SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Sesebuah parti tidak boleh bergabung dengan parti yang lain jika dasar perjuangan mereka berbeza ibarat minyak dan air. Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, sekiranya dasar... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Sesebuah parti tidak boleh bergabung dengan parti yang lain jika dasar perjuangan mereka berbeza ibarat minyak dan air.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, sekiranya dasar perjuangan antara parti yang bergabung itu ibarat minyak dan air, ia hanya akan menimbulkan pertelingkahan dalam kabinet dan menyebabkan rakyat sengsara.

"Paling penting dasar kewujudan sesebuah parti itu mestilah seiring dengan dasar-dasar parti lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berdebat dengan Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP, Howard Lee Cuan How pada program Berani Semuka bertajuk 'Solo Atau Gabung Parti: Rakyat Dapat Apa?' yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada malam Isnin.

Program yang dikendalikan Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin sebagai moderator itu disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian.

Mohd Razlan menjelaskan, dasar perjuangan setiap parti itu akan menentukan hala tuju kepada pemimpin untuk mencipta dasar kerajaan atau menguruskan kerajaan semasa mentadbir negara.

"Memang orang boleh berkata gabungan ini perlu dibuat untuk cukupkan nombor (jumlah kerusi Dewan Rakyat) untuk membina satu kerajaan tetapi kena faham bahawa selepas kita cukup untuk tubuhkan satu kerajaan, kita kena fikir apa kita nak buat di dalam mentadbir kerajaan.

"Saya lihat ini perkara ini penting sebab ada perkara-perkara dasar sesebuah parti itu terutama DAP dan parti pembangkang hari ini, ia tidak menggambarkan sesuatu kesan yang menunjukkan mereka boleh bersama (dengan parti lain)," ujarnya.

Beliau menegaskan, dasar antara parti yang tidak boleh disatukan antara parti-parti yang berhaluan kiri atau sosialis dengan parti-parti nasionalis akan menimbulkan pendebatan dan masalah jika kerajaan mahu melaksanakan sesuatu dasar seperti mahu memberi keutamaan kepada Majlis Amanah Rakyat (Mara) atau golongan bumiputera untuk sesuatu perkara.

Mohd Razlan menambah, contoh terbaik gabungan politik di negara ini sejak merdeka adalah BN kerana tidak pernah wujud peristiwa tikam belakang di dalam parti berkenaan.

"Kita tidak pernah ada peristiwa berbeza pandangan antara menteri kabinet dan tidak pernah ada peristiwa (menteri) di dalam (mesyuarat) kabinet bersetuju tetapi di luar tak bersetuju.

"Ini peristiwa-peristiwa yang akan merungsingkan rakyat yang akhirnya rakyat akan tanya apa sebenarnya (perangai) orang politik," jelas beliau lagi.

Klik di sini untuk terus membaca