GOLOK (THAILAND) - Langkah kerajaan Thailand membenarkan penggunaan ganja atau kanabis menyebabkan ramai rakyat di kawasan sempadan khususnya di negeri itu mengambil kesempatan untuk menikmati minuman tersebut setiap kali tibanya hujung minggu.
Perkara itu didedahkan oleh seorang pekerja kedai serbaneka di Pekan Golok semasa ditanya oleh wartawan Sinar Harian yang membuat tinjauan mengenai penjualan minuman tersebut.
Pekerja kedai serbaneka berkenaan mendedahkan, pembelian minuman berasaskan ganja itu akan meningkat setiap kali tibanya hujung minggu.
"Pelanggan selalunya membeli lebih lima botol setiap kali pembelian dan kebanyakannya adalah golongan lelaki.
"Ada juga pembeli wanita tetapi jarang sekali. Selain penduduk tempatan (warga Thailand), pembeli dari Malaysia juga ramai terutama hujung minggu,” katanya.
Ditanya mengenai rasa air ganja tersebut, pekerja berkenaan menjelaskan dia tidak pernah mencuba, namun pelanggan memberitahu minuman itu boleh memeningkan kepala dan sedikit khayal, selain rasanya sedap.
Sambil ketawa, pekerja yang tidak mengetahui dia ditemu bual oleh wartawan sempat berpesan: "Tidak payah cubalah kakak, nanti banyak kesan buruk daripada baik,” katanya.
Tinjauan Sinar Harian di Pekan Golok mendapati minuman berasaskan ganja dengan pelbagai jenama itu dijual secara terbuka pada harga serendah 17 hingga 25 bath (RM2 hingga RM3) sebotol tanpa ada sebarang larangan kepada pelancong asing di semua kedai serbaneka.
Reka bentuk botol yang cantik juga menarik perhatian anak-anak muda di kawasan sempadan untuk mendapatkannya, sekali gus mencuba minuman yang ‘dihalalkan’ di Thailand tetapi ‘diharamkan’ di Malaysia.
Kedudukan negeri Cik Siti Wan Kembang yang hanya dipisahkan oleh Sungai Golok dengan Thailand mencetuskan kebimbangan apabila negara gajah putih itu telah ‘menghalalkan’ penggunaan ganja atau kanabis sejak 9 Jun lalu.
Situasi itu turut menimbulkan kebimbangan terutama dalam kalangan ibu bapa kerana ia mudah didapati dan harganya juga murah untuk dibeli oleh anak-anak muda.
Sementara itu, warga Malaysia yang kebetulan ada bersama di dalam kedai serbaneka tersebut melahirkan rasa bimbang melihat lambakan air ganja dijual secara terbuka.
Menurutnya yang tidak mahu namanya disiarkan, minuman yang kelihatan seperti sama dengan minuman ringan lain itu boleh mempengaruhi kanak-kanak atau sesiapa sahaja untuk mencubanya.
"Paling dikhuatiri jika ia boleh menyebabkan rasa ketagih, lagipun harganya sangat murah hanya RM2 sebotol,” katanya.
Ujian saringan air kencing secara rambang
Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan ujian saringan air kencing secara rambang di kawasan pintu masuk negeri itu sebagai usaha membendung kegiatan berkaitan pe-nyalahgunaan dadah termasuk ganja.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar peraturan dan undang-undang negara ini.
"Pada masa sama, kita akan memperketat rondaan di 128 pangkalan haram yang terdapat di sepanjang Sungai Golok bersempadan Malaysia-Thailand yang dilakukan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA).
"Fokus kita adalah tiga lapisan kawalan iaitu sempadan negara, sekatan jalan raya (SJR) dan sempadan negeri," katanya.
Jelas beliau, rondaan oleh Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) juga digerakkan bagi membanteras sebarang aktiviti salah dari segi undang-undang di sempadan.
Klik di sini untuk terus membaca