SHAH ALAM - Kerajaan mungkin terpaksa menanggung kos mencecah lebih RM1.5 bilion jika mahu mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada tahun ini. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kerajaan mungkin terpaksa menanggung kos mencecah lebih RM1.5 bilion jika mahu mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, mesyuarat kabinet pada Rabu dimaklumkan kos mengadakan PRU15 itu meningkat berikutan terdapat enam kerajaan negeri enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak dengan pembubaran Parlimen andainya kerajaan ingin meneruskan niat membubarkan Dewan Rakyat tahun ini.

"Terdapat enam negeri telah mengumumkan mereka tidak akan membubarkan DUN jika kerajaan mahu membubarkan Parlimen pada musim tengkujuh nanti.

"Bagaimanapun, jika terdapat enam negeri yang enggan membubarkan DUN serentak dengan Parlimen, maka kosnya akan meningkat kerana setiap dewan berkenaan akan terbubar sendiri secara automatik apabila sampai tempoh matangnya.

"Kabinet dimaklumkan kos keseluruhan PRU15 termasuk semua kawasan Parlimen dan pilihan raya enam DUN yang diadakan secara berasingan mungkin mencecah RM1.5 bilion,” katanya kepada Sinar Premium. Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan media mendakwa mesyuarat kabinet Rabu lalu dikatakan sedikit tegang apabila jemaah menteri difahamkan gagal mencapai kata sepakat untuk mengadakan PRU15 tahun ini.

Memetik seorang menteri kabinet yang tidak mahu mendedahkan identitinya, sebuah akhbar berkata, menteri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas adalah antara mereka yang membantah cadangan mengadakan pilihan raya tahun ini.

Wan Junaidi menambah, kos RM1.5 bilion berkenaan merangkumi semua 222 kerusi Parlimen dan tidak termasuk negeri DUN Johor, Melaka dan Sarawak yang baru sahaja selesai mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Wan Junaidi

Enam negeri yang enggan membubarkan DUN serentak dengan Parlimen ialah Kelantan, Terengganu dan Kedah yang dikuasai Pas, manakala Pulau Pinang, Selangor serta Negeri Sembilan ditadbir PH.

Wan Junaidi bagaimanapun menafikan berlaku ketegangan dalam mesyuarat kabinet Rabu lalu.

"Adalah kurang tepat untuk mengatakan bahawa sesiapa atau wakil mana-mana parti membantah cadangan membubarkan Parlimen dan mengadakan PRU15 dalam masa terdekat.

"Sebenarnya apa yang dibangkitkan dalam mesyuarat tersebut adalah ahli jemaah menteri berharap Perdana Menteri dapat memaklumkan dan berbincang sesama sendiri terlebih dahulu (sesama pemimpin parti) sebelum Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pergi menghadap dan menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya membubarkan Parlimen.

"Perdana Menteri tidak pernah mengatakan beliau bersetuju untuk membubarkan Parlimen pada bila-bila masa.

"Perbincangan dalam mesyuarat jemaah menteri tidak membuat ketetapan atau tarikh tertentu atau masa ditentukan untuk Perdana Menteri menghadap Agong,” ujarnya.

Sebelum itu, Wan Junaidi berkata, mesyuarat kabinet berlangsung seperti biasa walaupun tempohnya agak panjang dari jam 9.30 pagi hingga lebih 1 tengah hari.

Dalam mesyuarat berkenaan, lebih 20 kertas kabinet dan memorandum serta berbelas nota dibentangkan.

Beliau berkata, tumpuan utama perbincangan mesyuarat adalah mengenai persediaan dan pengurusan bencana banjir oleh agensi kerajaan yang berkaitan.

Bahkan katanya, perbincangan bukan hanya mengenai menteri yang harus bertanggungjawab, malah semua kementerian terlibat termasuk Kementerian Pendidikan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Pembangunan Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta banyak lagi.

Mesyuarat itu juga katanya, turut membincangkan mengenai kuasa pegawai daerah semasa banjir dan pengagihan makanan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan.

"Dalam mesyuarat tersebut, kita turut menitikberatkan soal kebajikan rakyat dan keperluan menyelamatkan mangsa banjir. Itulah perkara paling banyak dibincangkan,” jelas beliau.

Peratusan pemilih yang keluar mengundi dijangka rendah sekiranya PRU15 diadakan pada musim banjir.

Begitupun, Wan Junaidi mengesahkan anggota jemaah menteri membangkitkan mengenai PRU15 berikutan terdapat desakan pihak tertentu yang mahu Perdana Menteri memohon menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi membolehkan pilihan raya diadakan secepat mungkin.

"Terdapat anggota kabinet yang membangkitkan mengenai keperluan undang-undang dan kuasa Perdana Menteri untuk menghadap serta menasihati Agong supaya membubarkan Parlimen dalam masa terdekat.

"Perkara ini dibincangkan secara mendalam pada mesyuarat berkenaan kerana ramai jemaah menteri termasuk saya sendiri terdiri daripada pengamal undang-undang dan peguam.

"Saya sendiri juga diminta memberikan pandangan selaku menteri bertanggungjawab soal undang-undang dan Parlimen berhubung cadangan tersebut.

"Jadi, banyaklah cerita mengenai kalau diadakan PRU15 dalam masa terdekat,” jelas beliau.

Klik di sini untuk terus membaca