TRAGEDI banjir yang kerap berlaku di negara ini telah memberi pelbagai kesan yang buruk kepada orang ramai serta infrastruktur di Malaysia.
Beberapa siri kejadian banjir besar berlaku pada tahun 2021 di seluruh negara, terutamanya di Lembah Klang pada bulan Disember yang lepas telah memberi gambaran kesiapsiagaan negara dan rakyat dalam menghadapi bencana masih di tahap kurang memberangsangkan.
Akibatnya telah berlaku kesusahan, kerosakan, kehilangan dan kerugian pada skala yang amat besar.
Kerajaan juga terpaksa berbelanja besar untuk membuat pemulihan selepas bencana serta memberi bantuan kewangan kepada mangsa yang terlibat sebagai satu bentuk kebertanggungjawaban kerajaan.
Melalui program Bantuan Banjir Keluarga Malaysia, kerajaan telah memperuntukkan lebih RM2.03 bilion kepada mangsa-mangsa yang terkesan dengan banjir.
Agak kesal kerana walau pun saban tahun tragedi banjir sering berulang, usaha pencegahan dan kesiapsiagaan sering kali tidak menyeluruh dan konsisten.
Jika tidak, pastinya kesulitan yang ditanggung mangsa, kerugian serta perbelanjaan bagi pemulihan pasca bencana adalah jauh lebih rendah.
Bertekad untuk memperbaiki kelemahan, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) disertai pelbagai agensi yang berkaitan sudah membuat perencanaan peranan masing-masing agar lebih efektif dan bersiap siaga.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga telah menunjukkan keseriusannya dengan mengadakan mesyuarat pada 12 September 2022 lepas bersama semua agensi bertanggungjawab serta wakil daripada semua kerajaan negeri.
Ia bagi memastikan pengurusan bencana lebih teratur daripada peringkat Persekutuan hinggalah ke peringkat daerah.
Persediaan rapi mesti dilakukan kerana pada tahun ini, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan akan berlakunya taburan hujan yang tinggi sewaktu fasa peralihan monsun antara akhir September hingga Mac tahun hadapan serta boleh diburukkan keadaan dengan fenomena La Nina yang masih belum berakhir dan air pasang besar.
Malah dalam jangka masa terdekat ini, beberapa kawasan sebenarnya sudah pun dilanda banjir.
Meski dengan persediaan yang dibuat oleh kerajaan dan agensi yang bertanggungjawab, rakyat juga tidak boleh menjadi lewa tanpa sebarang persiapan.
Bagi mengurangkan beban kesusahan sewaktu bencana, rakyat boleh mempersiapkan pelan kecemasan dan kelengkapan pemindahan sendiri yang perlu mengandungi semua keperluan penting masing-masing.
Begitu juga maklumat berkaitan perhubungan dan komunikasi sewaktu kecemasan.
Banyak maklumat berkaitan bencana dan persediaannya boleh didapati di laman web atau portal Majlis Keselamatan Negara (MKN), Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan serta lain-lain agensi.
Mereka telah membuat integrasi maklumat demi memudahkan semua pihak.
Bagi tujuan pengurusan risiko, rakyat disarankan untuk membeli polisi perlindungan takaful atau insurans tambahan yang fokus kepada perlindungan berkaitan bencana.
Bergantung pada keperluan masing-masing, antara yang boleh dipertimbangkan adalah takaful atau insuran pemilik rumah dan isi rumah, aset perniagaan serta menambah polisi perlindungan bencana terhadap kenderaan.
Carian mudah di internet pastinya akan menemui pelbagai produk perlindungan bencana sebegini yang ditawarkan oleh agensi takaful dan insurans. Ia sedikit sebanyak dapat menampung kos ganti rugi yang berlaku.
Hakikat bencana yang berlaku tidak boleh disangkal. Namun, kesannya boleh diminimumkan dengan adanya gabungan teknologi ramalan dan amaran awal serta diikuti dengan perancangan yang rapi.
Oleh itu, kesiapsiagaan kerajaan melalui pelbagai agensi dan kepekaan rakyat amatlah diharapkan.
Dengan doa dan kekayaan jiwa masyarakat Malaysia, segala kesulitan boleh diharungi bersama.
* Dr Ahmad Shazrin Mohamed Azmi ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pengurusan Hartanah, Fakulti Senibina Perancangan & Ukur UiTM Shah Alam
Klik di sini untuk terus membaca