SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii menegaskan BN tidak pernah menukar prinsip perjuangan berdasarkan kehendak politik semasa.
Mohd Razlan berkata, disebabkan itu BN akan kekal bertanding solo dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
"BN tidak pernah (prinsip perjuangan) tukar mengikut kehendak semasa, kita jadi pembangkang kita 'gentleman'.
"Prinsip dan perjuangan adalah segala-galanya. UMNO, MIC dan MCA tahu perjuangan ini dan sebab kita akan pergi solo pada PRU15 akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berdebat dengan Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP, Howard Lee Cuan How pada program Berani Semuka bertajuk 'Solo Atau Gabung Parti: Rakyat Dapat Apa?' dikendalikan moderator, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada malam Isnin.
Mohd Razlan berkata, BN juga akan berbincang dengan Sabah dan Sarawak seandainya inisiatif itu boleh dilakukan untuk memperkuatkan gabungan mereka untuk mencipta kerajaan nanti.
Justeru, Mohd Razlan menegaskan DAP perlu berlajar daripada BN yang berpegang teguh kepada prinsip perjuangan demi meraih kepercayaan rakyat.
"Asas perjuangan itu mestilah berpegang pada prinsip. Prinsip untuk kita sama-sama pegang ini mestilah diwujudkan apabila kita tahu siapa kawan kita, siapa sahabat kita, siapa yang bersama kita, siapa perlu kita nobatkan sebagai pemimpin, siapa menteri kabinet yang akan datang dan siapakah yang boleh melakukan kerja-kerja demi rakyat.
"Ini yang paling penting. Kita tak ada masalah kalau tak ada nombor (jumlah kerusi Dewan Rakyat yang cukup) pun, kita boleh jadi pembangkang," ujar beliau.
Katanya, jika kalah sekalipun BN akan menjadi pembangkang yang bermaruah tanpa menggadaikan prinsip perjuangan yang kita telah perjuangkan mereka sejak merdeka.
Klik di sini untuk terus membaca