SHAH ALAM - Biarpun keadaan umpama seolah-olah sudah tidak nampak cahaya di hujung terowong, UMNO dan Pas perlu kembali ke rundingan untuk mencari kemelut hubungan dan kerjasama mereka dalam Muafakat Nasional (MN) demi masa depan dan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Biarpun keadaan umpama seolah-olah sudah tidak nampak cahaya di hujung terowong, UMNO dan Pas perlu kembali ke rundingan untuk mencari kemelut hubungan dan kerjasama mereka dalam Muafakat Nasional (MN) demi masa depan dan kepentingan kedua-dua pihak serta politik orang Melayu Islam di Malaysia.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir berkata, tindakan itu kerana UMNO dan Pas perlu membuat keputusan drastik, muktamad dan pantas berhubung kedudukan serta pendirian sebenar mereka mengenai kerjasama menerusi MN, menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Jeniri menegaskan, semakin cepat UMNO dan Pas membuat keputusan kesannya lagi baik kepada pemimpin serta penyokong akar umbi kedua-dua parti berkenaan.

"Jika UMNO dan Pas tidak meneruskan kerjasama menerusi MN, saya melihat ia bukan hanya akan merugikan kedua-dua belah parti malah kepentingan orang Melayu Islam di Malaysia, pada masa depan.

"Tanpa kerjasama Pas dan UMNO maka mereka akan membuka ruang kepada Pakatan Harapan (PH) untuk menang lebih banyak kerusi termasuk di 145 kerusi majoriti pengundi Melayu Islam, sekali gus kembali berkuasa dan menguasai Putrajaya selepas PRU15 nanti," katanya kepada Sinar Premium pada Ahad.

Jeniri

Jeniri berkata demikian ketika ditanya mengenai keperluan UMNO dan Pas kembali ke meja rundingan dengan segera bagi mewujudkan 'khemah besar' kepada Melayu serta Islam pada PRU15.

Cadangan itu disuarakan EXCO Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin yang menyifatkan kerjasama antara kedua-dua parti itu penting untuk mengelakkan PH kembali berkuasa selepas PRU15 nanti.

Berikutan itu Jeniri percaya jika wujud kerjasama, maka UMNO dan Pas bukan hanya mampu mengekalkan kerusi Parlimen dan DUN sedia ada, malah berkeupayaan merampas kembali kawasan dirampas PH dalam PRU14 lalu.

"Jadi demi kepentingan kedua-dua parti dan orang Melayu Islam, maka pemimpin tertinggi UMNO dan Pas tiada pilihan atau alternatif lain kecuali mengetepikan ego masing-masing serta perbezaan pandangan dengan memberikan fokus kepada satu agenda utama iaitu kembali ke meja rundingan bagi memastikan kemenangan menjadi milik mereka pada PRU15 nanti.

"Tindakan itu perlu bagi membolehkan UMNO dan Pas kembali membentuk sebuah kerajaan campuran kuat bersama parti lain selepas PRU15 nanti," katanya.

Sebaliknya Jeniri berkata, tanpa kerjasama UMNO dan Pas, tidak mustahil kedua-dua parti berkenaan berpotensi untuk kembali menjadi pembangkang sama seperti berlaku selepas PRU14 lalu.

"Pertembungan sesama sendiri antara UMNO dan Pas akan membuka ruang kepada PH pada PRU15 nanti. Jangan sampai semua berputih mata," katanya.

Jeniri menambah, fokus utama rundingan UMNO dan Pas nanti mestilah tertumpu kepada agihan kerusi dan strategi untuk menghadapi PRU15 yang akan diadakan pada bila-bila masa dari sekarang.

Beliau berkata, penentuan agihan kerusi mestilah berlandaskan parti yang menang dalam PRU14 dengan diberikan laluan dan keutamaan untuk mempertahankan kerusi DUN serta Parlimen berkenaan.

"Untuk memudahkan lagi rundingan kedua-dua belah pihak UMNO dan Pas perlu merujuk data jumlah undi tertinggi diraih pada PRU14 bagi menentukan siapa paling layak bertanding di kawasan Parlimen atau DUN berkenaan.

"Jika rundingan gagal tidak mustahil berlaku perbalahan teruk dan sabotaj sehingga menggagalkan kerjasama MN dan menyebabkan UMNO serta Pas kehilangan kerusi," katanya.

Terdahulu, bekas Setiausaha Majlis Syura Ulamak, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, memberi amaran kepada ahli Pas dan UMNO supaya berhati-hati dengan agenda memecah-belahkan MN susulan kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa BN menjadi musuh utama PN pada PRU15 nanti.

Mohd Khairuddin yang juga bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat berkata, kenyataan bahawa BN adalah musuh PN ternyata meletakkan Pas dalam dilema.

"Pas baru sahaja berusaha membina kembali jambatan yang sudah mula terbakar berikutan kenyataan dikeluarkan Setiausaha Agung Pas bahawa BN bukan musuh Pas dalam PRU15.

"Ia adalah talian hayat kerjasama politik, namun ia tidak disenangi oleh setengah pihak yang akan terjejas dengan kerjasama MN ini," katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya pada malam Sabtu.

Klik di sini untuk terus membaca