sabar menerima ujian tersebut, insya-ALLAH gugur dosa-dosa kita serta dilimpahi rahmat oleh ALLAH SWT tanpa putus.
Justeru, bagi orang yang beriman dan memahami hikmah sakit, ada juga perasaan ‘cemburu’ dalam kalangan mereka atas kurniaan tersebut bagi individu sabar serta reda dengan kesakitannya.
Menurut perspektif psikologi, kegagalan kita melihat kelebihan diri sendiri dan menerima segala ujian dalam kehidupan adalah disebabkan oleh pengaruh Cognitive Distortions atau pemikiran herot-berot.
Antara pemikiran herot-berot ialah membesarkan perkara negatif dalam kehidupan dan sangat sedikit menghargai kelebihan yang ada dalam diri.
Selain itu, suka melabel dan meletakkan kesalahan kepada orang lain terhadap segala punca kekurangan serta kekalutan dalam kehidupannya.
Malah, sentiasa membuat kesimpulan melampau dengan menganggap dunia ini tidak adil kepada dirinya dan menjadikan sesuatu isu dalam kehidupan bersifat peribadi.
Akibatnya, sukar melupakan dan memaafkan kesalahan orang lain. Ingatlah, kehidupan kita seperti permata, perlu digilap agar berseri sentiasa. Janganlah nanti hendak menjadi seperti kaca kerana kilauannya adalah seketika dan boleh pecah berderai bila-bila masa.
Lazimilah diri kita dengan berdoa seperti doa Nabi ALLAH, Sulaiman AS sebagaimana firman-Nya: "Wahai Tuhanku, ilhamkanlah aku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang engkau kurniakan kepada aku dan kepada ibu bapa aku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai, dan masukkan aku dengan limpah rahmat-Mu dalam kumpulan hamba-hamba-Mu yang soleh (Surah al-Naml, 27:19).
Teguhkan nilai dalam diri tanpa membuat perbandingan dengan orang lain. Kadangkala nampak cantik, namun beracun. Bersyukurlah.
* Profesor Dr Huzili Hussin ialah Profesor Psikologi Kaunseling, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis
Klik di sini untuk terus membaca