WASHINGTON - Perdebatan sama ada Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden nyanyuk berlaku lagi di negara itu selepas tularnya satu rakaman video pendek di media sosial baru-baru ini.
Klip video tersebut tular pada Khamis, menunjukkan Biden yang berusia 79 tahun kelihatan ‘hilang arah’ ketika keluar dari podium selepas menyampaikan ucapan pada Persidangan Dana Global New York, Rabu lalu.
Rakaman video itu memaparkan Biden yang merupakan Presiden paling tua dalam sejarah AS dilihat berjalan perlahan-lahan dari podium dan tercegat sebentar sebelum berkomunikasi dengan tetamu yang berada di bawah pentas.
Beliau kemudian memusingkan badannya ke arah seorang jurucakap majlis tersebut yang mengucapkan terima kasih kepadanya kerana menyampaikan ucapan pada Persidangan Dana Global yang ditubuhkan bagi memerangi penyakit AIDS, HIV, tuberkulosis dan malaria.
Sehubungan itu, pada Jumaat lalu, seorang pengacara stesen televisyen FOX News, Tucker Carlson dalam programnya memberikan pendapat dan tanpa berselindung menyatakan bahawa Biden ialah seorang yang nyanyuk.
Carlson membuat rumusan itu berdasarkan beberapa rakaman video yang menunjukkan kelakuan ganjilnya.
Seorang kolumnis politik AS, Benny Johnson pula menyatakan bahawa Biden nyanyuk selepas beliau tersesat dan cuba keluar dari pentas pada majlis tersebut.
Bagaimanapun, majalah Newsweek akhirnya merungkaikan kisah sebenar di sebalik rakaman video pendek yang menunjukkan kenapa Biden berkelakuan ganjil di atas pentas tersebut.
BUKAN SITUASI SEBENAR
Sebenarnya video tersebut tidak menunjukkan keseluruhan situasi yang berlaku dalam majlis berkenaan.
Jika melihat kepada video asal, Biden telah berkomunikasi dengan tetamu yang berada di bawah pentas tetapi bentuk perbualannya tidak diketahui.
Presiden AS itu kemudian memusingkan badannya ke arah jurucakap majlis tersebut yang menyampaikan ucapan penghargaan kepadanya kerana menghadiri majlis tersebut.
Biden seterusnya berjalan dan berdiri di bahagian tepi pentas ketika jurucakap majlis menjelaskan tentang peranan Persidangan Dana Global.
Jurucakap itu kemudian mengundang beberapa pemimpin dunia seperti Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen; Presiden Perancis, Emmanuel Macron; Canselor Jerman, Olaf Scholz; Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida dan pengasas bersama Mirosoft, Bill Gates naik ke pentas untuk bergambar bersama-sama Biden.
Para pengguna media sosial yang melihat keseluruhan video itu kemudian menyatakan bahawa klip yang menjadi tular itu tidak menunjukkan keadaan keseluruhan situasi berlaku dalam majlis berkenaan sehingga menyebabkan Biden kelihatan seperti kehilangan arah ketika berada di atas pentas.
Bagaimanapun, Newsweek melaporkan pihaknya menantikan jawapan dari Rumah Putih bagi memberikan penjelasan kenapa Biden berkelakuan ganjil pada majlis tersebut.
JADI BAHAN EJEKAN
Pada April lalu, Biden menjadi bahan ejekan di internet gara-gara menghulurkan tangan untuk berjabat tangan dengan ‘udara’.
Insiden itu berlaku selepas Biden menamatkan ucapan di Universiti Negeri Pertanian dan Teknikal Carolina Utara.
Sejurus menamatkan ucapannya, Biden berpaling ke arah kanan pentas dan menghulurkan tangannya dalam kedudukan bersalam.
Bagaimanapun, tiada orang lain berada di atas pentas melainkan dirinya.
Pada Julai lalu pula, insiden pelik itu berlaku lagi selepas beliau selesai mengadakan taklimat akhbar di Tel Aviv.
Semasa berada di Israel juga, Biden turut tersasul apabila menyatakan bahawa: "Kita harus menghidupkan kebenaran dan kehormatan Holocaust.”
Namun, beliau cepat membetulkan kenyataan itu untuk menggantikan kehormatan Holocaust kepada kengerian Holocaust.
Dalam acara di Rumah Putih, Ogos lalu, Biden kelihatan lupa bahawa beliau sudah berjabat tangan dengan Ketua Majoriti Dewan Senat, Chuck Schumer dan menghulurkan tangannya untuk kali kedua dengan wajah keliru tetapi Schumer berpaling ke tempat lain.
Biden sebelum ini terjatuh ketika menaiki tangga kapal terbang Air Force One iaitu pesawat rasmi Presiden AS.
Beliau juga hampir terjatuh ketika menaiki tangga kapal terbang tersebut pada Ogos, jatuh dari basikal pada Jun lalu dan gagal memakai baju sut di tepi helikopter sehingga terpaksa dibantu oleh isterinya.
Setakat ini beliau masih belum disahkan nyanyuk tetapi terdapat desakan di AS supaya Presiden itu mengambil ujian kognitif untuk menentukan tahap kesihatan mentalnya kerana penggal pemerintahannya hanya akan berakhir pada Januari 2025. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca