SEJAK kecil memang saya duduk di asrama. Semasa sekolah rendah pun, saya duduk di asrama. Di sekolah rendah tidaklah sepenuh masa, cuma ketika ada kursus motivasi atau kursus berkenaan menjawab peperiksaan. Asrama yang saya menginap adalah... Klik di sini untuk terus membaca

SEJAK kecil memang saya duduk di asrama. Semasa sekolah rendah pun, saya duduk di asrama. Di sekolah rendah tidaklah sepenuh masa, cuma ketika ada kursus motivasi atau kursus berkenaan menjawab peperiksaan.

Asrama yang saya menginap adalah di Sekolah Menengah (SM) Sultan Sulaiman. Kalau tidak silap saya, lebih kurang selama seminggu.

Duduk di asrama, undang-undang asrama perlu dipatuhi. Jam 5 pagi sudah bangun bersedia untuk solat Subuh. Asramanya terletak di tepi laut.

Bayangkan tidur malam diiringi dengan bunyi deburan ombak. Memang mengasyikkan sehingga lena diulit mimpi. Bunyi deburan membuatkan kita tidur selena-lenanya. Bangun pagi terpaksa dikejut. Kalau tidak, memang tidak bangun gamaknya.

Jam 5 pagi perlu bergegas untuk mandi. Sekali lagi bayangkan kesejukan air sehingga terasa menggigit tulang. Selesai mandi, bergegas ke surau sekolah pula untuk berjemaah solat Subuh. Ketika ini ramai yang sujud kadang-kadang tidak bangun sebab terlelap.

Tidak silap saya waktu itu baru berumur 10 tahun. Selesai bersarapan, bergegas pula ke kelas untuk latihan intensif persediaan menjawab soalan peperiksaan penilaian Tahun Lima.

Sekolah menengah pula, sekali lagi tinggal di asrama. Saya ditawarkan ke sekolah berasrama penuh. Selama lima tahun menjalani kehidupan berasrama, kali ini agak mencabar.

Sebagai pelajar Tingkatan Satu ketika itu, kebiasaannya akan dibuli oleh pelajar Tingkatan Lima. Di universiti pula, beberapa tahun tinggal di asrama. Selepas itu tidak ditawarkan lagi.

Di universiti, kalau tidak silap saya selama tiga tahun. Makan percuma. Tiga kali makan disediakan. Selepas tiga tahun dan tamat belajar, saya bekerja selama dua tahun sebelum menyambung pelajaran semula.

Kali ini asrama tidak ditawarkan lagi. Makan pun sendiri tetapi kita hendaklah kreatif. Ada jalan dan caranya. Boleh sahaja menumpang bilik penuntut lain yang dapat asrama.

Kata orang bijak pandai kita, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Teknik menumpang ini dipanggil ‘squaring’ atau dengan kata lain menumpang bilik secara haram.

Memang tidak sempat untuk saya mencari rumah atau bilik sewa. Saya sekarang walaupun sudah bekerja, apabila dipindahkan tempat kerja bukan senang hendak mencari rumah atau bilik sewa.

Dalam mencapai sesuatu, perlukan pengorbanan. Squat ini tidaklah selesa tapi boleh untuk tidur, mandi dan belajar.

Ke kelas pula boleh menumpang kawan-kawan yang ada motosikal. Hendak hidup perlulah kreatif dan jangan hanya mengeluh sahaja.

Duit memang sentiasa tidak cukup. Perlulah minta bantuan jika berkelayakan. Biasanya kalau tiada duit untuk makan malam, tidur awal.

Saya squat lebih kurang setahun. Selepas itu baru dapat menyewa bilik. Setiap hari makan nasi, telur goreng dan kicap sahaja.

Selepas dua tahun menjalani hidup sebagai mahasiswa, maka kita akan masuk alam pekerjaan yang lebih mencabar.

Kalau isu sekecil itu pun tidak dapat diselesaikan, bagaimana pula dengan alam pekerjaan?

Begitu juga apabila berkeluarga nanti. Cabaran mendatang akan sentiasa ada dan sentiasa menggugat kesabaran kita. Dan setiap kegelapan yang kita tempuhi, akhirnya di hujungnya nanti sentiasa disinari cahaya.

Bagaimanapun, dalam keadaan ekonomi lebih mencabar dan serba mahal, mungkin perlu bagi pihak yang bertanggungjawab berfikir untuk keperluan penginapan mahasiswa.

Pihak berkenaan boleh sahaja melaburkan atau membina tempat penginapan mahasiswa. Boleh sahaja untuk tahun pertama diberi kelonggaran tidak perlu membayar sewa. Kemudian apabila mereka sudah mendapat bantuan dan pinjaman, boleh ditolak sewanya.

Kepada penuntut cemerlang, boleh sahaja dikecualikan membayar sewa atau bantuan pinjaman. Bak kata bijak pandai sekali lagi, hendak seribu daya. Kata orang bijak pandai kita, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.”

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk berbual, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com

Klik di sini untuk terus membaca