SHAH ALAM - Centre to Combat Corruption & Cronyism (C4 Center) menjalinkan kerjasama dengan beberapa pihak termasuk kerajaan Persekutuan bagi meminda undang-undang perlindungan pemberi maklumat di Malaysia. Pengasas dan Pengarah Eksekutif... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Centre to Combat Corruption & Cronyism (C4 Center) menjalinkan kerjasama dengan beberapa pihak termasuk kerajaan Persekutuan bagi meminda undang-undang perlindungan pemberi maklumat di Malaysia.

Pengasas dan Pengarah Eksekutif C4 Center, Cynthia Gabriel berkata, perkara itu penting bagi memastikan pemberi maklumat berhubung rasuah dan salah guna kuasa diberi perlindungan yang ketat dan sewajarnya.

"Ia untuk memperbaiki saluran aduan agar dapat diperluaskan kepada selain daripada agensi penguatkuasaan, ini akan memberi lebih keyakinan terhadap keadilan yang diterima.

"Ingat kes Tan Sri Azam Baki di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang juga ada konspirasinya tersendiri. Di mana pengadu dihadap ke mahkamah kerana isu defamation (fitnah)," katanya kepada Rasuah Busters pada Jumaat.

Sebelum ini, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) telah dilaksanakan pada 6 Mei 2010 setelah diluluskan di Parlimen.

Akta ini antaranya memperuntukkan perlindungan kepada pemberi maklumat iaitu perlindungan melibatkan maklumat sulit pemberi maklumat, perlindungan terhadap tindakan yang memudaratkan serta kekebalan daripada tindakan sivil dan jenayah yang mungkin dihadapi oleh pemberi maklumat setelah membuat pendedahan kepada agensi penguatkuasaan.

Tambahnya, perubahan secara stuktural ini adalah sangat perlu kerana ia bakal memberi keadilan kepada pelapor.

"Ia sekali gus akan membawa kepada hak untuk melapor dan mendapat keadilan yang sepatutnya," katanya.

Katanya, cadangan mereka berhubung perkara itu kini di fasa-fasa akhir dan menggesa ke arah perbahasan di Parlimen.

"Pindaan ini perlu dibahas di Parlimen secepat mungkin, sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)," katanya.

Sebelum ini, Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berpandangan bahawa sebarang maklumat berhubung rasuah dan salah guna kuasa perlu dilaporkan kepada pihak berkuasa dan bukannya didedahkan secara terbuka di media sosial kerana tindakan seumpama itu menyalahi undang-undang.

Beliau dipetik berkata, segala maklumat yang diperoleh melibatkan dua isu berkepentingan tersebut perlu dibuat laporan kepada pihak berkuasa terutama SPRM.

Menurut beliau, biarpun ada pihak yang tidak mempercayai kredibiliti atau ketelusan SPRM melaksanakan tugasnya, namun sebagai rakyat berpegang kepada undang-undang adalah menjadi tanggungjawab untuk mematuhi ketetapan yang telah digariskan oleh perlembagaan.

Klik di sini untuk terus membaca