SHAH ALAM - Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi membidas sikap pembangkang yang cuba mengelirukan rakyat dengan mempolemikkan isu kelulusan Enakmen Anti Lompat Parti pada sidang DUN negeri itu pada Khamis.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi membidas sikap pembangkang yang cuba mengelirukan rakyat dengan mempolemikkan isu kelulusan Enakmen Anti Lompat Parti pada sidang DUN negeri itu pada Khamis.

Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu, tuduhan Ahli Parlimen Kluang dari DAP, Wong Shu Qi mendakwa DUN Johor seolah-olah menolak kelulusan Enakmen Anti Lompat Parti walaupun akta itu sudah diluluskan di peringkat Parlimen, sebenarnya bersifat politik dan tidak bertanggungjawab.

Jelas beliau, usul yang ditolak oleh 37 ADUN Johor kerana tidak bersetuju dengan cadangan dibawa ADUN Skudai, Marina Ibrahim adalah cadangan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas untuk membuat kajian dan cadangan terhadap Enakmen Anti Lompat Parti, bukannya usul meluluskan enakmen itu sendiri.

Mohd Puad berkata, hal ini kerana kerajaan beranggapan ia tidak perlu kerana RUU Anti Lompat Parti sudah diluluskan di Parlimen dan telah diwartakan.

"Seperti hujah ADUN BN dari Pemanis, Anuar Abdul Manap, RUU Anti Lompat Parti sudah lengkap dengan DUN Johor tidak perlu buang masa untuk mengkajinya semula.

"Menurut Anuar lagi, kita hanya menunggu RUU itu dimasukkan dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Johor.

"Nampak sangat MP DAP dari Kluang (Shu Qi) tidak buat 'homework (kerja rumah)'. ADUN Skudai (Marina) daripada DAP, MP Kluang juga daripada DAP. Dua-dua dari Johor. MP Kluang malas membaca ke?," katanya kepada media pada Sabtu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan pihak pembangkang kononnya kerajaan negeri Johor yang dikuasai UMNO-BN cuba menolak pelaksanaan Enakmen Anti Lompat Parti.

Hal ini susulan cadangan pembangkang Johor supaya rundingan dibuat bagi penubuhan sebuah jawatankuasa pilihan khas peringkat negeri untuk menjalankan kajian dan cadangan Enakmen Anti-Lompat Parti ditolak secara majoriti dalam persidangan DUN negeri itu pada Khamis.

DUN Johor pada Khamis, menolak penubuhan jawatankuasa jawatankuasa pilihan khas bagi Enakmen Anti-Lompat Parti.

Rundingan bagi mencadangkan penubuhan jawatankuasa pilihan khas bagi menjalankan kajian dan cadangan Enakmen Anti-Lompat Parti dibawa itu oleh Marina (Marina Ibrahim (PH-Skudai).

Dua ADUN Pakatan Harapan (PH) iaitu Amira Aisya Abd Aziz (Muda-Puteri Wangsa) dan Arthur Chiong Sen Sern (PKR-Bukit Batu) tampil berbahas menyatakan sokongan, manakala dua ADUN BN iaitu Anuar Abd Manap (Pemanis) dan Datuk Sharifah Azizah Syed Zain (Mahkota) membantah cadangan terbabit.

Pada 28 Julai lalu, pindaan RUU Perlembagaan bagi mewujudkan peruntukan larangan Ahli Parlimen bertukar parti diluluskan dengan mendapat sokongan lebih dua pertiga ahli.

Pada 9 Ogos lalu, RUU berkenaan turut diluluskan di Dewan Negara selepas memperoleh sokongan 52 daripada 60 senator selepas dua kali undi belah bahagian dilakukan, iaitu lebih dua pertiga persetujuan Ahli Dewan Negara.

Sementara itu, Mohd Puad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO turut menjelaskan kepada Shu Qi bahawa DUN Johor sebenarnya sudah bersikap terbuka apabila membenarkan usul persendirian daripada pembangkang dibahaskan, walaupun ia kemudiannya ditolak.

Beliau turut membidas Shu Qi kerana memberi fakta salah terhadap kerusi DUN dimenangi UMNO-BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac lalu apabila Ahli Parlimen DAP itu mendakwa UMNO-BN menang 37 daripada 56 kerusi DUN, sedangkan jumlah angka sebenar adalah 40 kerusi.

"MP DAP dari Kluang itu juga tidak tahu jumlah kerusi yang BN menang (di Johor). Dia kata 37, sebenarnya 40. Memalukan.

"Wong Shu Qi tahu ke, rundingan (usul) DAP itu dibenarkan untuk dibahaskan. Itu sudah cukup baik. Janganlah dipolitikkan apatah lagi menipu," tegas beliau.

Klik di sini untuk terus membaca