SHAH ALAM - Amalan penentuan tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) yang hanya diketahui serta boleh diputuskan oleh seorang individu harus dihentikan bagi mengelak berlaku pelbagai permasalahan di peringkat masyarakat dan memberi kesan kepada... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Amalan penentuan tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) yang hanya diketahui serta boleh diputuskan oleh seorang individu harus dihentikan bagi mengelak berlaku pelbagai permasalahan di peringkat masyarakat dan memberi kesan kepada ekonomi negara.

Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen berkata, sistem politik yang diamalkan seperti sedia ada bukan sahaja menimbulkan permasalahan dan kecelaruan kepada masyarakat umum tetapi ia menimbulkan satu persoalan besar kepada pihak pelabur atau pemain industri luar negara yang beroperasi di Malaysia.

Katanya, kegagalan menentukan tarikh PRU secara tepat menyebabkan orang ramai termasuk penjawat awam dan anggota keselamatan negara berhadapan masalah jadual tugasan termasuk cuti kerana tidak tahu bila ia akan diadakan.

"Situasi sekarang kita tidak tahu bila PRU akan diadakan dan ia menjadi tanda tanya. Tengok apa kesannya apabila guru dan penjawat awam tidak dapat ambil cuti sebab tidak tahu bila pilihan raya akan diadakan.

"Orang ramai dan ahli politik juga bermasalah. Ini kerana hanya satu orang sahaja yang tahu (Perdana Menteri) tetapi dia juga tidak tahu bila mahu buat PRU," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan mesra bertemu Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub.

Hadir sama Ahli Parlimen Lembah Pantai yang juga Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil.

WILLIAM

Mengulas lanjut, William berkata, banyak negara termasuk Britain telah melakukan perubahan dalam sistem perlembagaan masing-masing bagi memudahkan semua pihak.

Menurutnya, sistem perlembagaan British yang mana negara kita ikut juga sudah melakukan perubahan dengan mewujudan akta yang menentukan tempoh tetap bagi sesebuah kerajaan untuk memerintah negara.

Jelasnya, perubahan tersebut turut membabitkan ketetapan tarikh pilihan raya yang harus diadakan sebaik tempoh pemerintahan ditetapkan selama lima tahun.

"Sebab itu, perlu ada perubahan di dalam amalan politik sedia ada di negara ini. Tarikh PRU perlu diumumkan dan saya amat bersetuju sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri dapat mengumumkan segera bila tarikh PRU mahu diadakan.

"Semua orang senang hendak buat perancangan. Kegagalan mengetahui tarikh PRU bukan sahaja menimbulkan kekalutan semua pihak untuk membuat persiapan dan persediaan, situasi perit juga dialami oleh parti-parti politik," katanya.

Menurutnya, pelbagai spekulasi yang bertebaran dan tidak menentu melibatkan tarikh PRU adalah tidak baik buat ekonomi dan kestabilan negara kerana banyak pihak sukar membuat perancangan perniagaan masing-masing terutama pelabur luar.

Jeasnya, tanpa satu pengumuman yang pasti, ia akan mengganggu kumpulan pelabur asing untuk membuat keputusan jangka panjang.

"Setiap pelabur mempunyai perancangan tersendiri mengenai pelaburan mereka di negara ini. Sekiranya keputusan pelaburan terpaksa ditangguhkan, ia sebenarnya merugikan negara," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca