SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Sama ada sesuatu parti itu bergerak secara solo atau bergabung, isu rakyat harus diberi tumpuan selepas pilihan raya.
Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP, Howard Lee Cuan How berkata, sekiranya selepas pilihan raya semua parti tidak ada majoriti maka sesuatu perlu dilakukan demi rakyat.
Beliau berkata demikian pada program Berani Semuka ‘Solo atau Gabung Parti: Rakyat Dapat Apa?’ yang disiarkan secara langsung di semua platform Sinar Harian pada Isnin.
Program turut menampilkan panelis Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii manakala Ahmad Fahmi Mohd Samsudin bertindak selaku moderator.
Dalam pada itu, Chuan How berkata, untuk ke arah itu, sudah tentu perbedaan akan wujud namun bagaimana semua parti boleh menyelesaikan perbedaan itu dan mengangkat dasar bersama demi rakyat demi negara.
"Sebagai contoh kerajaan Jerman terbentuk dari tiga buah parti yang tidak sehaluan membabitkan dasar namun di dalam mentadbir negara ada titik persamaan antara mereka,” katanya.
Tambahnya lagi, di Sweden lebih 10 tahun tidak ada satu parti mendapat majoriti dan mereka hanya ada kerajaan minoriti namun setiap kali ada rang undnag-undang hendak dibentangkan di Parlimen mereka akan bersama-sama membuat keputusan demi rakyat.
"Jadi sudah sampai masanya generasi baharu membentuk pemikiran matang bahawa politik itu adalah demi rakyat dan negara bukan untuk parti atau pemimpin tertentu,” katanya.