SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) akan ‘menyajikan’ manifesto realistik yang bukan sahaja mampu meraih sokongan rakyat tetapi turut dapat melaksanakannya sekiranya memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil berkata, antara yang diberi penekanan dalam manifesto adalah tentang aspek kebajikan rakyat dan perkara yang perlu diperbetulkan di dalam institusi seperti Parlimen.
Selain itu katanya, perkara lain yang diberi tumpuan adalah bagaimana untuk meningkatkan pendapatan rakyat seperti gaji dan pekerjaan mereka.
"Itu bagi saya manfaat yang kita harap dapat kita capai dengan manifesto ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Isnin.
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dilaporkan berkata bahawa beliau sejujurnya tidak mampu menjanjikan ‘langit’ berhubung manifesto PRU15 tetapi akan memberi komitmen jelas tentang isu-isu yang mampu diselesaikan.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, pihaknya sedar pada masa ini keadaan ekonomi sangat mencabar seperti mata wang ringgit jatuh merudum dan beban hutang yang perlu dipikul oleh rakyat atau kerajaan.
"Jadi manifesto bukan sahaja perlu seimbang dari segi fiskal tetapi perlu bertanggungjawab. Kita mesti berdiri di atas bumi yang nyata.
"Banyak perkara yang kita teliti sekarang ini, mengambil kira (juga) pengalaman kita mentadbir di negeri-negeri,” jelas Fahmi lagi.
Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu turut memaklumkan manifesto PH dibuat oleh sebuah Jawatankuasa Manifesto yang dianggotai oleh lima anggota dari setiap parti dalam gabungan PH.
Katanya, mereka ini diberi tugas untuk meneliti dasar dan kemampuan PH untuk melaksanakan manifesto.
Manifesto DAP lebih bersifat pragmatik, ambil kira keadaan semasa
Sementara itu, manifesto DAP yang akan ditawarkan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), bersifat lebih pragmatik dan mengambil kira keadaan semasa.
Memetik laporan daripada Sin Chew Daily, Ahli Jawatankuasa Pusat DAP, Chan Foong Hin berkata, parti tersebut melakukan perubahan dalam penghasilan manifesto baharu supaya ia berbeza dengan yang sebelumnya.
Ujar beliau, transformasi tersebut penting berikutan manifesto yang lalu meliputi terlalu banyak perkara.
"DAP pada masa ini sedang mengenal pasti kira-kira 30 isu dan cabaran semasa serta masa depan yang perlu dihadapi.
"Pendekatan akan disusun berhubung isu-isu berkenaan dan kami serta rakyat memerlukan sifat pragmatik dalam pentadbiran negara,” katanya dalam pada Isnin.
Foong Hin yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu bagaimanapun mengakui bahawa DAP terlalu idealistik dan kekurangan pengalaman pentadbiran sewaktu merangka manifesto sebelum ini.
"Tidak boleh katakan bahawa kami mengeluarkan janji kosong, cuma kami terlalu idealistik dan banyak statistik tidak dapat dikuasai secara tepat,” ujar beliau.
Perbandingan Manifesto PRU14
BARISAN NASIONAL
- 1 juta usahawan digital
- Menambah bilangan Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC)
- Menambah baik Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan kategori baharu penerima
- Pas pengangkutan awam TN50
- RM1,500 untuk anak penerima BR1M yang mendaftar di institusi pengajian tinggi (IPT)
- Menaik taraf sekolah daif
- Menaik taraf 12,500 kilometer jalan luar bandar
- Menyediakan subsidi bekalan air Sabah
- Mewujudkan bank khusus bagi pinjaman perumahan mampu milik RM300,000 ke bawah
- Menambah jumlah Rumah Transit Belia 1Malaysia
- Meningkatkan kadar pelepasan tahunan cukai pendapatan individu bagi kos perubatan ibu bapa daripada RM5,000 kepada RM10,000
- Menyemak semula kadar cukai pendapatan individu dan korporat
- Memperkenalkan Petisyen Awam untuk hal mustahak
- Wujudkan Ombudsman untuk aduan mengenai kerajaan
- Menubuhkan Majlis Ekonomi Wanita
- 10 hari cuti tanpa gaji jika isteri melahirkan anak
- Mewujudkan insentif cukai kepada syarikat yang mengambil orang kurang upaya (OKU) sebagai pekerja
- Menambah tenaga pakar, hospital, klinik 1Malaysia luar bandar
- Mewujudkan Pasukan Doktor Keluarga Percuma
- Membina Lebuhraya Lingkaran Tengah bagi menghubungkan Kelantan, Pahang dan Negeri Sembilan
- Membina taman poket seluruh negara
- Melupuskan hutang tanam semula peneroka Felda
- Menyediakan insentif RM5,000 bagi setiap peneroka Felda
GAGASAN SEJAHTERA
- Pengecualian cukai kepada pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS)
- Penstrukturan semula kadar bayaran tol
- Bantuan pembelian kereta pertama dengan pengecualian cuti eksais dan pembiayaan pinjaman tanpa faedah
- Melupuskan hutang peminjam PTPTN
- Mengembalikan bantuan geran per kapita kepada SAR, tahfiz, pondok dan sekolah persendirian
- Penggunaan Bahasa Melayu dalam semua mata pelajaran
- Mempertahankan hak rakyat Sabah antaranya Perjanjian Malaysia 1963
- Memberikan hak autonomi hasil dan cukai negeri Sabah
- Mewujudkan Program Mampu Memiliki Rumah
- Mengurangkan harga rumah mampu milik antara RM50,000 hingga RM180,000
- Menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST) diganti dengan Cukai Atas Simpanan Korporat dan Cukai Saham
- Menurunkan tarif elektrik dengan kadar lima hingga 10 peratus
- Meluluskan pindaan Akta 355
- Kembalikan hak royalti minyak negeri dengan kadar 20 peratus
- Melaksanakan baucar Penjagaan Diri bernilai RM600 kepada wanita daripada B40 dan M40
- Menawarkan bantuan dana RM2,000 sebagai modal peralihan untuk memulakan pekerjaan dari rumah
- Menubuhkan Tabung Kebajikan Perumahan Negara
- Menambah bilangan doktor pakar dan hospital
- Memperluaskan penggunaan sistem kad diskaun atau baucar pengangkutan awam
- Membangunkan penempatan mampu milik generasi kedua dan ketiga Felda
- Mengkaji semula hutang-hutang peneroka
PAKATAN HARAPAN
- Menyediakan dana RM1 bilion membangun sektor usahawan anak muda pelbagai sektor
- Menyediakan dana RM1 bilion bagi membantu usahawan anak muda dalam pelbagai sektor
- Menyediakan biasiswa khas untuk guru
- Mewujudkan sekolah berasrama penuh (SBP) aliran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
- Menangguhkan pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada semua peminjam gaji kurang dari RM4,000
- Menambah jumlah royalti petroleum 20 peratus
- Skim sewa milik seluruh negara
- Merombak rancangan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA)
- Menghapuskan cukai GST
- Memperkenalkan sistem percukaian mesra rakyat dan mesra usahawan
- Mengembalikan tanah rizab Melayu
- Menyelesaikan skandal 1MDB, Felda, Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Tabung Haji (TH)
- Memisahkan Pejabat Pendakwaraya Negara dari Pejabat Peguam Negara
- KWSP untuk suri rumah
- 90 hari cuti bersalin
- 18 tahun had umur minimum kahwin
- Menaikkan peruntukan pendidikan khas
- Memperkenal Skim Peduli Sihat
- Menyediakan pelan terperinci menyelesaikan masalah doktor muda
- Mengkaji semua perjanjian konsesi lebuh raya
- Tambah 10,000 unit bas awam seluruh negara
- Menghentikan penyelewengan dalam Felda
- Mengurangkan beban hutang warga Felda
- Memacu ekonomi dan daya saing negara
- Satu juta pekerjaan baru berkualiti
- Satu juta perumahan mampu milik dan mampu sewa (dua penggal)
- Hapuskan tol secara berperingkat
- Pendidikan percuma untuk IPTA
- Gaji minimum RM1,500 secara berperingkat
- Reformasi institusi-institusi negara
- Hadkan dua penggal jawatan Perdana Menteri dan Menteri Besar
- Memperkasakan perkhidmatan awam
- Desentralisasi kuasa kepada Sabah dan Sarawak
- Utamakan pekerja tempatan, mengurangkan dua juta pekerja asing secara berperingkat
- Mengekalkan BR1M kepada golongan B40
Klik di sini untuk terus membaca