PENGIMPLEMENTASIAN Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan pengesyoran pembubaran Parlimen Malaysia betapa menjadi keperluan primer kepada negara mahupun rakyat jelata menjelang musim banjir sedang hangat diperdebatkan. Jabatan Metrologi... Klik di sini untuk terus membaca

PENGIMPLEMENTASIAN Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan pengesyoran pembubaran Parlimen Malaysia betapa menjadi keperluan primer kepada negara mahupun rakyat jelata menjelang musim banjir sedang hangat diperdebatkan.

Jabatan Metrologi Malaysia (MetMalaysia) dan pakar cuaca baru-baru ini telah pun meramalkan bakal berlaku bencana banjir besar dan ribut petir pada tempoh monsun timur laut bermula pada awal November depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula terus dihimpit desakan dan tekanan untuk mengadakan PRU15 sekali gus membubarkan Parlimen ketika musim banjir nanti.

Akhbar harian Tamil, Makkal Osai melaporkan bahawa saban tahun Malaysia dilanda musim tengkujuh pada tempoh monsun timur laut di bulan November yang berlarutan hingga ke Januari akan datang.

Pelaksanaan PRU15 yang bercanggah dengan struktur semula jadi geografi negara bukan sahaja membawa musibah besar kepada negara malah orang ramai dan para pengundi terpaksa menghadapi ketidakselesaan untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai warganegara pada pesta demokrasi itu.

Bencana banjir itu kemungkinan besar akan meragut nyawa para pengundi yang terpaksa meredah ribut petir untuk berkunjung ke pusat-pusat mengundi yang terletak di negeri masing-masing.

Makkal Osai berkata, parti-parti politik dan jentera pilihan raya mereka juga akan menghadapi kesulitan untuk mengadakan kempen bagi mempromosikan manifesto dan janji calon-calon yang bakal bertanding di kawasan tersebut.

Kini, rakyat jelata menjalani kelangsungan hidup serba sukar gara-gara beban inflasi makanan dan lonjakan harga barang.

Justeru, keperluan utama rakyat adalah untuk mengimbangi inflasi dan kenaikan harga barang bukan sebaliknya mengadakan PRU15 serta merebut mandat mentadbir Malaysia.

Selepas selesai PRU15 pun kerajaan mana yang bakal mentadbir negara ini tentu akan menghadapi cabaran agak besar untuk menyelesaikan masalah rakyat itu.

Jadi lebih bijak dan rasional adalah belanjakan bajet PRU15 yang menelan kos berbilion itu untuk projek-projek pembangunan rakyat dahulu dan mengadakan pilihan raya apabila tiba tempoh matang untuk membubarkan Parlimen.

Ujar Makkal Osai lagi, meskipun aliran perhubungan politik di antara kerajaan semasa dan pembangkang masih tidak sehaluan namun kedua-dua pihak tetap berganding bahu menangani kebanyakan krisis demi menjaga sumber keamanan rakyat.

Solidariti terbaharu itu yang menjadi keperluan dan permintaan rakyat jelata buat ketika ini berbanding bertanding untuk melaksanakan PRU15 di musim banjir kelak.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut menegaskan PRU15 yang didesak untuk diadakan di tempoh monsun timur laut dan musim banjir adalah tidak sesuai.

Ironinya pihak kerajaan dan pembangkang perlu memberi keutamaan kepada keselamatan nyawa dan kesejahteraan hidup orang ramai.

Sekiranya telah berlaku bencana banjir besar semasa tempoh PRU15, Kementerian Kesihatan (KKM) dan agensi-agensi yang mengendalikan bencana alam terpaksa menggunakan sekolah dan dewan orang ramai untuk mangsa-mangsa banjir itu.

Sementara itu, akhbar harian itu menjelaskan menjelang PRU15 seperti yang diramalkan bakal berlaku bencana banjir, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkuasa untuk menutup pusat-pusat mengundi yang terbabit itu.

Dengan ini, kos pengurusan PRU15 dijangka akan meningkat kepada 10 hingga 15 peratus.

Dalam pada itu, permintaan kepimpinan tertinggi dan parti UMNO untuk mengadakan PRU15 pada masa terdekat ini turut membawa kepada tindakan pembubaran Parlimen secara terburu-buru sebelum mencapai tempoh kematangan penggal.

Ada figura politik veteran yang menasihatkan usah membuat kesilapan besar dengan membubarkan Parlimen secara terburu.

Kemenangan untuk mendapatkan majoriti yang besar BN dan UMNO bukan keutamaan PRU15 itu.

Sebaliknya adalah hak rakyat untuk menentukan tampuk kepimpinan yang sebenar mentadbir negara yang masih berada pada fasa pemulihan pandemik.

*Jagatheswary Narayanan ialah penulis bebas di Johor

Klik di sini untuk terus membaca