SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) membuktikan pencapaian jelas dalam isu menangani rasuah dan penyelewengan walaupun hanya menerajui kerajaan selama 22 bulan bermula 9 Mei 2018. Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, kejayaan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) membuktikan pencapaian jelas dalam isu menangani rasuah dan penyelewengan walaupun hanya menerajui kerajaan selama 22 bulan bermula 9 Mei 2018.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, kejayaan itu dapat dibuktikan apabila Indeks persepsi rasuah negara menunjukkan prestasi yang lebih baik di peringkat antarabangsa.

"PH menunjukkan kesungguhan yang sangat tinggi untuk melawan rasuah. Saya tidak menafikan dalam tempoh 22 bulan itu sudah tentu ada kelemahan namun banyak usaha yang telah dilakukan untuk menambah baik dan memastikan pencapaian perkhidmatan dalam kerajaan lebih baik serta telus.

"Dalam tempoh itu kita mengambil tindakan terhadap isu-isu penyelewengan yang besar khususnya 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Kalau bukan kerana PH yang menjadi peneraju kerajaan di Putrajaya, sampai sekarang 1MDB tidak ada penyelesaian,” katanya dalam satu wawancara eksklusif bersama Sinar Ahad.

Menurutnya, PH juga mengambil pelbagai langkah dalam memastikan kesilapan penyelewengan besar-besaran seperti kes 1MDB itu tidak lagi berlaku.

"Contohnya, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan di bawah kerajaan PH tidak boleh orang yang sama. Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mesti dipengerusikan oleh pembangkang.

"Kita juga mempunyai Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) untuk menasihati kerajaan membuat langkah-langkah memastikan kerajaan lebih berintegriti,” katanya.

Untuk pertama kali dalam negara, PH juga mewujudkan dasar untuk memastikan semua Menteri Kabinet, anggota pentadbiran kerajaan dan Ahli Parlimen wajib mengisytiharkan harta masing-masing dalam tempoh 3 bulan selepas mengangkat sumpah jawatan.

Pengisytiharan harta itu dibuat melalui persetujuan JKKMAR yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri ketika itu iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad.

Anthony Loke berpandangan perkara itu dapat memastikan segala proses perolehan dalam kerajaan dapat dijalankan dengan lebih telus.

"Oleh itu, kami berharap rakyat dapat menilai PH dalam sudut urus tadbir kita, bagaimana kita memerangi rasuah dan mengangkat budaya integriti.

"PH juga mengangkat semangat dalam perlembagaan, kedudukan Islam sebagai agama rasmi,” katanya.

ANTHONY

Anthony Loke juga menepis persepsi buruk segelintir pihak yang menganggap 22 bulan pemerintahan PH sebagai ‘mimpi ngeri’ dan hanya merupakan gambaran pihak lawan terutamanya UMNO dan Pas yang menjadi pembangkang ketika itu.

"Sudah tentu mereka akan menghitamkan kita, membuat pelbagai dakwaan untuk kepentingan politik mereka. Banyak perkara yang ditimbulkan adalah fitnah semata-mata untuk kepentingan politik sahaja.

"Sekarang ini mereka sudah menjadi kerajaan. Adakah semua perkara yang mereka timbulkan itu dapat mereka selesaikan? Jawapannya tidak semua. Mereka sering menanam persepsi kononnya kepentingan Melayu dan Islam tergugat. Ini semua tidak benar dan tuduhan tidak berasas,” katanya.

Berkaitan penyertaan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dalam PH sebagai salah sebuah parti gabungan, Anthony Loke mengakui sudah ada perbincangan di dalam Majlis Presiden dan mereka telah memberi parameter garis panduan kepada jawatankuasa PH untuk berunding dengan pihak Muda.

"Saya tidak mahu menggunakan istilah prasyarat kerana kita seolah-olah meletakkan kekangan kepada Muda. Namun, prasyarat ini penting sebagai pinsip-prinsip yang perlu dipatuhi Muda yang memohon untuk menjadi sebahagian PH.

"PH mempunyai prinsip dari segi dasar perjuangan, kepimpinan, pengagihan kerusi dan sebagainya. Jadi itu pegangan yang perlu dipersetujui oleh mana-mana parti yang ingin bersama dengan PH,” katanya.

Sama ada penyertaan Muda akan memberi nilai tambah kepada PH atau tidak, Anthony Loke berpandangan mereka perlu melihat dahulu sejauh mana PH-MUDA boleh mencapai sinergi untuk bekerjasama.

"Dalam gelanggang pilihan raya umum, pentingnya untuk kita menyatukan kekuatan terutamanya parti-parti yang mempunyai haluan serta objektif yang sama. Maka kita perlu berusaha untuk menyatupadukan kekuatan tersebut,” katanya.

* Ikuti wawancara penuh Anthony Loke: PRU15: DAP bakal tonjol lebih ramai calon Melayu

Klik di sini untuk terus membaca