BADAI yang melanda program Kapal Tempur Pesisir atau LCS kini telah semakin reda dan ia tidak lagi menghiasi tajuk-tajuk utama media cetak dan elektronik nasional seperti beberapa bulan yang lalu.
Antara perkara paling menonjol dalam isu LCS, selain isu ketirisan dan integriti adalah kemampuan hakiki industri tempatan dan arah hala tuju yang perlu diperkasa.
Menteri Kanan Pertahanan yang kini Perdana Menteri telah menyarankan agar satu dasar baharu lebih komprehensif berkaitan industri pertahanan perlu dibangunkan.
Pada penghujung 2020 beliau membuat kenyataan bahawa penggubalan Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN) kini sudah berada dalam fasa akhir.
Pada bulan Ogos lalu satu mesyuarat Penyelarasan dan Hala Tuju DIPKN telah diadakan di Wisma Pertahanan. Menurut beberapa sumber, DIPKN bakal dilancarkan pada bulan Oktober ini.
DIPKN telah dikategorikan mengikut kluster agar lebih fokus dan tersusun dengan mengetengahkan elemen game changer yang akan menyokong teras-teras DIPKN dalam merencanakan ekosistem industri pertahanan negara sejajar dengan kehendak dan aspirasi Kertas Putih Pertahanan sehingga tahun 2030.
Persoalan kenapa masalah industri pertahanan tempatan masih jumud sebenarnya telah pun dikenal pasti sejak tahun 2008 lagi, apabila seorang pakar penyelidik terkemuka negara telah menulis satu kertas kerja berjudul Defence industrialisation in Malaysia: development challenges and the revolution in military affairs (Industri pertahanan di Malaysia; cabaran pembangunan dan revolusi dalam perihal ketenteraan).
Dalam kertas kerja itu, antara perkara utama ditonjolkan menjadi batu penghalang kepada pembangunan industri pertahanan tempatan yang mapan adalah tiada arah hala tuju yang jelas daripada pihak kerajaan mengenai bagaimana memacunya ke hadapan.
13 tahun selepas kertas kerja tersebut diterbitkan keadaan tidak banyak berubah, malah menjadi bertambah buruk.
Pada 2021, dalam satu kajian dilaksana sebuah firma tempatan berkaitan tahap industri pertahanan mendapati jurang dalam teknologi pertahanan serta ketenteraan Malaysia dan negara membangun lain menjadi semakin lebar.
Menurut kajian itu, antara kenapa jurang tersebut melebar berpunca daripada kekurangan sumber manusia berkelayakan yang mampu menyerap teknologi selain penyusutan ketara dalam peruntukan belanjawan kerajaan untuk pembangunan penggiat tempatan industri tersebut.
Tahun 2022, kepimpinan kerajaan dilihat seakan cuba menonjolkan usaha menjalin kerjasama dengan negara dan firma asing untuk mempelajari serta membangunkan industri pertahanan.
Pada Jun tahun ini ketika lawatan ke Arab Saudi, Menteri Kanan Pertahanan negara mengeluarkan kenyataan bahawa satu pelan mewujudkan kerjasama bagi membangunkan industri pertahanan kedua-dua negara akan dilaksana.
Bagi tujuan itu sebuah kumpulan kerja bakal ditubuhkan antara Pihak Berkuasa Industri Pertahanan Arab Saudi, Bahagian Industri Pertahanan (DIS) Kementerian Pertahanan Malaysia (Mindef) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) berkaitan perkongsian pengetahuan dan potensi kerjasama pertahanan kedua-dua negara.
Pada Julai ketika lawatan ke Turkiye, Perdana Menteri menyatakan hasrat membangunkan industri pertahanan menerusi kerjasama dengan Turki, yang mempunyai kepakaran teknologi tersendiri di dalam industri itu.
Penghujung Ogos pula menyaksikan Ketua Setiausaha Pertahanan negara berkunjung ke Thailand dan menyatakan hasrat untuk mendapatkan pelajaran dari Defense Technology Institute (TDI) yang berada di bawah sayap Kementerian Pertahanan Thailand untuk membangunkan produk pertahanan.
Bulan ini pula Menteri Kanan Pertahanan, ketika lawatannya ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) berkata, Malaysia dan UAE sepakat untuk meneroka kerjasama bagi memperkasa industri pertahanan.
Delegasi Malaysia juga telah dibawa melawat Edge Group, iaitu konglomerat 25 syarikat milik kerajaan UAE yang menyediakan persenjataan tentera dan teknologi berkaitan kepada negara tersebut.
Sama ada usaha yang dilaksana oleh pihak kerajaan dalam mencari dan menjalin kerjasama dengan negara dan firma luar demi membangunkan industri pertahanan tempatan bersesuaian dengan objektif DIPKN adalah sesuatu yang belum dapat dibuktikan.
Adalah diharapkan ‘cakap-cakap’ kerjasama membangunkan industri pertahanan ini adalah sesuatu yang diambil serius oleh kepimpinan negara dan tidak hanya omongan kosong hanya bertujuan memenuhkan dewan pameran DSA dan LIMA Langkawi agar kelihatan meriah.
* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah wartawan terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.
Klik di sini untuk terus membaca