BELALANG ikuti dengan penuh minat kes yang membabitkan orang politik di mahkamah.
Ini kerana komen mereka ke atas apa jua keputusan mahkamah berbeza-beza mengikut kecenderungan kes.
Jika memihak kepada mereka, hakim dan mahkamah membuat keputusan yang tepat dan adil.
Tapi jika keputusan tak memihak, tiba-tiba mahkamah dan undang-undang Malaysia ibarat undang-undang rimba.
Sekurang-kurangnya itulah yang Belalang sendiri dengar dari mulut Presiden UMNO ketika pertemuan khas dengan wakil-wakil bahagian di Dewan Merdeka beberapa hari selepas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dipenjarakan oleh Mahkamah Persekutuan.
Undang-undang dan sistem perundangan kita diibaratkan sebagai undang-undang rimba. Bagaimanapun pandangan tersebut tiba-tiba berubah selepas Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi didapati tidak bersalah dan dibebaskan daripada 40 pertuduhan rasuah di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Tiba-tiba orang yang sama berkata, ternyata perundangan telah diadili dengan sewajarnya dan seadilnya oleh hakim.
Hanya beberapa minggu yang lalu, perundangan negara diibaratkan sebagai undang-undang rimba.
Ternyata orang politik bila bercakap di hadapan ribuan penyokong sendiri bernada lain dan di hadapan audiens yang berbeza, nadanya pun berbeza.
Kita tak tahu yang mana satu yang betul kerana ia bergantung di hadapan siapakah mereka berucap.
Barang diingat, orang yang sama sedang berhadapan dengan satu lagi kes iaitu 47 pertuduhan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung kes melibatkan Yayasan Akal Budi.
Kes itu sedang berjalan. Undang-undang yang melibatkan pentadbiran sebuah yayasan jauh lebih ketat dan teliti kerana ia melibatkan dana yang dikutip daripada pihak awam.
Kita tidak tahu apa keputusan yang bakal menjelma. Kita mendoakan yang baik-baik dan keadilan dapat ditegakkan dengan penuh kewajaran.
Dan kita juga nak tahu, selepas keputusan dicapai dan dibacakan, apa reaksi orang yang sama jika ia tak memihak kepadanya.
Belalang - Cakap depan pandang-pandang...
Klik di sini untuk terus membaca