ISU Basic Structure Doctrine (BSD) menjadi perdebatan dalam kalangan pelbagai pihak. Sebahagian menegaskan BSD boleh menggugat sistem kehakiman syariah di Malaysia kerana terdapat unsur ‘campur tangan’ Mahkamah Sivil ke atas kes-kes... Klik di sini untuk terus membaca

ISU Basic Structure Doctrine (BSD) menjadi perdebatan dalam kalangan pelbagai pihak.

Sebahagian menegaskan BSD boleh menggugat sistem kehakiman syariah di Malaysia kerana terdapat unsur ‘campur tangan’ Mahkamah Sivil ke atas kes-kes ditangani oleh Mahkamah Syariah.

BSD secara umumnya boleh difahami sebagai sebuah doktrin struktur asas kepada Perlembagaan negara yang diterima oleh beberapa negara seperti Bangladesh, Jerman, Pakistan, Uganda, Norway dan Amerika Syarikat.

BSD yang diperkenalkan dalam kes Kesavananda Barathi dari Mahkamah Agung India membawa satu pendirian tetap bahawa Perlembagaan sesebuah negara berdaulat mempunyai ciri-ciri tertentu yang tidak boleh dipadamkan oleh badan perundangannya.

Kita semua tidak boleh menafikan tujuan tertinggi dalam sistem Perlembagaan negara adalah kewujudannya mestilah berkemampuan berevolusi atau berkembang sesuai dengan tuntutan peredaran masa.

Tujuan tertinggi itu diaplikasi dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 159 pindaan atau pemansuhan perlembagaan melalui penggubal undang-undang (ahli Parlimen) dengan jumlah undian tidak kurang dua pertiga melalui Rang Undang-Undang dan keperluan lain berkaitan.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad yang menolak doktrin struktur asas itu secara prinsipnya kerana doktrin tersebut secara terang-terangan bercanggah dengan Perkara 159. Kembali kepada BSD, pada mulanya doktrin tersebut ditolak di Malaysia bagi tujuan mentafsir Perlembagaan Persekutuan.

Namun, sejak kebelakangan ini BSD ditimbulkan semula oleh beberapa hakim Mahkamah Sivil yang banyak menjadikan BSD sebagai justifikasi dalam penghakiman kes-kes mereka.

Meskipun BSD banyak dijadikan justifikasi dalam kes Mahkamah Sivil, namun tidak wujud sebarang hitam putih dalam Perlembagaan Persekutuan kerana ia diimport dari India, sedangkan Islam yang menjadi agama bagi Persekutuan Malaysia bersumberkan dua rujukan induk tertinggi iaitu al-Quran dan sunnah.

Kegusaran orang Islam mula timbul kerana seolah-olah Mahkamah Syariah tidak mempunyai kuasa menentukan beberapa isu dalam keislaman secara muktamad.

Hal itu kerana keabsahan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah berkenaan perkara berkaitan agama Islam kini boleh dicabar melalui Mahkamah Sivil, sedangkan fatwa dan isu-isu khusus memerlukan kepakaran dalam ilmu alat pengeluaran seperti usul fiqh, kemahiran tinggi dalam bahasa Arab dan ilmu al-Quran serta hadis.

Apa juga isu berkaitan fatwa dan syariah perlu diperdebatkan di Mahkamah Syariah tetapi implikasi perlaksanaan BSD, akhirnya kelak mungkin Mahkamah Persekutuan pula yang akan menentukan sama ada sesebuah fatwa, hak-hak Muslim dan keislaman seseorang sah atau tidak sah.

Kedua, implikasi kepada pengesahan pindaan Perlembagaan oleh 2/3 ahli Parlimen dan perkenan Majlis Raja-Raja akan terbatal kerana difikirkan bertentangan dengan BSD. Keadaan itu akan menjadikan judicial power (kuasa kehakiman) melampaui dua kuasa perlembagaan lagi iaitu Eksekutif dan Perundangan.

Persoalan juga akan timbul jika Mahkamah Sivil mempunyai kuasa kehakiman yang tidak boleh disentuh, apakah Mahkamah Syariah tidak mempunyai kuasa kehakiman dalam perkara mengenai perundangan Islam?

Ketiga, undang-undang kita menjadi tidak jelas, tidak mempunyai objektif tersendiri kerana BSD tidak tersurat serta terlalu subjektif. Sehingga kini tiada hitam putih skop lengkap asas BSD tetapi hanya bergantung kepada pendirian dan kecenderungan hakim semata-mata.

Tidak dinafikan Perlembagaan Persekutuan memang perlu mempunyai ciri-ciri asas (fundamental features) tersendiri. Contoh ciri asas perlembagaan seperti Islam, Melayu, raja dan kebebasan kehakiman (sivil dan syariah) adalah ciri-ciri perlu kita pertahankan.

Ciri asas perlembagaan itu bagi saya berbeza dengan BSD kerana BSD menyatakan beberapa peruntukan asas perlembagaan tidak boleh dipinda melalui apa cara sekali pun, manakala ciri asas Perlembagaan Persekutuan boleh dipinda ikut tahap kesukaran berbeza.

Pengasingan kuasa dan kuasa semak imbang seperti ditetapkan Mahkamah Agung serta hakim-hakim sebelum 2018 perlu dikekalkan tanpa melebihkan satu kuasa di atas kuasa-kuasa lain.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

Klik di sini untuk terus membaca