AMERIKA Syarikat (AS) akhirnya memberi amaran tentang penggunaan senjata nuklear oleh tentera Rusia dalam perang di Ukraine berikutan kenyataan Presiden Rusia, Vladimir Putin pada minggu lalu bahawa pihaknya akan menggunakan semua sistem... Klik di sini untuk terus membaca

AMERIKA Syarikat (AS) akhirnya memberi amaran tentang penggunaan senjata nuklear oleh tentera Rusia dalam perang di Ukraine berikutan kenyataan Presiden Rusia, Vladimir Putin pada minggu lalu bahawa pihaknya akan menggunakan semua sistem senjata bagi mempertahankan wilayah dan rakyatnya.

Dalam ucapan tersebut, Putin tidak menyebut tentang penggunaan senjata nuklear.

Namun, Penasihat Keselamatan AS, Jake Sullivan pada Ahad lalu berkata, Washington dan sekutunya akan bertindak tegas jika Rusia menggunakan senjata nuklear di Ukraine.

Sullivan juga menyatakan bahawa AS telah berkomunikasi secara langsung dan secara peribadi dengan Rusia pada tahap yang sangat tinggi bahawa Moscow akan menerima malapetaka jika ia menggunakan senjata nuklear di negara tersebut.

Pegawai Rumah Putih itu mendakwa Rusia memahami dengan baik apa yang akan dihadapinya jika ia memilih untuk menggunakan senjata nuklear dan menambah bahawa AS merancang untuk melaksanakan plan kontingensi dan akan bertindak balas dengan tegas terhadap Moscow.

Menurut Persekutuan Saintis AS, Rusia mempunyai kira-kira 1,900 kepala peledak nuklear bukan strategik atau dikenali sebagai senjata nuklear taktikal dalam sistem persenjataan negara tersebut.

Bagaimanapun, ahli-ahli Parlimen Rusia berasa terkejut dengan respon yang diberikan oleh Washington berhubung ancaman penggunaan senjata nuklear di Ukraine sejak akhir-akhir ini berikutan ucapan Putin pada minggu lalu.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Rusia, Anatoly Vyborny memberitahu portal berita Sputnik bahawa AS hanya memperbesar-besarkan perkara yang tidak benar kerana Moscow tidak pernah berkata ia akan menggunakan senjata nuklear di Ukraine.

Oleg Morozov iaitu seorang anggota parti pemerintah, Rusia Bersatu di Dewan Rendah Duma memberitahu bahawa AS cuma mahu meningkatkan ketegangan dan meyakinkan dunia bahawa ancaman nuklear itu datangnya dari Rusia.

Rusia menghantar tentera ke Ukraine pada 24 Februari lalu dan ia menyerang negara tersebut selepas kegagalan Kiev melaksanakan perjanjian Minsk yang dilaksnakan untuk memberikan wilayah Donetsk dan Lugansk sebagai status istimewa di dalam negara tersebut.

Namun, selepas lebih enam bulan perang di Ukraine berlaku, masih tiada tanda-tanda ia akan berakhir atau satu gencatan senjata dimeterai antara kedua-dua pihak.

Walaupun, tiada kenyataan daripada Putin bahawa beliau mahu menggunakan senjata nuklear, Setiausaha Negara AS, Antony Blinken turut mengulas isu tersebut yang seolah-olah menggambarkan bahawa Rusia akan menggunakan senjata nuklear di Ukraine.

RANCANG TINDAK BALAS

Ketika ditemu bual dalam program '60 Minutes' di stesen penyiaran CBS News pada Ahad lalu, Blinken berkata bahawa pentadbiran Presiden AS, Joe Biden mempunyai rancangan untuk bertindak balas terhadap hipotesis penggunaan senjata nuklear oleh Rusia tetapi beliau tidak pula mendedahkan butirannya.

Rusia mempunyai simpanan sejumlah kepala peledak nuklear yang masih belum digunakan. - Foto AFP

Blinken juga menggesa Rusia untuk mengundurkan tenteranya dari Ukraine dan berkata jika Moscow berhenti daripada meningkatkan konflik, ia sekali gus akan menyebabkan perang akan berakhir di negara berkenaan.

Bagaimanapun penganalisis tidak yakin bahawa Putin sanggup menjadi Presiden yang pertama meluluskan penggunaan senjata nuklear di dunia selepas AS mengebom Jepun pada tahun 1945 dengan menggunakan bom atom.

Mark Cancia iaitu pakar ketenteraan dengan Program Keselamatan Antarabangsa di Center for Strategic and International Studies, Washington berkata, Rusia mungkin tidak akan menggunakan senjata nuklear di nedan perang.

Menawan wilayah 32 kilometer mungkin memerlukan 20 bom nuklear kecil bagi mendapatkan keuntungan kecil untuk risiko yang besar.

"Hanya menggunakan satu sahaja (bom nuklear kecil) tidak akan mencukupi," kata Cancian seperti dilaporkan AFP.

Moscow sebaliknya boleh menghantar mesej yang kuat dan mengelakkan kemalangan jiwa yang besar dengan meletupkan bom nuklear di atas air atau meletupkannya di langit Ukraine untuk menjana nadi elektromagnet yang akan melumpuhkan peralatan elektronik.

Putin juga boleh memilih untuk melakukan kemusnahan dan kematian yang lebih besar dengan menyerang pangkalan tentera Ukraine atau pusat bandar seperti Kiev sehingga menjana korban besar-besaran dan mungkin membunuh kepimpinan politik negara itu.

Senario sedemikian kemungkinan direka untuk memecah belahkan pakatan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan konsensus global terhadap Putin, kata Jon Wolfsthal iaitu bekas pakar dasar nuklear Rumah Putih.

Bagaimanapun, tidak jelas sama ada ia akan berjaya, katanya.

Setakat ini, AS dilihat memperbesar-besarkan ancaman senjata nuklear bagi menunjukkan Washington sebenarnya menentang penggunaannya walaupun secara fakta, ia pernah menggunakan bom atom semasa Perang Dunia Kedua pada tahun 1945. – Agensi

Klik di sini untuk terus membaca