PERGERAKAN Negara-Negara Berkecuali atau NAM sudah berusia lebih 60 tahun. Persidangan pertamanya diadakan pada 1 September 1961 di Belgrade, Yugoslavia. Idea ‘berkecuali’ mula digunakan oleh India dan Yugoslavia pada 1950 apabila... Klik di sini untuk terus membaca

PERGERAKAN Negara-Negara Berkecuali atau NAM sudah berusia lebih 60 tahun. Persidangan pertamanya diadakan pada 1 September 1961 di Belgrade, Yugoslavia.

Idea ‘berkecuali’ mula digunakan oleh India dan Yugoslavia pada 1950 apabila kedua-dua negara itu enggan memihak serta terlibat dalam Perang Korea.

Berasaskan prinsip itu, pemimpin negara-negara membangun yang baru mencapai kemerdekaan telah bersetuju dan bertemu dalam Persidangan Bandung, Indonesia pada 1955.

NAM sebagai sebuah organisasi telah diasaskan di kepulauan Brijuni, Yugoslavia pada1956 dan dirasmikan dengan menandatangani Deklarasi Brijuni pada 19 Julai 1956.

Deklarasi itu ditandatangani oleh Presiden Yugoslavia, Josef Broz Tito; Perdana Menteri India, Jawaharlal Nehru dan Presiden Mesir, Gamal Abdel Nasser.

NAM memperjuangkan Lima Prinsip Hidup Bersama Secara Aman atau Five Principles of Peaceful Coexistence saling menghormati integriti dan kedaulatan wilayah masing-masing, saling tidak agresif, tidak campur tangan hal ehwal dalam negeri, kesaksamaan dan manfaat bersama serta kewujudan bersama yang aman.

Lima prinsip itu selaras dengan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan bukan hanya menjadi tonggak kepada NAM, malah telah diadaptasi kebanyakan negara membangun bagi menjalankan dasar luarnya.

Perlu ditegaskan, NAM telah menjadi pergerakan penting ketika Perang Dingin.

Selain mempromosikan konsep ‘berkecuali’ daripada percaturan politik Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Soviet (USSR), NAM juga pernah memperjuangkan dekolonialisasi iaitu kemerdekaan bagi negara-negara membangun daripada cengkaman kuasa kolonial.

Pada 1970-an, NAM juga memperjuangkan orde ekonomi antarabangsa baharu atau New International Economic Order (NIEO) bagi kesamaan ekonomi antarabangsa.

Namun, apabila tamatnya Perang Dingin pada 1991, timbul kritikan sejauh mana NAM masih relevan?

Timbul persepsi berkecuali daripada siapa kerana tiada lagi permusuhan antara AS dan USSR.

Malah, ada yang menggesa NAM dibubarkan tetapi ia masih wujud setelah 30 tahun tamatnya Perang Dingin.

Jadi, timbul persoalan apa yang perlu dilakukan bagi memastikan NAM terus relevan?

Walaupun Perang Dingin (1945-1991) telah tamat, namun itu tidak bermakna dunia bebas daripada pergolakan politik.

Tidak keterlaluan dikatakan politik antarabangsa kini berada pada Perang Dingin 2.0 melibatkan persaingan antara AS dan China.

Dunia kini sedang menyaksikan kebangkitan semula Rusia, khasnya perang di Ukraine.

Ada kemungkinan Perang Dingin 2.0 akan memperlihatkan dua blok bertembung iaitu AS bersama Kesatuan Eropah menentang Rusia dan China. Terdapat tiga perkara harus dilaksanakan NAM jika ia masih terus relevan.

Nama baharu

Pertama, NAM perlu membuat pembaharuan secara simbolik iaitu penjenamaan semula dengan memberi nama baharu seperti ‘Gerakan Solidariti’ iaitu kerjasama negara-negara anggota.

NAM mempunyai 120 negara anggota dan 20 negara pemerhati termasuklah Rusia serta China.

Keanggotaan NAM adalah kedua terbesar selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Oleh itu, NAM harus menggunakan kekuatan tersebut dengan menggalakkan kerjasama dan solidariti sesama ahli.

Kedua, NAM harus memperluaskan agendanya terutama isu-isu bukan tradisional seperti masalah perubahan iklim, pencemaran, menghadapi pandemik, keselamatan makanan dan siber, hak wanita serta kanak-kanak, peluang pendidikan golongan muda, bekalan air bersih, teknologi dan tenaga hijau.

Ketiga, NAM mesti membuat pembaharuan struktural. NAM perlu ada struktur dan organisasi tetap dengan adanya sebuah sekretariat tetap yang akan menyelaras segala aktivitinya. Di mana sekretariat perlu ditempatkan?

Cadangan supaya NAM mempunyai sekretariat tetap di setiap benua anggotanya berada. Ia membolehkan setiap sekretariat menghadapi cabaran yang berbeza-beza dengan lebih cekap

Selain itu, NAM juga perlu ada organisasi khas bagi menghadapi cabaran semasa secara efisien.

Ia penting untuk mengatasi kritikan bahawa NAM hanya bersidang dan berbincang tetapi tiada tindakan susulan.

Organisasi NAM perlu memperkukuhkan kerjasama dengan agensi-agensi khas PBB dan pertubuhan serantau.

Apa pun kritikan terhadap NAM, ia masih relevan khasnya Lima Prinsip Hidup Bersama Secara Aman.

NAM tidak harus dibubarkan, sebaliknya diperbaharui supaya terus relevan bagi menghadapi cabaran-cabaran semasa.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Profesor Madya di Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya

Klik di sini untuk terus membaca