SUHU mendidih semula. Ketenteraman politik diuji lagi. Plot berbeza-beza. Sudah menjadi kelaziman, suara-suara yang bercakap mengenai Pilihan Raya Umum (PRU) akan kedengaran tatkala kita memasuki tahun terakhir sebelum tamat tempoh matang mengadakannya pada Julai 2023.
Masihkah wujud persoalan ‘sudah bersediakah’ berhadapan dengan PRU?
Sejak merdeka, 14 PRU sudah diadakan. Yang pertama pada 19 Ogos 1959 (Rabu); yang kedua 24 April 1964 (Sabtu). Ketiga, pada 10 Mei 1969 (Sabtu); yang keempat 24 Ogos 1974 (Sabtu); yang kelima 8 Julai 1978 (Sabtu); yang keenam, 22 April 1982 (Sabtu); yang ketujuh 3 Ogos 1986 (Ahad); yang kelapan 21 Oktober 1990 (Ahad); yang ke sembilan 25 April 1995 (Selasa); yang kesepuluh 29 November 1999 (Isnin); yang kesebelas 21 Mac 2004 (Ahad); yang kedua belas 8 Mac 2008 (Sabtu); yang ketiga belas 5 Mei 2013 (Ahad) dan yang keempat belas pada 9 Mei 2018 (Rabu).
Hatta, tidak ganjil jika ia diadakan pada bila-bila masa dari sekarang pada apa jua tarikh, hari dan bulannya. Purata ia diadakan dalam jangka masa 4 tahun 6 bulan.
Malahan PRU pernah diadakan seawal tiga tahun sembilan bulan; dan pernah menunggu sehingga berakhir tempoh matangnya.
Apa yang menjadi penentu kepada tarikh pembubaran Parlimen?
Pertama, ia mesti mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; kedua kearifan Perdana Menteri untuk menggunakan kuasa ‘menasihati’ bila dirasakan sudah tiba masanya tetapi boleh ditangguhkan oleh baginda.
Walaupun begitu, sebagaimana ketetapan Perhimpunan Agung UMNO Mac 2022, ia mahu disegerakan. Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO sudah mendengarnya sebaik selepas kemenangan parti BN di PRN Johor.
Sepanjang tujuh bulan, laungan ‘bubar’ membesar dan kini suara ‘banjir’ kedengaran dengan pembentangan Bajet 2023 diawalkan.
Jika tidak dibubar awal Oktober 2022, apakah ia akan ke Mac 2023 tahun hadapan supaya enam bulan persidangan Parlimen tidak terkesan? Takwim Parlimen Mesyuarat Ketiga adalah dari 3 Oktober sehingga 29 November 2022.
Sebagai rujukan, PRU 1999 melihat pembubaran pada 11 November; penamaan calon 20 November dan tarikh pengundian 29 November 1999. Berbeza dengan 2008, Parlimen dibubar pada 13 Februari; penamaan calon 24 Februari dan pengundian 8 Mac 2008.
Mencari ‘faktor wow’ dan ‘faktor menyeronokkan’ juga bergantung kepada dimanakah pengundi hari ini?
Sejak 2018, gelanggang politik dipenuhi dengan pelbagai aksi, adegan, fitnah, ungkapan, cacian dan aib yang sukar difahami.
Kekeliruan masih berterusan walaupun dari kem yang sama dengan pertentangan kenyataan yang menyanggah suara ‘konsensus’. Ada pula yang senyap dan memerhati sahaja. Ada pula menawarkan diri menjadi calon. Ada juga yang membuat kesiapsiagaan berterusan kerana tahu PRU akan diadakan bila-bila masa.
Perang saraf dan mengurus persepsi bukan mudah. Kini media sosial menjadi alat propaganda utama.
Alasan munasabah diberikan atau cubaan meyakinkan ke atas ramalan tarikh PRU.
Ada pernah kita risau tentang cuaca; atau kos sara hidup; mahupun korupsi politik untuk menentukan tarikh PRU atau sebenarnya yang sering diutamakan adalah kesefahaman dalaman, elak sabotaj dan prestasi jentera serta kelemahan lawan.
PRU 2018 melihat sabotaj dalaman melalui kajian sikap kurang meyakinkan, kerjasama jentera dan pemilihan calon sehingga menyingkirkan BN dari membentuk kerajaan. Isu gagal ditangani walaupun memiliki kekuatan akar umbi kerana timbulnya ‘undi protes’ dan ‘simpati’.
PH secara konsisten menanam dalam fikiran pengundi keruntuhan integriti yang masih diteruskan dengan pembunuhan karakter politik.
Politik Malaysia kerap menggunakan emosi; baik untuk mengajak pengundi agar sama ada setia, marah, kecewa atau sinis. Adakah ini akan berjaya sekali lagi?
Barangkali tarikh ‘bubar’ boleh mempengaruhi mood pengundi kali ini atau mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 30 September 2022 boleh mengakhiri persoalan ini?
*Profesor Dr Sivamurugan Pandian Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca