SHAH ALAM - Walaupun tidak memberikan kesan begitu kuat terhadap pengguna, pengambilan ganja dalam bentuk minuman yang dijual tanpa kawalan berpotensi menyebabkan ketagihan dan kemudaratan kepada kesihatan diri. Pakar perubatan, Dr Abu... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Walaupun tidak memberikan kesan begitu kuat terhadap pengguna, pengambilan ganja dalam bentuk minuman yang dijual tanpa kawalan berpotensi menyebabkan ketagihan dan kemudaratan kepada kesihatan diri.

Pakar perubatan, Dr Abu Hasan Samad berkata, ketiadaan kawalan terhadap jualan minuman tersebut dibimbangi mendedahkan ia terhadap kemungkinan penyalahgunaan bahan berbahaya ke dalam produk tersebut.

"Saya bimbang ramai pengedar di luar sana yang akan cuba tambah benda-benda lain ke dalam air ganja tersebut sehingga pengguna jadi ketagih dan ia tentu akan memudaratkan kesihatan.

"Mengapa jadi begitu? Kerana ada benda lain dalam minuman tersebut yang ditambah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Menurut Dr Abu Hasan, antara bahan-bahan tambahan yang berkemungkinan dimasukkan ke dalam air ganja ialah jenis dadah berat yang lain termasuk bahan kimia seperti manganese dan merkuri.

"Jadi, benda-benda itulah yang membahayakan, di samping boleh menyebabkan mereka rasa seronok dan ketagih,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan, sebarang penggunaan ganja untuk perubatan perlu terlebih dahulu mendapatkan preskripsi daripada pegawai perubatan.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, ketagihan terhadap pengambilan ganja secara umumnya akan memberikan kesan terhadap tahap psikomotor seseorang individu dan berupaya menjejaskan kecekapan tindak balas mereka.

"Ia akan menyebabkan keupayaan untuk bertindak balas menjadi perlahan. Contohnya, kalau kita tengah memandu, reaksi kita terhadap lampu merah atau insiden kecemasan akan lambat, malah risiko terlibat dalam kemalangan juga tinggi,” ujar Dr Abu Hasan.

Klik di sini untuk terus membaca