MUNGKIN inilah kali pertama dalam sejarah demokrasi negara, parti Perdana Menteri sendiri secara terbuka mendesak pembubaran Parlimen, malah memberi isyarat tidak akan menyokong beliau sekiranya ia dibubarkan tahun depan.
Desakan pembubaran Parlimen telah bermula sejak penghujung 2020 dan pelbagai usaha dilakukan.
Desakan itu mudah difahami kerana walaupun UMNO sebahagian daripada kerajaan, mereka melihat Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah musuh dalam politik.
Lagi lama kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, beliau boleh menjejaskan pengaruh UMNO dalam kalangan rakyat.
Bagi sebahagian pemimpin UMNO, Muhyiddin ‘akan membunuh’ laluan politik mereka.
Selain itu, UMNO yang sudah biasa menjadi dominan dalam kerajaan lalu agak sukar menyesuaikan diri sebagai second fiddle kepada parti lain.
Meskipun kedudukan mereka selepas Februari 2020 lebih baik berbanding pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), namun mereka mahu mendapatkan semula kedudukan seperti sebelum PRU14 secepat mungkin.
Walaupun kemudiannya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Perdana Menteri tetapi ia belum meredakan usaha UMNO.
Parti itu yang telah biasa melantik Presidennya sebagai Perdana Menteri tidak selesa orang nombor tiga menjadi Perdana Menteri.
Namun kini, selain Presiden, Timbalan Presiden, seorang Naib Presiden, Ketua Pemuda, Ketua Puteri dan beberapa ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berada di luar kabinet serta ada di luar Dewan Rakyat. Ia merancakkan usaha mengadakan PRU.
Bagi menambah tekanan, UMNO telah mengorkestrakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.
Susulan kemenangan di dua negeri itu, UMNO secara jelas mendesak mahukan PRU diadakan tahun ini.
Desakan berterusan itu menimbulkan kesangsian rakyat kerana tempoh akhir penggal tersebut masih jauh iaitu pada 15 Julai 2023.
Ia juga memberi dilema kepada Perdana Menteri.
Mengadakan PRU sekarang boleh menimbulkan kemarahan pengundi luar UMNO.
Apatah lagi, jika sebaik dibubarkan, berlaku banjir besar tanpa diduga seperti tahun lalu.
Tanggapan di luar sana, usaha mengadakan PRU secepat itu menunjukkan UMNO tidak peduli masalah rakyat kerana mahu kuasa lebih kuat bagi menguruskan kes-kes pendakwaan ke atas pemimpin UMNO.
Ia memberi persepsi tidak baik kepada parti dan Perdana Menteri. Walaupun persepsi bukan semestinya kebenaran, namun ia boleh memberi implikasi kepada keputusan PRU.
PRU musim tengkujuh juga boleh mendatangkan gelombang kemarahan pengundi seperti berlaku dengan strategi mengadakan hari pengundian PRU14 pada hari Rabu orang tidak lagi peduli walaupun tiada cuti dan membuat keputusan mengundi pembangkang.
Bagaimanapun, jika Parlimen tidak dibubarkan tahun ini, Ismail Sabri akan berdepan risiko ditarik semula kedudukan sebagai calon Perdana Menteri.
Walaupun poster boy tidak semestinya menjadi Perdana Menteri semula, namun sekurang-kurangnya masih ada harapan.
Sebagai ‘orang parti’, Ismail Sabri juga tidak mahu dilihat sebagai pengkhianat parti sekiranya prestasi UMNO seperti tidak dijangkakan pada PRU15.
Namun, sama ada disedari atau tidak, Perdana Menteri juga ada kekangan kuasa. Ini kerana kuasa menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen adalah kuasa Jemaah Kabinet, bukannya Perdana Menteri secara berseorangan.
Sebahagian anggota kabinet telah secara terbuka menyatakan penentangan mereka terhadap cadangan pembubaran Parlimen tahun ini. Jadi, agak sukar dan ‘sedikit memalukan’ untuk Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi memohon pembubaran.
Satu jalan lain untuk Perdana Menteri adalah dengan memaklumkan beliau telah hilang sokongan majoriti dan memohon pembubaran Parlimen.
Tetapi dalam keadaan itu, Yang di-Pertuan Agong boleh melantik seorang Perdana Menteri baharu atau melantik mana-mana anggota Jemaah Kabinet sebagai caretaker sehingga waktu sesuai diadakan PRU, atau sehingga terbubarnya Dewan Rakyat pada Julai 2023.
Justeru, cadangan mengadakan PRU secepat mungkin bukanlah semudah disangka oleh sebahagian akar umbi UMNO. Prosesnya berliku dan mungkin menyebabkan parti tersebut kehilangan kuasa sekali lagi sebelum PRU.
* Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)
Klik di sini untuk terus membaca