SHAH ALAM - Rata-rata orang ramai mula menyimpan wang untuk tujuan kecemasan dan tidak menambah hutang sebagai persediaan dalam menghadapi situasi ekonomi yang lebih mencabar pada tahun hadapan.
Penyelaras tender, Mohd Nazirul Hisham, 33, berkata, selain itu, dia kekal konsisten membayar hutang sedia ada dan berjimat cermat dalam perbelanjaan pada ketika ini.
"Saya tinggal berdua dengan isteri, jadi kami cuba untuk lebih kerap memasak dengan kuantiti yang sedikit dan cukup untuk dua orang makan sahaja.
"Aktiviti juga kami hadkan dan jika ada sekalipun, mungkin banyak melibatkan diri dengan yang tidak banyak mengeluarkan wang seperti mendaki,” katanya.
Mohd Nazirul berkata, dia juga berjinak-jinak dalam perniagaan makanan di kantin sekolah di Klang dan menceburkan diri dalam pelaburan bidang saham.
Pensyarah Kanan, Siti Rasna Sierra Rasmat, 31, pula telah membuka akaun simpanan untuk tujuan kecemasan.
"Persiapan kedua adalah mengurangkan perbelanjaan yang tidak diperlukan dan kerap makan di rumah.
"Selain itu, saya dan suami menggunakan platform dalam talian bagi menjana pendapatan menggunakan bakat atau hobi yang ada seperti melukis dan mengajar,” katanya.
Eksekutif Operasi Kanan, Siti Fatimah Johari, 33, pula berkata, persiapan awal adalah dengan membuat tabungan daripada awal bagi mengelakkan terbeban dalam menghadapi situasi ekonomi pada tahun hadapan.
Dia turut mengakui sedang berjimat serta hanya membeli barangan mengikut keperluan dan bukannya kehendak.
"Saya dan suami juga ada membuat kerja sampingan bagi menambah pendapatan seperti saya menjual biskut dan suami membuat perkhidmatan e-hailing,” katanya.
Pensyarah, Muhamad Qamar Rahman Md Isa, 32, pula berkata, bagi menghadapi situasi ekonomi yang tidak menentu, dia telah mula membuat tabungan kecemasan sekiranya berlakunya apa-apa perkara.
"Kebiasaannya, 20 peratus daripada gaji saya asingkan untuk simpanan. Selain itu, saya lebih berjimat dan hanya berbelanja untuk barangan keperluan sahaja,” ujarnya.
Eksekutif Penyelidikan, Noor Syahida Md Sofian, 33, pula berpandangan persediaan dari segenap aspek iaitu fizikal, mental dan spiritual perlu dipertingkatkan dalam menghadapi situasi ekonomi akan datang.
"Persediaan fizikal dalam melakukan pekerjaan tambahan seperti berniaga atau bertani. Persediaan mental supaya tidak mudah mengalah dalam mengusahakan apa sahaja yang dirancangkan,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca