SHAH ALAM - Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sepatutnya mencontohi keterbukaan kerajaan pusat dalam mewujudkan satu jawatankuasa khas rentas parti bagi membincangkan pelaksanaan pindaan akta berkaitan larangan ahli Parlimen lompat... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sepatutnya mencontohi keterbukaan kerajaan pusat dalam mewujudkan satu jawatankuasa khas rentas parti bagi membincangkan pelaksanaan pindaan akta berkaitan larangan ahli Parlimen lompat parti di peringkat Dewan Rakyat sebelum ini.

Timbalan Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching berkata, penubuhan jawatankuasa khas itu membolehkan isi kandungan pindaan Perlembagaan Persekutuan melibatkan akta anti lompat parti dapat diteliti secara menyeluruh dan tidak mewujudkan sebarang kelompongan.

Hasilnya, Ahli Parlimen Kulai itu menjelaskan, pindaan rang undang-undang (RUU) berkenaan akhirnya diluluskan di peringkat Dewan Rakyat dan Dewan Negara setelah disokong lebih dua pertiga bilangan ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negara, susulan isi kandungannya dipersetujui semua pihak.

Merujuk keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor menolak usul cadangan pembentukan Jawatankuasa Pilihan Khas untuk membuat kajian dan cadangan terhadap Enakmen Anti Lompat Parti, beliau berpendapat Onn Hafiz sepatutnya menunjukkan teladan kepada negeri-negeri lain dengan mengamalkan politik lebih matang.

"Pandangan saya, kalau satu jawatankuasa pilihan khas dibentuk, kerajaan dapat mengumpulkan pandangan ADUN-ADUN daripada pelbagai parti pembangkang termasuk Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

"Itu sebenarnya menunjukkan kerajaan mengamalkan politik matang, memandangkan semua wakil rakyat mahu memastikan setiap perkataan atau terma diguna pakai dalam isi kandungan enakmen anti lompat parti itu, dipersetujui semua pihak dan tiada kelompongan.

"Kalau satu jawatankuasa khas boleh diwujudkan di peringkat pusat, saya rasa Menteri Besar Johor pun boleh tunjukkan satu teladan baik dengan mencontohinya," katanya kepada Sinar Premium pada Sabtu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Onn Hafiz menafikan dakwaan Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi bahawa kerajaan negeri pimpinan UMNO-BN menolak pelaksanaan enakmen anti lompat parti.

Hal ini susulan cadangan pembangkang Johor supaya rundingan dibuat bagi penubuhan sebuah jawatankuasa pilihan khas peringkat negeri untuk menjalankan kajian dan cadangan Enakmen Anti Lompat Parti ditolak secara majoriti dalam persidangan DUN negeri itu pada Jumaat.

Onn Hafiz berkata, Yang di-Pertuan Agong akan berunding dengan Raja atau Yang di-Pertua Negeri, mengikut mana yang berkenaan, sebelum memperkenankan Seksyen 6 Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022.

Sebaik sahaja enakmen itu dikuatkuasakan di peringkat negeri, ADUN Machap itu menegaskan kerajaan negeri akan meminda perlembagaannya supaya selaras dengan peruntukan larangan lompat parti.

Pada 28 Julai lalu, pindaan RUU Perlembagaan bagi mewujudkan peruntukan larangan ahli Parlimen bertukar parti diluluskan dengan mendapat sokongan lebih dua pertiga ahli.

Pada 9 Ogos lalu, RUU berkenaan turut diluluskan di Dewan Negara selepas memperoleh sokongan 52 daripada 60 senator selepas dua kali undi belah bahagian dilakukan, iaitu lebih dua pertiga persetujuan Ahli Dewan Negara.

Sementara itu, Nie Ching yang juga Pengerusi Biro Publisiti Kebangsaan DAP mendedahkan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas itu juga secara tidak langsung memberi pengiktirafan kepada peranan dan buah fikiran barisan ADUN penyokong kerajaan negeri Johor sendiri.

Jelas beliau, dengan barisan ADUN penyokong kerajaan sudah semakin aktif menyertai perbahasan sama ada dalam Parlimen dan sidang DUN negeri, kewujudan Jawatankuasa Pilihan Khas rentas parti itu juga memberi peluang kepada mereka menyuarakan pandangan konstruktif demi penambahbaikan isi kandungan enakmen berkenaan.

"Meskipun pindaan RUU berkenaan peruntukan anti lompat parti diluluskan di Parlimen dan diwartakan, ia tidak semestinya sudah sempurna dan wajib dipersetujui wakil rakyat di peringkat negeri tanpa ada perbincangan konstruktif.

"Justeru, saya minta Menteri Besar Johor kembali mempertimbangkannya semula dengan satu sesi sidang khas DUN mungkin boleh diadakan bagi menjayakan tujuan berkenaan," ujarnya lagi.

Bagaimanapun, Ketua Pembangkang DUN Perak, Dr Abdul Aziz Bari daripada DAP memberikan reaksi berbeza apabila diminta mengulas keperluan kerajaan negeri menubuhkan satu Jawatankuasa Pilihan Khas bagi membincangkan inti pati Enakmen Anti Lompat Parti.

Abdul Aziz

Jelas Naib Pengerusi DAP Perak itu, beliau sejujurnya tidak pasti apa fungsi sebenar jawatankuasa khas berkenaan sekiranya diwujudkan susulan pindaan RUU berkenaan Akta Anti Lompat Parti yang diluluskan di Parlimen sebenarnya sudah menjadi garis panduan mencukupi.

"Setahu saya, kalau ada masalah berbangkit setelah enakmen anti lompat parti dikuatkuasakan di negeri-negeri, biar mahkamah sahajalah menjadi platform penyelesaiannya.

"Saya berpandangan undang-undang yang sudah diluluskan di Parlimen dan Dewan Negara, sudah cukup untuk menjadi garis panduan yang jelas kepada kerajaan negeri.

"Lagipun usul rundingan pembentukan Jawatankuasa Khas Parlimen ditolak majoriti ADUN Johor, jadi itu bukti jelas sikap dan pendirian kerajaan negeri yang mahu enakmen berkenaan mengikut garis panduan RUU diluluskan Parlimen sepenuhnya," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca