SHAH ALAM - Masih ada ruang untuk kerajaan menambah baik Bajet 2023 dengan melihat semula pencapaian bajet-bajet sebelum ini khususnya berkaitan jumlah akhir yang sampai kepada rakyat. Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Datuk... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Masih ada ruang untuk kerajaan menambah baik Bajet 2023 dengan melihat semula pencapaian bajet-bajet sebelum ini khususnya berkaitan jumlah akhir yang sampai kepada rakyat.

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, ini kerana pemberian tawaran menerusi peruntukan bajet kepada setiap kementerian adalah mudah namun lebih penting adalah kaedah perlaksanaannya.

Justeru menurutnya, penilaian prestasi perbelanjaan setiap kementerian perlu dibuat secara konsisten agar peruntukan dibelanjakan dengan efisien dan optimum.

"Pokoknya kalaulah pengumuman bajet diumumkan bagi sekian jumlah, berapakah jumlah akhir yang akan sampai kepada rakyat.. dan Ini timbul pula isu ketirisan dan sebagainya.

"Sebab itu saya fikir dalam kita nak menentukan sama ada bajet ini atau tawaran ini boleh anggap sebagai gula-gula atau tidak, penting adalah niat, serta perlaksanaan dan paling penting adalah tawaran yang konsisten jumlah akhir yang beri manfaat kepada rakyat,” katanya menerusi Wacana Sinar siri ke-366 bertajuk Bajet 2023: Rakyat atau...? Disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian pada Selasa.

Program dikendalikan oleh Ismail Adnan sebagai moderator itu turut menampilkan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad dan Ketua Pegawai Eksekutif PEACE (Policy and Economic Affairs Centre of Malaysia Foundation), Dr Zokhri Idris sebagai panelis.

Mengulas lanjut, Mohd Rafiq berkata, Bajet 2023 perlu bersifat menyeluruh, melibatkan pelbagai aspek termasuk usaha untuk merapatkan jurang antara masyarakat bandar dan luar bandar.

Katanya, tumpuan harus diberikan kepada sektor pertanian mengambil kira kos import makanan yang dijangka akan terus meningkat dan memberi impak kepada perbelanjaan negara.

"Isu jaminan bekalan makanan perlu diberi perhatian. Tanah untuk hasilkan makanan di negara kita berada di tahap rendah iaitu sekitar dua peratus sahaja berbanding Bangladesh walaupun pembangunan mereka di tahap rendah, mereka ada 22 peratus tanah yang boleh diguna untuk hasilkan makanan.

"Bajet 2023 juga perlu melihat bagaimana untuk memperkasakan sektor pertanian dan menjadikan ia sebagai pekerjaan berpendapatan tinggi sekali gus menarik minat golongan muda menceburi bidang ini,” katanya.

Dalam masa sama, beliau juga yakin Bajet 2023 akan mendapat kelulusan sebulan suara di Dewan Rakyat meskipun ketika ini dilihat berlaku krisis dalam parti-parti politik dalam kerajaan.

"Perikatan Nasional (PN) konsisten, kita sebagai sebahagian dalam kabinet sudah tentu mahu bajet diluluskan.

"Walaupun akan bertembung dalam pilihan raya umum (PRU) nanti, saya tidak lihat ia akan memberi kesan pada kelulusan bajet,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca