SEJAK beberapa minggu lalu, beberapa parti politik di Indonesia sudah mula mendedahkan nama calon yang bakal bertanding pada Pemilihan Umum (Pemilu 2024) yang dijangka berlangsung sengit.
Antara yang disebut ialah Speaker Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Puan Maharani yang ketika ini cuba untuk meraih sokongan memandangkan popularitinya agak rendah walaupun beliau merupakan anak kepada bekas Presiden wanita pertama, Megawati Soekarnoputri.
Mewakili parti politik terbesar, Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) tidak menjamin Puan, 49, dapat bersaing untuk merebut jawatan Presiden yang bakal ditentukan berdasarkan undian pengundi pada Februari 2024.
Beliau perlu menjadi salah seorang calon paling popular untuk berpeluang menang.
Puan tidak mempunyai banyak masa memandangkan Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto yang mewakili Parti Gerindra sudah mengesahkan pencalonannya malah popularitinya semakin meningkat setelah tewas pada Pilihan Raya Presiden (Pilpres 2019).
Ke mana sahaja Prabowo pergi, beliau akan dirujuk sebagai calon Presiden dan Puan kini berdepan cabaran besar bersaing dengannya atau mungkin terpaksa melupakan hasrat tersebut dan membenarkan Gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo yang lebih popular bertanding untuk tiket calon Presiden PDI-P.
Sebelum ini, ibunya, Megawati yang memegang jawatan Presiden pada 2001-2004 menegaskan Puan akan bertanding pada Pemilu 2024 bagi meneruskan tradisi keluarganya untuk memimpin negara itu seperti datuknya, Presiden pertama Indonesia, Sukarno (1945-1966).
Megawati bagaimanapun enggan terburu-buru menamakan Puan sebagai calon PDI-P melainkan beliau berjaya menaikkan popularitinya untuk melayakkannya bertanding.
LANCAR 'SAFARI POLITIK'
Keputusan kaji selidik menunjukkan tokoh paling popular untuk Pemilu 2024 ialah Prabowo dan Ganjar disusuli Gabenor Jakarta, Anies Baswedan manakala Puan gagal berada di dalam senarai lima teratas.
Pada awal bulan lalu, Puan melancarkan 'safari politik' untuk melihat kemungkinan membentuk gabungan dengan parti politik lain menjelang Pemilu 2024 dan beliau turut menawarkan slot pasangan regu serta kerusi kabinet jika mendapat sokongan bertanding jawatan Presiden Indonesia.
Parti pertama yang 'diintai' beliau ialah Parti Nasional Demokrasi (Nasdem) yang berada di tangga keempat pada Pemilu 2019.
Ketika ini, Puan cuba untuk memaksimumkan publisiti bagi meningkatkan popularitinya seperti yang beliau lakukan dengan lawatan Nasdem selain menggunakan 'kad wanita' sebagai usaha meraih sokongan memandangkan golongan tersebut menyumbang lebih 50 peratus undi berdaftar.
Kumpulan feminis bagaimanapun mendakwa Puan mempunyai rekod prestasi yang buruk berkaitan perjuangan kepentingan wanita sama seperti ibunya.
Sebagai Speaker DPR, beliau mengambil kredit penuh kerana meluluskan Undang-undang Keganasan Seksual pada awal tahun lalu setelah ia 'terperap' di dewan berkenaan selama lebih sedekad.
Menerusi ucapannya baru-baru ini, Puan dilihat cuba mengangkat martabat golongan wanita untuk memegang tampuk kepimpinan negara itu yang secara tradisinya didominasi oleh lelaki.
"Insya-ALLAH pada 2024, kita akan melihat lebih ramai wanita dilantik sebagai pemimpin wilayah, memegang jawatan menteri dan Presiden. Kita perlu berjuang untuk mencapai matlamat tersebut,” tegasnya.
SPEAKER WANITA PERTAMA
Puan Maharani Nakshatra Kusyala Devi dilahirkan pada 6 September 1973 dan dibesarkan dalam keluarga politik berpengaruh malah bapanya, Taufiq Kiemas juga pernah berkhidmat sebagai Speaker Dewan Perundingan Rakyat pada 2009 sehingga beliau meninggal dunia pada 2013.
Selepas tamat sekolah tinggi pada 1991, Puan melanjutkan pengajian ke Universiti Indonesia dalam bidang komunikasi massa dan bergelar graduan pada 1997.
Puan mula terlibat dalam dunia politik pada 1998 selepas kejatuhan era pemerintahan datuknya, Sukarno.
Pada masa itu, anak bongsu Megawati itu sering mengiringi ibunya ketika lawatan rasmi di dalam dan luar negara serta mengadakan acara sosial secara bebas.
Pada 2008, Megawati yang memimpin PDI-P pernah memperkenalkan Puan sebagai penggantinya ketika berkempen di Jawa Timur.
Beliau kemudiannya bergiat secara aktif dalam bidang politik sebelum dilantik sebagai anggota Dewan Perwakilan Rakyat pada 2009.
Puan juga pernah memegang jawatan Menteri Penyelaras Pembangunan Manusia dan Hal Ehwal Budaya di bawah pentadbiran Presiden Joko Widodo atau Jokowi pada 2014-2019 sebelum dilantik sebagai Speaker wanita pertama.
Mengintai sisi peribadinya, Puan yang berkahwin dengan ahli perniagaan, Hapsoro Sukmonohadi dan dikurniakan dua cahaya mata jarang berkongsi tentang keluarganya dengan umum.
Kini, nasibnya untuk bertanding atau tidak bakal ditentukan ibunya sendiri yang akan melihat terlebih dahulu keputusan kaji selidik orang ramai.
Siapa tahu, beliau mungkin bakal mengikut jejak langkah Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr yang berjaya mengembalikan semula legasi keluarganya dalam dunia politik. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca