SHAH ALAM - Ulama tersohor, Profesor Dr Sheikh Yusuf Abdullah al-Qaradawi ialah sebenar-benarnya tokoh pemimpin dan murabbi ulung Islam. Beliau yang berasal dari Mesir merupakan bekas Ketua Kesatuan Ulama Sedunia dan pemimpin spiritual... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ulama tersohor, Profesor Dr Sheikh Yusuf Abdullah al-Qaradawi ialah sebenar-benarnya tokoh pemimpin dan murabbi ulung Islam.

Beliau yang berasal dari Mesir merupakan bekas Ketua Kesatuan Ulama Sedunia dan pemimpin spiritual gerakan Ikhwanul Muslimin.

Dilahirkan pada tahun 1926 ketika Mesir masih di bawah pemerintahan kolonial British, Yusuf al-Qaradawi semasa muda menggabungkan pendidikan agama dengan aktivisme antikolonial.

Malah perjuangannya menentang pendudukan British dan penglibatannya dalam Ikhwanul Muslimin menyebabkan beliau ditangkap beberapa kali pada tahun 1950-an.

Beliau berpindah ke Qatar pada awal 1960-an apabila dilantik sebagai Dekan Fakulti Syariah di Universiti Qatar sebelum diberikan kewarganegaraan Qatar.

Sepanjang hayatnya, Yusuf al-Qaradawi dilaporkan telah mengarang lebih 170 buku dan antara bukunya itu turut menyentuh tentang sebahagian besar umat Islam global.

Beliau sering bercakap tentang pelbagai isu zaman moden termasuk soal pilihan raya, demokrasi dan keadilan sosial selain mempunyai hubungan rapat dengan ramai pemimpin agama dunia lain untuk mewujudkan keharmonian dan menghapuskan kebencian antara agama.

Berikutan itu, berita pemergian Yusuf al-Qaradawi pada Isnin mengundang kesedihan umat Islam termasuk pemimpin-pemimpin di negara ini yang menzahirkan rasa kehilangan itu menerusi media sosial.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad menyifatkan pemergian Allahyarham Yusuf al-Qaradawi sebagai kehilangan besar buat umat Islam seluruh dunia.

IDRIS

"Beliau ulama, pejuang gerakan Islam dan pemikir Islam kontemporari yang banyak menyumbang kepada dunia Islam melalui keilmuan dan karya-karyanya yang masyhur.

"Sungguh besar peranan dan sumbangan beliau demi kemaslahatan umat Islam dunia.

"Semoga ALLAH merahmati Allahyarham dan memasukkannya dalam kalangan hamba-Nya yang soleh," katanya di Facebook.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Muhammad Fauzi Asmuni menjelaskan, beliau dan rakan-rakannya yang sama-sama belajar di Mesir membesar dengan pemikiran Allahyarham daripada buku-buku karya ulama itu.

"Buku-bukunya yang banyak, ditelaah satu persatu bahkan ada beberapa yang dijadikan sebagai bahan diskusi beramai-ramai dari kulit ke kulit.

"Setiap kali pesta buku antarabangsa pada bulan Januari atau Februari, buku-buku barunya akan sentiasa dicari,” ujarnya.

Menurut Muhammad Fauzi, tulisan Allahyarham adalah kajian ilmiah yang memberikan pandangan tajam terhadap isu semasa sama ada dalam masalah syariah atau dakwah dan sebagainya.

"Ideanya sentiasa segar dan unik. Bahasanya mudah difahami walaupun membincangkan topik yang berat.

"Fatwa-fatwanya ditunggu-tunggu oleh semua. Beliau berani menyanggah pandangan dan pendirian salah termasuklah dari kerajaan Qatar yang memberikannya kewarganegaraan,” ujar beliau.

PROFIL YUSUF AL-QARADAWI

Nama sebenar: Yusuf bin Abdullah bin Ali bin Yusuf

Umur: 96 tahun

Tarikh lahir: 9 September 1926

Negara kelahiran: Mesir

Negara kini menetap: Qatar

Pendidikan tertinggi: Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Al-Azhar

Profesion: Pemikir, Sarjana, Ulama Sunni

Sumbangan:

- Dikenali komuniti antarabangsa kerana mempunyai pandangan yang tegas tentang konflik Israel-Palestin.

- Pernah menggunakan pendekatan lebih lembut terhadap kumpulan syiah ketika ketegangan tercetus antara Qatar dan Arab Saudi.

- Antara ulama yang menyokong revolusi Arab Spring di Kaherah pada tahun 2011 yang menggulingkan bekas Presiden Hosni Mubarak.

- Yusuf al-Qaradawi menjawat pelbagai jawatan penting sepanjang penglibatannya dalam bidang keilmuan Islam, antaranya Ketua Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah serta Presiden Persatuan Ilmuwan Islam Antarabangsa.

- Beliau mengarang lebih daripada 150 buah buku dalam pelbagai bidang seperti fiqh dan usul fiqh, ekonomi Islam, al-Quran dan sunnah, akidah Islam, dakwah pendidikan dan sebagainya.

- Hasil tulisannya berjudul The Lawful and Prohibited in Islam turut diterjemahkan ke pelbagai bahasa dan menjadi titik rujukan utama kepada umat Islam di seluruh dunia.

- Malaysia pernah menganugerahkan Tokoh Maal Hijrah kepada beliau yang mengiktiraf sumbangan dan jasa besar individu sempena sambutan tahun baharu Islam pada tahun 2009.

Klik di sini untuk terus membaca