SHAH ALAM - DAP menolak sekeras-kerasnya dakwaan bahawa parti itu menghalang usaha Pas memperjuangkan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Islam sebagai agama rasmi bagi Persekutuan. Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - DAP menolak sekeras-kerasnya dakwaan bahawa parti itu menghalang usaha Pas memperjuangkan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Islam sebagai agama rasmi bagi Persekutuan.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, parti tersebut sebaliknya menjunjung Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara yang perlu dipatuhi.

"DAP sering difitnah, kita tidak pernah menolak Perlembagaan Persekutuan.

"Kita menjunjung prinsip keluhuran Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi di Malaysia yang mesti dipatuhi,” katanya pada Selasa.

Sebelum ini, Pas dilaporkan mendakwa usaha-usaha parti itu untuk memperjuangkan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yakni Islam sebagai agama persekutuan tidak disenangi DAP.

Bagaimanapun, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bersedia mendedahkan bukti perjanjian antara PKR, DAP dan Pas ketika dalam gabungan Pakatan Rakyat (PR) bagi menepis dakwaan DAP menolak Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, tiga pemimpin utama parti iaitu Lim Kit Siang dan Tan Sri Abdul Hadi Awang termasuk dirinya telah menandatangani perjanjian PR yang menerima Perlembagaan Persekutuan dengan mengiktiraf bahasa Melayu dan agama Islam sebagai bahasa serta agama rasmi negara.

Dalam pada itu, Anthony menyifatkan Pas terutama Presidennya gemar membuat tuduhan dan melabel pihak lain dengan pelbagai gelaran.

"Dulu, mereka melabel UMNO sebagai kafir tetapi sekarang mereka nak peluk UMNO. Bagaimana pula dengan pendirian tentang isu tersebut?” soalnya.

Klik di sini untuk terus membaca