SHAH ALAM - Keadaan ekonomi negara dan dunia yang tidak menentu pada masa kini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat sehinggakan ada yang cuba mencari kaedah lain dalam menjana pendapatan termasuk dalam aspek pelaburan.
Bagaimanapun, lambakan alternatif pelaburan yang ada dalam media sosial giat mempromosikan jaminan keuntungan yang mudah dan cepat sehingga masyarakat terperdaya dengan skim berkenaan.
Akibat terperdaya dengan kekayaan dan kemewahan yang ditunjukkan di dalam platform media sosial tersebut, ramai yang sanggup menggadai harta serta menghabiskan simpanan mereka sehingga berdepan dengan tekanan akibat kerugian yang dihadapi.
Perunding kewangan, Dr Azizul Azli Ahmad berkata, ketaasuban masyarakat melihat pulangan yang menguntungkan melalui pelaburan saham itu menyebabkan segelintir mereka mudah percaya dengan skim yang ada di media sosial.
"Kena faham, apa-apa pelaburan sebelum kita masuk, kita kena bersedia untuk sebarang risiko kehilangan duit.
"Kedua, kita mestilah kuasai pelaburan tersebut. Kita suka mata wang kripto. Kita perlu faham dulu apa ciri-cirinya, apa yang perlu tahu, bila kita perlu beli atau jual? Berapa lama boleh pegang dan simpan dalam akaun e-dompet kita.
"Maknanya ilmu pengetahuan kita kena kuasai dahulu, sebelum kita mahu masuk mana-mana instrumen pelaburan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Beliau yang juga Pensyarah Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar berkata, orang ramai juga perlu membuat persediaan awal dari segi kewangan supaya mempunyai dana atau simpanan kecemasan.
"Kita kena ada dana kecemasan dulu supaya kalau apa-apa berlaku seperti duit hilang, pelaburan tidak jadi, ekonomi merundum dan sebagainya, kita masih ada lagi simpanan,” ujarnya.
Selain itu, Azizul Azli berkata, masyarakat juga disarankan supaya mempunyai rancangan keluar sebelum memasuki sebarang pelaburan.
"Sebelum kita hendak melabur, atau beli emas, hartanah, saham, matawang kripto dan sebagainya, kita kena tahu dalam hidup kita ini, bila kita perlu keluar dari instrumen pelaburan ini,” menurutnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, bagi mengelakkan diri daripada tertipu dengan pelaburan-pelaburan tertentu yang tidak berlesen, masyarakat boleh melakukan semakan melalui Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bank Negara Malaysia (BNM).
Ujarnya, orang ramai boleh memastikan sama ada pelaburan tersebut berlesen atau tidak melalui senarai SC.
"BNM ada senarai pelaburan-pelaburan yang berdaftar. Kalau pelaburan yang kita dengar itu terlampau bagus dan mempunyai keuntungan berganda-ganda, kenapa institusi atau syarikat-syarikat besar tidak melabur?
"Kenapa ajak kita yang tidak ada duit ini melabur? Pelaburan yang kedengaran terlampau bagus ini kalau boleh perlu lebih berhati-hati,” ulasnya.
Klik di sini untuk terus membaca