DENGKIL - Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) berharap tindakan tegas oleh semua pihak bertanggungjawab dapat mengembalikan kelestarian Sungai Rambai yang dikategorikan sungai paling tercemar dalam Kelas Lima berdasarkan Standard... Klik di sini untuk terus membaca

DENGKIL - Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) berharap tindakan tegas oleh semua pihak bertanggungjawab dapat mengembalikan kelestarian Sungai Rambai yang dikategorikan sungai paling tercemar dalam Kelas Lima berdasarkan Standard Kualiti Air Kebangsaan bagi tempoh dua tahun berturut-turut iaitu pada tahun 2019 dan 2020.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, KASA telah menerima laporan lengkap daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) tentang keadaan Sungai Rambai dan mahu pihak bertanggungjawab seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar melakukan pemantauan di kawasan tersebut.

"Saya telah menerima laporan lengkap daripada JAS tentang keadaan Sungai Rambai.

"Kita telah memberi notis kepada agensi terlibat khususnya Jabatan Perkhidmatan Veterinar yang mengeluarkan lesen penternakan babi di kawasan berkenaan supaya membuat pemantauan kerana pemberi lesen bertanggungjawab terhadap peraturan yang dikuatkuasakan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Sambutan Hari Ozon Sedunia 2022 Peringkat Kebangsaan di ArcHIVE Food Hall, Discovery Park @ Gamuda Cove di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KASA, Datuk Seri Dr Zaini Ujang dan Ketua Pengarah Alam Sekitar, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar.

Pada 12 September lalu, Sinar Harian membuat pendedahan mengenai status Sungai Rambai yang menjadi satu-satunya sungai di Malaysia berada dalam Kelas Lima atau tercemar di negara ini.

Tuan Ibrahim (dua dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan Rakan Strategik Alam Sekitar (RSAS) kepada Pengarah Eksekutif Gamuda Land Sdn Bhd, Datuk Abdul Sahak Safi (dua dari kanan) pada Majlis Sambutan Hari Ozon Sedunia 2022 Peringkat Kebangsaan di Discovery Park @ Gamuda Cove pada Sabtu.

Hasil laporan makmal, sampel air yang diambil turut mendapati asid deoksiribonukleik (DNA) babi dalam Sungai Rambai, sekali gus menguatkan dakwaan terdapat aktiviti penternakan dan penyembelihan haram haiwan tersebut di kawasan sekitar sungai berkenaan.

Malah, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun turut mengakui kerajaan negeri mengambil maklum terdapat penternakan babi secara haram di kawasan Sungai Rambai dan pencemaran yang berlaku di kawasan tersebut adalah amat mendukacitakan.

Dalam pada itu, menurut Tuan Ibrahim, keutamaan KASA adalah menjaga sumber air Sungai Rambai dan pihaknya turut meminta kerajaan negeri bersama berusaha agar sumber air di kawasan itu dapat dijaga.

"Kita mahu agar Kelas Lima dapat dikurangkan atau diturunkan supaya sekurang-kurangnya Sungai Rambai ada kehidupan.

"Insya-ALLAH, tindakan daripada semua pihak seperti kerajaan negeri, veterinar, jabatan dan kementerian untuk memantau. Kita berusaha ke arah melestarikan Sungai Rambai,” katanya.

Ditanya adakah sebarang tempoh masa ditetapkan dalam usaha mengembalikan kelestarian Sungai Rambai agar tidak terus kekal di Kelas Lima, Tuan Ibrahim berkata, terdapat beberapa perkara perlu diberi perhatian.

"Pertama tentang kawalan sumber. Sumber air di bawah kerajaan negeri dan keduanya penternakan (babi).

"Penternakan ada yang berlesen dan tidak berlesen. Saya rasa pihak berkenaan perlu melihat perkara tersebut. Apabila penguatkuasaan dan pemantauan telah dibuat, kita harap tindakan daripada semua agensi,” kata beliau.

Tuan Ibrahim turut mengakui mengadakan pertemuan dengan kerajaan Negeri Sembilan, pihak berkuasa tempatan dan veterinar bagi menangani isu Sungai Rambai.

Klik di sini untuk terus membaca