SHAH ALAM – Subsidi dalam bentuk bantuan kepada rakyat tidak wajar dijadikan sebagai amalan kesinambungan dalam belanjawan negara yang mendatang, sebaliknya belanjawan perlu dirancang berdasarkan keperluan semasa.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Dasar dan Hal Ehwal Ekonomi Yayasan Malaysia (PEACE), Dr Zokhri Idris berkata, ini kerana meskipun negara dalam fasa peralihan ke endemik, peperangan masih belum berakhir dan memerlukan pendekatan berbeza khususnya dalam Bajet 2023.
Menurutnya, rakyat perlu memahami bahawa beberapa fasa melibatkan perubahan negara memerlukan respon yang berbeza.
"Tetapi ia tidak boleh dijadikan sebagai amalan kesinambungan kerana ia akan mendatangkan implikasi kepada pendapatan dan perbelanjaan kerajaan.
"Justeru, wujud di tahun-tahun mendatang..contohnya tema Bajet 2023 yang dicadangkan oleh Kementerian Kewangan adalah Kemampanan..kenapa kita melhat kepada aspek kemampanan adalah kerana kita tidak boleh selamanya memberi kerana kita harus siap siagakan kehidupan kita dan perjalanan ekonomi negara untuk kita mampan mendepani cabaran akan datang.
"Jadi ia memerlukan pendekatan yang berbeza dan kita tidak boleh selamanya menggunakan amalan subsidi sebagai satu kebiasaan atau gula-gula. Tidak manis sebenarnya dalam aspek ekonomi menggunakan gula-gula ini sebagai bantuan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi Wacana Sinar siri ke-366 bertajuk Bajet 2023: Rakyat atau...? Disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian pada Selasa.
Program dikendalikan oleh Ismail Adnan sebagai moderator itu turut menampilkan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad dan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen sebagai panelis.
Mengulas lanjut, Zokhri berkata, bukan menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menjadi pemberi, sebaliknya keutamaan kerajaan adalah untuk menyediakan satu persekitaran kondusif dan berdaya saing agar rakyat boleh menjana ekonomi dan meningkatkan pendapatan isi rumah.
Ujar beliau, kerana itu kerajaan harus memberi fokus kepada punca kekuatan dan nadi ekonomi negara dengan memperbaiki persekitaran dan ekosistem ekonomi negara agar pendapatan dapat diseimbangkan.
"Saya bagi contoh kalau kerajaan beri fokus membaiki jaringan pengangkutan awam, bagaimana kos rakyat dapat dijimat dan produktiviti rakyat dapat ditingkatkan. Daripada perlu ambil masa dua jam ke satu tempat, tetapi hanya ambil masa 30 minit, bayangkan betapa banyak penjanaan ekonomi boleh dilakukan.
"Aspek pendigitalan sendiri, bagaimana jika 5G terus disebar luas dalam negara, bagaimana suri rumah, ibu tunggal, penganggur boleh menjana pekerjaan dari rumah,” katanya.
Pada masa sama, beliau menekankan kerajaan perlu memandang serius isu pendapatan bermaruah buat golongan muda memastikan golongan ini mempunyai kuasa membeli yang sewajarnya.
"Isu utama adalah apabila gaji tidak setimpal dengan kelayakan dan pengalaman kerja anak muda kita. Ini akan membekukan kebolehan rakyat untuk mempunyai kuasa membeli.
"Gaji bermaruah ini perlu untuk anak-anak muda professional hidup dalam keadaan selesa di kawasan sendiri,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca