DALAM keadaan ekonomi negara dan dunia tidak menentu sekarang, malah diramalkan lebih teruk tahun depan, berhati-hatilah membuat pelaburan. Bank Dunia, Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) dan banyak lagi agensi ekonomi telah memberi amaran... Klik di sini untuk terus membaca

DALAM keadaan ekonomi negara dan dunia tidak menentu sekarang, malah diramalkan lebih teruk tahun depan, berhati-hatilah membuat pelaburan.

Bank Dunia, Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) dan banyak lagi agensi ekonomi telah memberi amaran bahawa pemulihan ekonomi dunia dikhuatiri terencat tahun depan akibat tekanan inflasi.

Jadi, janganlah cepat percaya cerita gembira influencer dan janji sifu saham yang berkeliaran di media sosial, begitu juga perniagaan mata wang kripto.

Pelaburan saham, apatah lagi mata wang kripto tidaklah semudah diuar-uarkan oleh tukang pujuk dan sifu kebanyakan mereka tidak pakar dalam hal pelaburan.

Jika pelaburan saham mudah dan sangat menguntungkan, tentulah tabung-tabung pelaburan yang melabur dalam saham seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Tabung Haji (TH) membayar dividen tinggi macam diuar-uarkan oleh influencer serta sifu itu.

Adalah mustahil influencer dan sifu lebih pandai daripada pengurus pelaburan profesional yang kerjanya siang malam menjual beli saham, bukan sahaja di Bursa Malaysia, malah di seluruh dunia.

Saya belajar pasaran saham dan mula melabur dalam saham mulai 1972 sebagai wartawan ekonomi di Bernama.

Saya membuat laporan saham dari bilik perniagaan Pasaran Saham Kuala Lumpur-Singapura yang ketika itu terletak di Jalan Lebuh Pasar tidak jauh dari pasar basah ‘Central Market’.

Kalau berminat hendak melabur, gunakan saluran dan pengurus pelaburan bertauliah.

Paling selamat melabur dengan pengurus saham amanah seperti Amanah Saham Nasional Berhad milik PNB, Amanah Hartanah Bumiputera dan ‘mutual fund’ yang ditaja bank-bank perdagangan.

Kalau hendak bertaruh juga dalam pasaran saham, dengarlah kepada orang yang menjadi antara orang terkaya di dunia dengan melabur di pasaran saham seperti Warren Buffet, Carl Icahn dan George Soros.

Di Malaysia tidak ada orang seperti itu. Kalau ada pun, mereka tidak kongsi rahsia kejayaan dengan orang ramai.

Biar saya ulang sedikit cerita pasaran saham kita iaitu Bursa Malaysia.

Sekarang pasaran saham Malaysia baru menampakkan tanda-tanda pemulihan setelah jatuh teruk akibat pandemik.

Nilai saham yang disenaraikan dan diniagakan di Bursa Malaysia (market capitalisation) sehingga April lalu berjumlah RM1.83 trilion iaitu pemulihan sebanyak 1.7 peratus sahaja daripada setahun lalu.

Kadar kenaikan nilai modal 1.7 peratus terlalu kecil untuk memberi kesan kepada pelabur, melainkan mereka melabur jumlah besar dan melakukan jual beli setiap hari.

Malah, jika dikaji dari sudut jangka masa panjang, prestasi Bursa Malaysia boleh dikatakan longlai sudah lebih lapan tahun dari 1 Jun 2014 apabila Indeks Komposit berada pada paras 1,882.71 mata. Jumaat lalu, indeks telah jatuh kepada 1,424.98 mata.

Dalam bahasa mudah, kalau 1 Jun 2014, nilai pelaburan sebanyak RM1,882.71 tetapi pada Jumaat lalu merosot kepada RM1,424.98, kita rugi RM457.73 jika dalam tempoh tersebut kita tidak buat sebarang jual beli.

Tetapi jika kita mengikuti perjalanan pasaran dengan rapi dan melakukan jual beli selaras dengan pergerakan harga, kita masih boleh buat keuntungan atau kurangkan kerugian. Broker saham tidak akan buat jual beli kecuali dengan arahan kita.

Tapi katakanlah hendak cuba juga, pastikan influencer dan sifu kita betul-betul pakar dan bertauliah, kemudian buka akaun CDS (Central Depository System) dengan Bursa Malaysia.

Kalau ada influencer atau sifu yang kata boleh berniaga tanpa CDS, itu sudah cukup untuk beri amaran bahawa mereka menipu atau tidak ikut undang-undang. Untuk berniaga saham, wajib ada akaun CDS.

Kesimpulannya, kalau tidak tahu selok-belok pasaran saham dan duit yang ada pun tidak banyak, lebih baik melabur dalam skim-skim amanah atau simpan di TH serta Bank Rakyat.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Klik di sini untuk terus membaca