SHAH ALAM - Rakyat Malaysia perlu mengawal perbelanjaan dengan memberikan keutamaan terhadap keperluan berbanding kehendak ketika menghadapi keadaan ekonomi yang mencabar.
Pakar Kewangan Pengguna, Profesor Dr Mohamad Fazli Sabri berkata, langkah tersebut merupakan perkara paling asas perlu dilakukan apabila berhadapan dengan isu kemelesetan ekonomi.
"Kita kena buat penyelarasan gaya hidup dengan memberikan keutamaan terhadap perkara membabitkan kelangsungan hidup diri dan keluarga.
"Yang dimaksudkan keutamaan itu, antaranya perbelanjaan penjagaan dan perlindungan kesihatan, pendidikan anak, simpanan kecemasan dan persediaan persaraan.
"Dalam tempoh sekarang ini, kita tidak sepatutnya beri fokus untuk perbelanjaan seperti gajet, renovasi rumah dan tukar kereta serta motosikal,” katanya.
Pada masa sama, Dekan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia itu berkata, bagi yang masih bergelut dengan pendapatan yang tidak mencukupi, mereka perlu mencari jalan menambahkan pendapatan, antaranya dengan membuat kerja sampingan atau meningkatkan kemahiran sedia ada.
"Kita kena fikirkan juga pembelajaran kemahiran sepanjang hayat.
"Pelbagaikan kemahiran dengan menghadiri pelbagai kursus yang banyak diadakan secara dalam talian khususnya dalam sektor yang banyak permintaan sekarang dan pada masa depan seperti ekonomi gig dan perdagangan dalam talian,” ujarnya.
Kata Mohamad Fazli, kedua-dua langkah tersebut iaitu mengawal perbelanjaan dan meningkatkan pendapatan itu juga sepatutnya sudah dilaksanakan sejak daripada sekarang sebagai langkah persediaan menghadapi kemungkinan keadaan ekonomi pada tahun hadapan.
Jelas beliau, jumlah tabungan kecemasan diperlukan seseorang individu atau keluarga adalah sekurang-kurangnya enam atau 12 bulan daripada pendapatan kasar atau perbelanjaan bulanan.
"Katakan sebulan belanja RM4,000, jadi dia perlu ada simpanan antara RM24,000 (enam bulan) hingga RM48,000 (12 bulan).
"Kalau kira pendapatan kasar pula, jika gaji mereka RM6,000 sebulan, perlu ada simpanan antara RM36,000 atau RM72,000
"Simpanan ini sangat penting contohnya apabila dibuang kerja, ia dapat digunakan bayar rumah, kenderaan dan memastikan kelangsungan hidup diri dan keluarga,”ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca