SHAH ALAM - Pakar ekonomi mencadangkan lima kaedah yang mungkin boleh dipertimbangkan kerajaan susulan ekonomi global yang diramal lebih mencabar pada tahun depan. Lima syor itu ialah melaksanakan strategi penggantian barangan import,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pakar ekonomi mencadangkan lima kaedah yang mungkin boleh dipertimbangkan kerajaan susulan ekonomi global yang diramal lebih mencabar pada tahun depan.

Lima syor itu ialah melaksanakan strategi penggantian barangan import, meningkatkan stok makanan, mencari pasaran baharu dengan China, menangguhkan pembelian aset keselamatan dan menangguhkan pelaksanaan projek pembangunan baharu yang tidak penting.

Pakar ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (Unirazak), Profesor Dr Barjoyai Bardai berkata, kesemua lima aspek itu merupakan perkara penting yang perlu diberikan fokus oleh kerajaan.

Menyentuh mengenai rasionalnya mencari lebih banyak pasaran baharu dengan China, Barjoyai berkata, negara yang mempunyai penduduk paling ramai di dunia itu tidak mengalami kegawatan besar seperti mana yang berlaku di Barat.

"Secara umumnya Malaysia dijangka tidak mengalami kemelesetan ekonomi kerana berdasarkan statistik pertumbuhan ekonomi negara kita pada tahun ini berada dalam kadar positif.

"Bagaimanapun tahun 2023 dan 2024, pakar-pakar ekonomi dunia menjangkakan ekonomi global mencabar disebabkan kemelesetan yang berlaku di Barat dan kita lihat perkembangan ini sememangnya turut memberi kesan kepada kita.

"Ini kerana lebih 80 peratus daripada barangan input dan makanan negara diimport dari luar negara. Jadi, kita akan merasai inflasi hasil daripada harga barangan yang diimport ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Barjoyai

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai jangkaan prospek ekonomi global diramal mencabar pada tahun depan.

Tambahnya, impak daripada kemelesetan ekonomi global ini juga dijangka turut memberi kesan ketara kepada beberapa sektor di Malaysia, antaranya perkilangan, petroleum dan kelapa sawit.

Jelasnya, sektor berkenaan tidak terlepas daripada mendapat kesan berikutan kedua-duanya saling berkait antara satu sama lain.

Barjoyai dalam masa sama turut mengesyorkan beberapa langkah yang boleh diambil rakyat untuk mengurangkan beban kesan daripada peningkatan kadar inflasi.

Antara pendekatan yang boleh diambil, katanya, adalah berbelanja dengan berhemah, mengurangkan makan di luar, tidak melancong ke luar negara dan beli produk tempatan.

"Melihat akan situasi ekonomi yang terus mencabar ini, rakyat perlu lebih bijak berfikir dalam menguruskan kewangan masing-masing kerana ketika ini bukan masa sesuai untuk berbelanja bagi perkara yang tidak penting.

Beliau bagaimanapun optimis, keadaan ekonomi negara tidak seteruk seperti apa yang berlaku dua tahun lalu susulan penutupan sektor ekonomi bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

"Kita akui ekonomi diramal mencabar tahun depan tetapi kita yakin ia tidak seteruk yang kita alami dua tahun lalu dan kerajaan pastinya sudah mengambil pengajaran kesan daripada penutupan itu yang mengakibatkan ekonomi negara runtuh,” katanya.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebelum ini dilaporkan berkata, prospek ekonomi pada tahun 2023 dijangka lebih mencabar kepada semua negara, namun menolak dakwaan Malaysia sedang berada dalam krisis ekonomi.

Bank Dunia baru-baru ini memberi amaran dunia mungkin terjerumus ke dalam kemelesetan pada tahun depan ketika bank-bank pusat secara serentak menaikkan kadar faedah sebagai tindak balas kepada inflasi.

Menurut kajian mereka, bank-bank pusat seluruh dunia menaikkan kadar faedah pada tahun ini kepada tahap yang tidak pernah disaksikan sejak lima dekad lalu.


INFO

Lima syor untuk kerajaan bagi hadapi ekonomi mencabar tahun depan:

1. Laksana strategi penggantian barang import

2. Tingkat stok makanan

3. Tingkat pasaran baharu dengan China

4. Tangguh pembelian aset keselamatan

5. Tangguh pelaksanaan projek pembangunan baharu yang tidak penting.

Klik di sini untuk terus membaca