HABITAT tanah bencah di Malaysia wujud secara semula jadi dan buatan manusia. Bentuk semula jadi merangkumi paya air tawar, paya gambut, sistem sungai, dataran banjir, tasik semula jadi, rawang, paya bakau, paya gelam, pantai berpasir dan... Klik di sini untuk terus membaca

HABITAT tanah bencah di Malaysia wujud secara semula jadi dan buatan manusia.

Bentuk semula jadi merangkumi paya air tawar, paya gambut, sistem sungai, dataran banjir, tasik semula jadi, rawang, paya bakau, paya gelam, pantai berpasir dan pesisir pantai berbatu, paya nipah, dataran lumpur termasuk terumbu karang dan dasar rumput laut.

Bentuk buatan terdiri daripada sawah padi, parit, kolam lombong, kolam, takungan air dan tanah bencah buatan.

Kewujudan tanah bencah sangat diperlukan untuk kestabilan alam sekitar, memelihara bekalan air bersih, melindungi serta memelihara flora dan fauna selain estetika yang mempesonakan.

Kepelbagaian fungsi tanah bencah menjadikan persekitarannya berada dalam keseimbangan.

Paling utama, tanah bencah merupakan sumber air semula jadi kerana menyediakan air yang boleh terus diambil, malahan kawasan tanah bencah berkait rapat dengan sumber air seperti air perigi selain menyediakan sumber air utama bawah tanah atau akuifer menyebabkan tanah bencah dikenali sebagai buah pinggang kepada bumi.

Malah, kawasan sepanjang pantai yang tanah bencahnya tidak diganggu dan dipenuhi dengan pokok bakau direkodkan mampu menyerap hentaman tsunami sebanyak 30 peratus.

Tanah bencah merupakan salah satu sumber daya alam yang penting kerana secara alami mempunyai rangkaian fungsi dan perkhidmatan yang signifikan kepada manusia dan alam sejagat.

Paya gambut di semenanjung misalnya kaya dengan kepelbagaian bio dengan merekodkan 238 spesies tumbuhan dan 81 spesies ikan selain memelihara pelbagai biologi, habitat kepada hidupan liar, pusingan kitaran hidrologi, menghalang kejadian banjir, hakisan, menstabilkan iklim, riadah dan pendidikan serta sumber keperluan sosio-ekonomi asas manusia.

Kawasan hutan paya gambut di Sungai Panjang, Sabak Bernam misalnya mampu menyimpan lebih daripada 3 juta tan karbon bersamaan dengan 12 juta karbon dioksida, bernilai sekurang-kurangnya RM240 juta.

Tanah Lembap Setiu di Terengganu antara tanah bencah yang harus dipertahankan. Habitat ini merupakan satu-satunya lokasi tanah bencah yang mempunyai sembilan ekosistem berbeza yang berada dalam satu kawasan.

Habitat ini turut menampung 197 spesies flora dan 814 spesies fauna merangkumi 29 spesies mamalia, 36 spesies reptilia dan amfibia, 161 spesies burung dan 32 spesies ikan.

Malah ia juga tempat perlindungan terbesar populasi Tuntung Laut dan antara pantai pembiakan bagi Penyu Agar. Paling utama, ia menjadi benteng terakhir mempertahankan habitat gelam di Pantai Timur.

Keunikan tersebut menyebabkan ekosistem ini bernilai tinggi dan harus dilindungi selain berpotensi dipromosi bagi aktiviti ekopelancongan dan edu-pelancongan.

Bayangkan kesan yang akan dialami jika ekosistem paya gambut ini musnah atau lenyap akibat tindakan tidak bertanggungjawab sesetengah pihak yang hanya mementingkan keuntungan.

Ternyata tanah bencah mempunyai nilai komersial tinggi jika dapat dipelihara dan diuruskan dengan baik.

Namun, ancaman terhadap tanah bencah tetap wujud seperti penebusan atau penukaran tanah, pencemaran, eksploitasi secara berlebihan, ancaman spesies dan amalan akuakultur yang tidak mesra alam.

Kerakusan manusia yang mengejar keuntungan sehingga sanggup mengeksploitasi tanah bencah secara keterlaluan dengan aktiviti yang hanya menguntungkan dalam jangka masa pendek seperti yang berlaku di Tasik Chini, Pahang mewujudkan pelbagai bencana, khususnya banjir.

Pelbagai program latihan, aktiviti kesedaran dan persidangan telah diadakan oleh agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) demi melestarikan penggunaan tanah bencah dan sumbernya.

Namun, peranan dan usaha yang dijalankan oleh komuniti dalam pengurusan sumber dan habitat di tanah bencah adalah paling signifikan dalam menyumbang kepada kelestarian berterusan ekosistem berharga itu.

Justeru, kempen kesedaran kalangan generasi muda mengenai kepentingan kawasan tanah bencah perlu ditingkatkan.

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia.

Klik di sini untuk terus membaca