DAP akan mengetengahkan lebih ramai calon Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi mengisi kekosongan kerusi yang sebelum ini ditandingi oleh calon dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Setiausaha Agung DAP, ANTHONY LOKE SIEW FOOK berkata, langkah itu antara lain sebagai usaha memperkasakan kepelbagaian dalam kepimpinan DAP.
Beliau dalam masa sama turut menjangkakan pertambahan kerusi bagi calon DAP pada PRU15 berikutan pembahagian semula kerusi Bersatu pada PRU14.
"Sebab pada PRU lepas, kebanyakan kerusi majoriti Melayu kita serahkan kepada Bersatu. Jadi untuk PRU akan datang ini, kita akan bertanding di lebih banyak kerusi termasuk di kerusi majoriti Melayu.
"Faktor pendaftaran pengundi automatik juga memberi implikasi kepada kerusi-kerusi sedia ada kita menjadikan kerusi campuran menjadi kerusi majoriti Melayu,” jelas Anthony Loke.
Ikuti wawancara eksklusif wartawan Sinar Ahad, NURHIDAYAH HAIROM bersama beliau yang memberi sudut pandang mengenai hala tuju menjelang PRU15 yang semakin hampir.
SINAR AHAD: Boleh YB ulas mengenai Kongres Khas Parti 2022 yang berlangsung pada Ahad. Apa matlamat utama kongres tersebut?
ANTHONY LOKE: Kongres khas berkenaan bertujuan untuk meminda perlembagaan parti DAP bagi memperkukuhkan Akta Anti Lompat Parti.
Sebab dalam kita meluluskan pindaan perlembagaan Persekutuan di Parlimen tempoh hari untuk melarang perbuatan lompat parti, kita melihat ada satu kelompangan di sana iaitu pindaan tersebut tidak melibatkan ahli Parlimen yang dipecat. Maksudnya kalau parti memecat seseorang ahli Parlimen, dia tak perlu mengosongkan kerusinya dan tak perlu diadakan pilihan raya kecil (PRK).
Jadi kita melihat ada sedikit kelemahan dalam apa yang dibuat di Parlimen. Semasa di Parlimen, dalam penggulungan saya ada bertanya kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan beliau menyatakan bahawa ini terpulang kepada parti masing-masing.
Kalau ada peruntukan dalam perlembagaan parti masing-masing, yang mengatakan kalau seseorang ahli Parlimen itu tidak mengikut arahan parti, maka dia boleh digugurkan keahliannya secara automatik. Tetapi ini mesti diletak dalam perlembagaan parti.
Justeru, kita mengambil keputusan untuk meminda perlembagaan parti kita supaya memberi peruntukan dalam perlembagaan kita, jika mana-mana ahli Parlimen atau ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) membuat sesuatu yang tidak mengikut keputusan parti, maka dia akan digugurkan keahliannya.
Umpamanya parti membuat keputusan mahu memilih calon A sebagai perdana menteri kalau ada usul undi percaya kepada calon tersebut untuk dijadikan sebagai perdana menteri. Maka semua ahli Parlimen kena ikut keputusan parti dan tak boleh ada keputusan peribadi.
Jadi kalau ahli Parlimen kita tidak mengikut keputusan parti dalam pengundian-pengundian penting di Parlimen, maka parti ada kuasa untuk menggugurkan keahlian mereka.
Saya yakin ahli parti memahami keperluan pindaan perlembagaan parti ini kerana rata-rata akar umbi memang mengharapkan satu undang-undang untuk melarang perbuatan lompat parti.
Sebab setiap kali apabila ada wakil rakyat lompat parti ahli akar umbi kita amat dukacita dan marah kerana mereka berkempen memenangkan calon kita, tetapi lompat pada parti lain.
Bagaimana dengan persediaan jentera DAP bagi menghadapi PRU15 dan bagaimana dengan pengagihan kerusi Pakatan Harapan (PH) pada ketika ini?
Jentera DAP memang telah diarahkan bersiap sedia sejak dua bulan lepas supaya dapat membuat persiapan mental dan fizikal untuk berdepan dengan PRU pada bila-bila masa. Kalau betul Parlimen dibubarkan pada Oktober nanti, kita memang perlu hadapi PRU pada November.
Saya dimaklumkan dari masa ke masa, ada beberapa negeri sudah selesai pembahagian kerusi Parlimen. Setiap minggu dijalankan mesyuarat rundingan secara tetap. Jadi kita jangka mungkin ambil masa dua minggu lagi untuk kita selesaikan segala kerusi-kerusi yang masih bertindih.
Jadi untuk kerusi DAP sendiri ada pertambahan?
Setakat ini memang mungkin ada pertambahan. Kemungkinan pertambahan itu disebabkan ada kerusi-kerusi yang ditandingi oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRU lepas perlu diagihkan pada parti-parti komponen lain untuk bertanding mewakili PH.
Jadi ada kerusi yang diserahkan DAP pada PRU lepas. Umpamanya kerusi Alor Gajah dan kerusi Tanjung Piai. Sudah tentu kita juga berunding dengan rakan kita untuk kita ambil semula. Ada juga kerusi-kerusi lain. Jadi saya menjangkakan ada pertambahan kerusi yang akan ditandingi DAP.
DAP telah melalui fasa peralihan kepimpinan dengan YB sendiri telah dilantik sebagai Setiausaha Agung pada pemilihan parti. Bagaimana YB memacu parti bagi memastikan sokongan ahli sedia ada terus kukuh?
Dalam masa enam bulan ini, cabaran terbesar saya adalah bagaimana untuk membakar semangat dan menyuntik keyakinan ahli-ahli dan juga penyokong. Enam bulan yang lalu, semasa saya mengambil alih, salah satu cabaran terbesar adalah ramai penyokong kita berdukacita terhadap senario politik negara. Tapi saya lihat ada perubahan dari segi mood dan juga semangat.
Kedua, apabila bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dipenjarakan, itu juga menunjukkan bahawa apa yang kita perjuangkan dan isu kita melawan rasuah dalam PRU yang lepas, berjaya dibuktikan. Dua perkembangan itu telah memberikan keyakinan dan semangat kepada penyokong serta ahli-ahli kita.
Saya sendiri cuba membawa satu kepimpinan yang inklusif dan memberi platform sebanyak mungkin kepada pemimpin-pemimpin pelapis untuk mereka mengambil lebih banyak tanggungjawab supaya masing-masing dapat menampilkan kepimpinan mereka.
Sudah tentu ini merupakan fasa peralihan kepada generasi lebih muda dalam DAP. Jadi saya melihat, dalam PRU yang akan datang, lebih ramai pemimpin muda akan ditonjolkan. Peranan saya sebagai Setiausaha Agung adalah memastikan platform untuk mereka. Saya juga mahu beri kemudahan peralihan ini supaya DAP dilihat sebagai satu parti yang mempunyai ramai tokoh daripada pelbagai latar belakang termasuk pelbagai kaum.
Kita memang mengharapkan imej DAP bukan sahaja dapat diremajakan, tetapi dapat dipelbagaikan dari segi wajah pemimpin kita, wajah calon kita. Maksudnya kita ada barisan pimpinan dan calon yang mewakili pelbagai latar belakang, jantina, kaum, dan agama termasuk calon bumiputera Sabah dan Sarawak. Kita juga amat mementingkan agar penampilan lebih ramai calon wanita. Itu antara perancangan saya.
YB sebut tentang kepelbagaian yang mahu ditonjolkan dalam DAP. Jadi sekarang ini ramai yang melihat DAP sedang mengatur strategi untuk mengemukakan lebih ramai calon dalam kalangan Melayu pada PRU akan datang sebagai strategi menarik sokongan kaum itu. Apa komen YB?
Sudah tentu ada calon Melayu. Sama ada lebih ramai atau tidak, itu terpulang kepada penilaian masing-masing. Tetapi saya memang ada hasrat untuk menonjolkan kepelbagaian dalam parti.
Antaranya sudah tentu akan ada lebih ramai calon Melayu yang akan diketengahkan termasuk di peringkat Parlimen. Pada PRU lepas, kita hanya ada satu calon Melayu iaitu di Parlimen Raub, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji dan telah menang.
Jadi kita memang mengharapkan akan ada lebih ramai calon Melayu di peringkat Parlimen, lebih-lebih lagi kita akan bertanding di banyak kerusi termasuk di kerusi-kerusi majoriti Melayu.
PRU lepas, kebanyakan kerusi majoriti Melayu kita serahkan kepada Bersatu.Jadi untuk PRU akan datang ini, kita akan bertanding di lebih banyak kerusi termasuk di kerusi majoriti Melayu.
Atas faktor pendaftaran pengundi automatik juga memberi implikasi kepada kerusi-kerusi sedia ada. Umpamanya Parlimen Bangi dan Parlimen Seremban yang disandang oleh DAP sekarang. Ini antara kerusi yang sudah melebihi 50 peratus pengundi Melayu.
Jadi dalam percaturan kita, sudah tentu kita kena melihat perubahan demografi ini. Sudah tentu kita juga berusaha meyakinkan pengundi Melayu untuk menyokong PH dan DAP.
Itu adalah satu usaha yang berterusan yang kita tahu amat mencabar dan sukar untuk DAP, tetapi kita tidak berputus asa. Kita akan tetap mencuba. Seperti yang saya katakan, kita akan ketengahkan lebih ramai calon-calon Melayu.
Ada pandangan mengatakan pada beberapa siri pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini memperlihatkan berlaku peralihan undi (vote swing) dalam kalangan pengundi dan ini termasuklah pengundi Cina. Sejauh mana kebenaran pandangan tersebut dan apa usaha dilakukan DAP/PH bagi memenangi semula hati pengundi?
Sebenarnya pada PRN Melaka dan PRN Johor, kita tidak melihat tren peralihan pengundi kepada BN. Kalau dilihat undi popular yang dimenangi oleh BN khususnya UMNO, sebenarnya tidak meningkat pun. Peratusannya lebih kurang sama. Malah ada penurunan juga di Melaka.
Tetapi mereka menang kerusi sebab yang pertama, undi pecah sebab banyak penjuru. Kedua, banyak penyokong PH yang tidak pulang atau tidak keluar mengundi. Itu yang menyebabkan peratusan kita turun dan tidak dapat memenangi kebanyakan kerusi yang kita tandingi.
Jadi kita tidak melihat bahawa ada peralihan yang besar kepada BN. Mereka hanya mengekalkan sokongan akar umbi ataupun pengundi tegar mereka. Setiap parti ada pengundi tegar. Jadi pengundi tegar itu dapat dikerahkan untuk keluar mengundi. Tapi kita tidak berjaya meyakinkan pengundi yang menyokong PH untuk keluar beramai-ramai. Itu sebabnya peratusan undi turun.
Kita kena lihat ada perbezaan antara PRN dengan PRU. Rata-rata pengundi beri perhatian lebih besar kepada PRU berbanding PRN. Di Melaka dan Johor ketika itu ada sekatan pergerakan, ramai pengundi tidak dapat pulang untuk mengundi khususnya di Johor. Sempadan kita dengan Singapura belum dibuka semasa PRN Johor dan ramai pengundi sana tidak boleh balik mengundi. Jadi faktor itu amat penting dan perlu dilihat ada perbezaan yang ketara antara PRN dan PRU. Keputusan PRN tidak boleh dijadikan sebagai satu petunjuk yang jelas.
Ya, kita mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku pada PRN Johor dan Melaka. Tetapi bagi kita ia tidak mematahkan semangat.
Bercakap tentang ‘mimpi ngeri’ 22 bulan PH memerintah, sebagai pemimpin parti dan juga pemimpin dalam kabinet ketika itu YB dikenali sebagai menteri yang cemerlang. Jadi apa yang YB boleh katakan tentang perkara ini menjelang PRU15?
Soal igauan itu dilemparkan atau cuba digambarkan oleh pihak lawan terutamanya UMNO dan Pas ketika itu sebab mereka pembangkang. Sudah tentu mereka akan menghitamkan kita, membuat pelbagai dakwaan untuk kepentingan politik mereka.
Banyak perkara yang ditimbulkan adalah fitnah dan semata-mata untuk kepentingan politik. Banyak yang tidak berasas. Jadi kita berharap rakyat melihat soal yang mereka timbulkan itu adalah kepentingan politik masing-masing.
Sekarang ini mereka menjadi kerajaan. Adakah semua perkara yang mereka timbulkan itu mereka selesaikan? Tidak juga. Banyak yang mereka timbulkan adalah persepsi yang cuba mereka tanam kepada minda khususnya Melayu dan Islam kononnya kepentingan Melayu dan Islam tergugat.
Apa buktinya? Ini semua persepsi yang cuba mereka tanam tetapi tidak ada kebenaran dan tidak berasas sama sekali.
Pencapaian paling jelas yang kita capai 22 bulan di Putrajaya, kita menunjukkan kesungguhan sangat tinggi untuk melawan rasuah. Indeks persepsi rasuah kita lebih baik di peringkat antarabangsa.
Dalam tempoh itu kita mengambil tindakan terhadap isu-isu penyelewengan yang besar khususnya 1MDB. Kalau bukannya PH yang jadi peneraju kerajaan di Putrajaya, sampai sekarang 1MDB tak ada penyelesaian, tidak ada sesiapa yang bertanggungjawab. Tetapi kita dah buktikan bahawa perkara itu bukannya fitnah.
Kita juga ambil pelbagai langkah memastikan penyelewengan seumpama itu tidak lagi berlaku. Umpamanya perdana menteri dan menteri kewangan tidak boleh orang yang sama. Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mesti dipengerusikan oleh pembangkang. Kita mempunyai Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) untuk menasihati kerajaan membuat langkah-langkah memastikan kerajaan lebih berintegriti.
Kita juga memastikan segala proses perolehan dalam kerajaan lebih telus. Dasar untuk memastikan setiap ahli kabinet serta ahli Parlimen mengisytiharkan harta, dan ini tak pernah dilakukan dulu.
Jadi kita harap rakyat dapat menilai PH dalam sudut urus tadbir kita, bagaimana kita memerangi rasuah dan mengangkat budaya integriti. PH juga mengangkat semangat dalam perlembagaan, kedudukan Islam sebagai agama rasmi.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa parti lawan hanya menggunakan isu banjir sebagai alasan, bukti ketakutan selain cubaan membeli masa. Apa pandangan YB?
Saya rasa Zahid berada dalam bayang-bayang sendiri. Kalau soal tidak bersetuju atau menggunakan alasan banjir tidak mahu PRU, maka maksudnya takut. Saya nak tanya dia, menteri UMNO pun kata tak sesuai adakan PRU semasa banjir. Khairy Jamaluddin secara terbuka menyatakan tidak sesuai.
Ramai menteri-menteri kabinet terutamanya daripada Perikatan Nasional (PN) kata tak sesuai. Adakah mereka takut? Adakah menteri Pas takut kalah? Jadi kalau dia kata soal siapa yang tak bersetuju untuk diadakan PRU pada musim tengkujuh ini maksudnya takut, maka saya kata, macam tu ada juga menteri UMNO dan Pas yang takut.
Jadi itu tak boleh dijadikan alasan. Kita dah nyatakan pendirian kita bahawa ketika ini tidak ada keperluan mendesak untuk diadakan PRU. Hari ini pentadbiran negara boleh berjalan seperti biasa. Parlimen masih berfungsi seperti biasa. Bukan kita bimbang hadapi PRU. Cuma kesesuaian masa. Tempoh masa ini dijangkakan berlaku hujan lebat, mungkin banjir dan sebagainya.
Kita pun dah ada MoU dengan kerajaan supaya menstabilkan politik. Itu semangat kita bawa atas dasar nasihat Yang di-Pertuan Agong yang mahu semua pihak meletakkan perbezaan politik di tepi. Jadi kita mengangkat semangat itu untuk satu tempoh masa sehingga PRU.
Berkaitan penyertaan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dalam PH sebagai salah sebuah parti gabungan, apakah prasyarat utama buat Muda? Dari sisi pandangan DAP, secara peribadi adakah penyertaan Muda akan memberi nilai tambah kepada PH?
Kita ada bincang perkara ini dalam Majlis Presiden dan kita telah pun berikan parameter garis panduan kepada jawatankuasa kita untuk berunding dengan pihak Muda. Saya tidak mahu menggunakan istilah prasyarat sebab seolah-olah kita meletakkan kekangan. Tetapi pentingnya ialah ada prinsip-prinsip yang perlu dipatuhi oleh Muda kerana mereka memohon untuk menjadi sebahagian PH.
Kerjasama PH sudah dibentuk lama. Ada prinsip kita dari segi dasar perjuangan, kepimpinan, pengagihan kerusi dan sebagainya. Jadi itu merupakan prinsip dipersetujui oleh mana-mana parti yang ingin bersama dengan PH.
Bagi saya itu adalah garis panduan yang akan digunakan oleh jawatankuasa kita untuk berunding dengan Muda. Setakat ini saya tidak mahu mendahului perbincangan mereka yang akan diadakan pada minggu hadapan. Biarlah jawatankuasa laksanakan tugas mereka dan mereka akan laporkan kembali kepada pihak Majlis Presiden PH.
Dari segi nilai tambah, saya rasa kita akan lihat bagaimana boleh mencapai sinergi untuk bekerjasama. Sebab dalam gelanggang PRU, penting adalah kita dapat menyatukan kekuatan terutamanya parti-parti yang mempunyai haluan, objektif yang sama. Maka kita perlu berusaha untuk menyatupadukan kekuatan tersebut.
YB pernah menjadi Menteri Pengangkutan, sebelum ini banyak dilaporkan tentang pertambahan kenderaan di jalan raya menyebabkan berlaku kesesakan luar biasa lebih-lebih lagi pada waktu puncak. Ada yang kata bagi mengelakkan kesesakan ini sebaik-baiknya rakyat Malaysia manfaatkan pengangkutan awam sebagai salah satu alternatif ke tempat kerja, tetapi banyak pula rungutan dan kekecewaan diutarakan. Apa sebenarnya yang tidak kena?
Memang kita tahu kesesakan amat teruk berlaku terutamanya setelah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan. Orang ramai kembali ke tempat kerja menyebabkan pertambahan (kereta) mendadak dan kesesakan luar biasa.
Jawapan mudahnya galakkan orang ramai guna pengangkutan awam. Tapi kita kena tahu penggunaan pengangkutan awam itu ada kekangan dan kita mesti cuba memahami serta selesaikan kekangan-kekangan tersebut.
Pertama, pengangkutan awam tidak meliputi semua kawasan. Kita faham ada masalah untuk perjalanan dari rumah ke stesen pengangkutan awam yang mesti diselesaikan. Walaupun ada bas pengantara tapi ia tidak dapat menyelesaikan semua masalah.
Kedua, rungutan pengguna pengangkutan awam hari ini dari segi perkhidmatan, kekerapan tren, ada kerosakan, kelewatan. Ini menyebabkan keyakinan orang ramai terhadap pengangkutan awam itu menurun. Jadi mereka terpaksa menggunakan kenderaan sendiri jika tidak mahu mengambil risiko lewat sampai tempat kerja dan sebagainya. Saya faham sukar elakkan berlakunya kerosakan teknikal. Tapi yang penting ialah mesti ditunjukkan ada usaha berterusan dan juga fokus perhatian yang tinggi daripada menteri sendiri.
Kalau dulu, apa-apa kerosakan, atau masalah teknikal, saya turun meninjau sendiri untuk mendapat laporan, berikan tekanan kepada pihak pengurusan supaya beri maklum balas yang telus kepada rakyat.
Sekarang ini saya lihat, sidang akhbar juga tidak diadakan, kalau ada masalah hanya dimaklumkan melalui mesej sahaja dan hanya sebut masalah teknikal. Tidak telus serta tidak beri penerangan kepada pengguna membuatkan ramai pengguna bingung dan marah. Jadi ini kelemahan yang perlu diatasi.
Prasarana perlu lebih proaktif untuk memberi keyakinan kepada pengguna. Ini juga perlu ditunjukkan oleh pihak kementerian.
Klik di sini untuk terus membaca